Hikayat Faridah Hanom 1

Aus Wikiversity

Fasal yang pertama
ASYIK DENGAN MAKSYUKNYA

Di dalam Al-Kaherah bandar negeri Mesir yang elok dengan makmurnya itu ada suatu jalan yang bernama AI-Abbasiah. Maka di situlah tinggal Kasim Bey di dalam sebuah rumah yang besar lagi sangat elok bangunannya di kelilingi dengan kebun yang tertanam serba jenis pohon buah-buahan dan berbagai-bagai macam pohon bunga-bungaan.

Pada suatu malam di dalam bulan May, tahun 1894 memancar keluar cahaya api yang terpasang di dalam rumah itu daripada suatu jendela yang berumbai-umbai dengan bunga-bungaan daripada sutera yang bermacam-macam warna.

Masa itu ialah masa yang telah hampir pertengahan malam angin pun sedang bertiup sepoi-poi bahasa menggoncang segala perhiasan jendela yang mengadap ke tengah jalan itu, maka pada tepi jendela itulah ada seorang anak perempuan yang sangat muda bersandar di atas suatu kerusi daripada baldu merah yang bertangan dengan tilam yang berpakan[1] dengan benang emas. Rambutnya yang bersangatan panjang serta lebat dan hitamnya itu terhampar ke atas bahunya yang terbuka daripada pakaian badannya yang disaluti oleh kain sutera pucuk pisang yang sangat lembut dan halus yang mendatangkan kegemaran di mata tiap-tiap orang yang memandang akan dia. Mukanya bujur sirih berpatutan dengan mata hidungnya. Tingginya pertengahan[2] bangunannya sangat hebat memberi gemar…


kasih sayang sesiapa[3] memandangnya. Pipinya umpama pauh dilayang hitam kedua biji matanya mengalir madu yang sangat manis daripadanya bila dibawanya menjeling oleh disambut cahaya kemerahan yang memancar daripada kedua pipinya. Mulutnya kecil sentiasa tersenyum manis bila dibawanya berkata-kata oleh disambut cahaya yang bersinar daripada giginya yang seumpama mutiara atau pun delima merekah[4] itu.

Maha sucilah Tuhan yang sangat kudrat kuasa menjadikan sekalian makhluknya yang berbagai-bagai rupa dan bentuk. Maka telah dituangnya kejadian Faridah Hanom puteri Kasim Bey ini di dalam acuan seelok-elok kejadian manusia. Maka zahirlah Faridah Hanom ke dalam dunia ini dengan seelok-elok kejadian perempuan seumpama yang disifatkan oleh syair:

Seolah-olah pakaiannya itu
Awan yang bersembunyi bulan di situ
Bila tersiah awan di pintu
Bulan empat-belas nampaklah tentu.

Matanya contoh bidadari syurga
Cahayanya memancar meliputi muka
Bila ditatap di pandang dijangka
Bertambah elok bertambah harga.

Sahlah Faridah kejadian bidadari
Bukan tarafnya di dunia negeri
Memabukkan abid fakih dan kari[5]
Bila terpandang sinar dan seri.

Pada masa itu Faridah Hanom puteri yang sangat elok ini bersandarkan kepalanya kepada kedua tangannya melepaskan fikirannya mengedar ke medan yang seorang pun tidak dapat mengetahui melainkan ialah dengan Tuhannya sahaja. Tetapi sentiasalah jua ianya bangun menjenguk daripada tingkap itu ke jalan raya. Maka didapatinya segala bintang-bintang bercahaya-cahaya di Iangit dan bunyi kereta kuda yang pergi datang itu sentiasa menderu bunyinya. Maka kembalilah ianya duduk semula ke atas kerusinya dengan terasa sangat risau serta sebal rasa hatinya. Kemudian…


tenggelamlah pula ianya ke dalam fikirannya hingga berbunyi jam pukul dua pertengahan malam yang kedua.

Bangunlah Faridah Hanom daripada kerusinya sambil menjenguk lagi, ke jalan raya maka didapatinya keadaan jalan pada masa itu telah sunyi sedikit hanyalah langit itu bertambah-tambah cerahnya di suluh oleh cahaya segala bintangnya. Lalu berjalan ianya menuju ke pintu biliknya kemudian berjalan pula ianya dari situ perlahan-lahan memijakkan ujung[6] jari kakinya masuk ke bilik sebelah membangunkan seorang perempuan tua yang berumur lebih kurang[7] enam-puluh tahun sedang tidur di situ sambil berkata: "Bangunlah dahulu wahai ibuku Suad."

Maka bangunlah dayangnya terkocoh-kocoh[8] menurut tuannya keluar seraya berkata: "Mengapakah tuan membangunkan dayang tengah malam dinihari ini."

Jawab Faridah Hanom: "Telah lewat sangat daripada tempo yang dijanjikannya belum juga datang lagi kekasihku Shafik Afandi. Inilah[9] yang sangat susah dan bimbang hatiku, ibu." Kata dayangnya[10], "Tidak mengapa, janganlah tuan bimbang sangat. Pukul berapakah sudah sekarang ini tuan?"

"Pukul dua telah berbunyi tengah malam pada hal janjinya pukul satu ianya akan sampai kemari," Faridah Hanom menjawab pertanyaan dayangnya ini sambil berjalan menuju ketingkap serta menjenguk ke jalan raya. Maka dilihatnya daripada cahaya api lampu jalan itu ada nampak seorang berjalan lalu katanya kepada dayangnya, "Agaknya itulah dia barangkali." Maka dayang pun segera menjenguk, seraya mengamat-amati lalu berkata: "lalah dia, biarlah dayang turun membuka pintu." Berkata-kata itu sambil turun perlahan-lahan berjalankan ujung[11] jarikakinya hingga sampai ke pintu bawah sekali mengintai daripada sisik jendela yang di sebelah pintu itu. Ada seketika maka orang yang berjalan itu pun sampailah ke hampir pintu itu di amat-amati oleh Suad maka dikenalnya betullah dia Shafik lalu mengucap syukur ianya kepada Tuhannya, "Alhamdulillah".


Ada pun laki-laki yang datang itu ialah seorang muda yang gempal tubuhnya, ringkas gerakan anggotanya, elok bentuk mukanya, putih kuning cahaya warna kulitnya, hebat anggun perjalanannya; gemar siapa yang memandangnya. Umurnya baharu masuk dua-puluh-dua tahun, memakai tarbush merah cenderung ke hadapan sedikit duduknya, berseluar baju hitam seumpama orang Eropa keluar daripada perjamuan malam bersepatu hitam[12] berkilat-kilat cahayanya; menggemarkan tiap-tiap orang yang memandang akan dia serta mendatangkan kasih sayang siapa-siapa yang bersapa dengan dia.

Pada masa itu adalah Faridah Hanom masih lagi berdiri juga di tingkap itu memerhatikan siapa yang datang itu hingga sahlah kepadanya rupa kekasihnya di bawah cahaya[13] lampu yang di halaman[14] rumahnya itu bertemulah[15] mata sama mata maka diisyaratkan oleh Shafik Afandi dengan tangannya. Ketika itu undurlah Faridah Hanom daripada tingkap itu lalu menuju tangga yang turun ke tamannya.

Ada pun Suad tatkala telah nyatalah kepadanya yang datang itu Shafik Afandi kekasih tuannya segeralah ianya membuka pintu taman sekali kemudian diberinyalah isyarat kepada Shafik Afandi menyuruh masuk. Maka masuklah Shafik Afandi serta memberi salam kepada Suad lalu berjalan ke dalam taman menuju ke dalam bangunan yang teratur beberapa kerusi yang di pagar dan dililit beberapa macam pohon bunga-bungaan yang sedang berkembangan dan semerbak baunya.

Ada seketika Shafik Afandi duduk menunggu di situ seumpama pungguk merindukan bulan, maka datanglah Faridah Hanom berjalan seumpama dahan angsoka yang ditiup oleh angin rih al-saba atau[16] seumpama bidadari kayangan tatkala berjalan mendapatkan sang Ranjuna di taman penglipur[17] lara.


Apabila sampailah Faridah Hanom ke pintu bangunan tempat Shafik Afandi menunggu itu memancarlah cahaya mukanya menyuluh muka kekasihnya seumpama bulan empat-belas hari terbit menyuluhi alam ini.

Manakala dilihat oleh Shafik Afandi akan kekasihnya datang itu, maka[18] segeralah ianya bangun memberi hormat, serta menyambut tangan kekasihnya dicium dan dijunjungnya serta didudukkannya ke atas kerusi disisnya. Tetapi hati Shafik Afandi sangatlah[19] terkejut oleh memandang muka kekasihnya berlainan daripada biasa maka diketahuinyalah oleh sebab kesalahannya terlambat daripada janjinya itu.

Ada pun Faridah Hanom maka tiadalah terduduk ianya di atas kerusi itu, lalu ianya menyembamkan mukanya ke atas ribaan kekasinya, sambil berkata dengan suara yang sangat merdu seumpama buluh perindu, "Apakah penceraian kita yang sangat panjang ini wahai Shafik."

Maka Shafik pun segeralah menyambut kepala kekasihnya sambil mengucup dahinya seraya berkata: "Maafkan abang wahai nyawa badan abang. Tidaklah sekali-kali abang boleh lambat daripada perjanjian atau pun suka berjauhan dengan nyawa abang satu minit pun jika tidak ada sebab-sebab yang tidak dapat abang salahi sekali-kali. Ketahuilah nyawa abang, demi Tuhan yang menjadikan alam ini jika tidak sebab halangan yang hendak memeliharakan kehormatan tuan nescaya setiap malam dan siang abang datang menghadap tuan."

Faridah Hanom pun bangkit duduk di atas kerusi sambil berkata: "Tidak begitu Shafik, memang pelajaran keras hati itu telah dipelajari, tidak mengambil endah akan hati perempuan yang sangat dhaif ini. Maka dengan sebab inilah berlambatan segala perjanjian[20]


pada hal kelakuan dengan perkataan berlainan dengan perbuatan. Tidakkah diketahui, bahawa beta menanti akan kedatangan yang dijanjikan itu dengan keinginan seumpama keinginan bumi yang sangat kering akan kedatangan rinuk-rintik hujan. Dan beta menunggu tuan seumpama orang yang tidak boleh lena tidur malam menunggu akan terbit fajar subuh atau matahari.

Terkejutlah Shafik mendengar perkataan kekasihnya dengan terkejut yang amat sangat sambil bangkit berdiri mencapai tangan maksyuknya dipicitnya dengan lemah lembutnya seraya berkata: "Ajaib, ajaib, ajaib. Sampai beginikah sekali roh badanku tuan menuduh akan abang. Demi watanku yang dikasihi, tidaklah ada di bawah langit ini suatu pun yang teringat di dalam hati abang lain daripada tuan. Bermula tuan itulah sehabis-habis besar pengharapan abang di dalam dunia ini. Periksalah tuan akan saudara tuan bulan yang di langit itu adakah pernah abang ini lupa barang sesaat jua pun daripada menyebut akan nyawa abang ketika ianya mengedari langit ini. Dan tuan periksalah juga segala bintang pada masa tiada bulan itu adakah pernah suatu malam pun abang masuk tidur lena meninggalkan daripada mendayu-dayu akan nyawa abang. Kemudian periksalah tuan matahari pula adakah pernah satu saat pun abang hilang daripada mabuk akan keelokan roh semangat abang. Ah Faridah! Tuanlah raja yang telah mengendarai akan roh semangat abang. Lemahlah abang daripada menghuraikan kepada tuan akan asyik kasih dendam berahi abang akan tuan. Apakah jua jenis keelokkan dan kemanisan yang telah dikurniai oleh Tuhan kepada tuan maka mengikat cinta berahi tuan itu akan hati jantung limpa abang. Hingga fanalah daripada mata abang segala jenis keelokkan yang lain. Ah, belahan nyawa abang, tidaklah[21] tuan mengetahui berapa azab sengsara yang abang tanggung dan rasa oleh berjauhan abang daripada tuan. Sesungguhnya perjumpaan…


abang dengan tuan sekarang ini tidaklah dapat sekali-kali abang menilai akan harganya. Rasanya jika abang mendapat akan kebesaran memerintah akan sekalian raja-raja yang ada di dalam dunia ini sekali pun, tidaklah sampai lagi setengah daripada harganya. Inilah masanya abang terasa nikmat kehidupan oleh menilik cahaya keelokkan adikku yang tidak ada bandingnya seluruh alam dunia ini pada hati abang, jikalau masa ini abang tidak memiliki satu duit dan secamping kain baju sekali pun:

Dunia ni jikalau ku punyai tuan
Sekalian raja-rajanya dapat ku tawan
Tidak menjadi nikmat gunawan
Jika tak memandang emas tempawan.

Maka Faridah Hanom pun mengeluh sambil berkata: "Jika sungguh demikian tidaklah sia-sia sangka beta pada tuan, wahai kekasihku Shafik. Berkata-kata itu seraya menarik tangannya daripada genggaman Shafik menyapu air matanya yang memancar keluar seumpama mutiara yang terhambur daripada karangannya itu. Kemudian berkatalah pula ianya. "Tiadalah beta ketahui mengapakah Allah Subhanahu wa Taala menjauhi[22] kita berdua ini daripada bertemu, pada hal kasih sayang di antara kita berdua telah mewajibkan persatuan kedua batang tubuh kita. Demi[23] Allah ya Shafik, jikalau diketahui oleh ayahanda-bonda beta akan perikatan kasih sayang kita berdua yang bersih daripada angan-angan kejahatan dan kecemaran dunia ini tentulah kasihan kedua-dua akan kita, istimewa pula jika diketahui oleh ayahanda bunda beta akan lempedu beta akan pecah dan jantung beta akan bersepai pada ketika [24] bercerai lama kita berdua. Ah, Shafik kekasihku yang tunggal di dalam dunia ini, senantiasalah beta pada siang dan malam pecah belah fikiran hilang perasaan, terasa sejuk-seram selera anggota tubuh beta, maka tidaklah beta dapat mengetahui akan sebab lain daripada sebab bercerai dan berjauhan daripada tuan.


Shafik pun tiadalah tertahan hatinya mendengarkan perkataan yang menghancur dan membelenggu akan hatinya itu, maka segeralah ianya tunduk bertelut dengan kedua lututnya sambil menarik akan tangan kekasihnya ke dadanya. Maka Faridah Hanom pun menjeling akan Shafik dengan ekor matanya. Apabila dilihat oleh Shafik kekasihnya menjeling akan dia itu, semangkin[25] bertambahlah[26] mabuknya. Lalu dikucupnya akan tangan kekasihnya itu, sambil berkata: "Nyawaku Faridah, silalah nyawa abang perhatikan dunia yang senyap sepi ini. Kemudian tahankanlah telinga nyawa abang.[27] Adakah nyawa abang mendengar lain daripada bunyi hati abang yang mengandungi tuan di dalamnya? Tuan tanyalah hati abang itu tiap-tiap hari kemudian daripada masuk matahari, adakah kepadanya pekerjaan yang lain daripada mencari peluang hendak datang menghadap akan tuan? Dan tanyalah nyawa abang akan kalbu abang itu, bukankah ianya sentiasa meronta daripada segala rantai belenggu yang mengikat akan dia daripada berjalan menghadap akan tuan? Periksalah tuan akan hati yang telah tuan mendiami di dalamnya itu, bukankah sentiasa ianya berangan-angan hendak mempunyai dua sayap yang boleh terbang setiap masa mendapatkan tuan? Sehingga mencita­citalah[28] ianya jikalau dapat ianya mati di sinaran cahaya tuan. Tetapi telah ditakdirkan Tuhan, maka diberiNya hanyalah dengan perjumpaan pencuri yang takut akan segala mata orang. Maka redhalah juga abang dengan perjumpaan yang demikian. Biarlah abang dikata orang memakai tabiat dan kelakuan pencuri, kerana nikmat perjumpaan dengan tuan itu menghapuskan segala kesusahan dan kehinaan dan kesukaran."

Faridah Hanom pun segeralah memeluk leher kekasihnya seraya berkata, "Memadalah. Memadalah wahai kekasihku, apa yang telah tuan tuturkan itu. Maha besarlah tuah beta boleh mendengar sebanyak itu. Tetapi jika tuan ketahuilah akan kasih dan cinta beta akan tuan, nescaya dapatlah…


tuan menghukumkan[29], bahawa kasih beta itu tidak ada bandingannya di dalam segala hati orang yang telah menanggung asyik dan muhibbah. Bahawa kasih beta akan tuan daripada mula beta terpandang akan tuan itu iaitulah kasih dan asyik anak dara yang tidak berkehendak sekali-kali kepada jalan pekerjaan kecemaran kehidupan dunia. Beranilah beta bersumpah bahawa beta tidak mengenal dan tidak berkehendak mengenal akan laki-laki yang lain daripada tuan. Dan beta tidak hendak berfikir melainkan kepada tuan. Dan beta tidak hendak bercinta dan asyik hingga sampai ke mati melainkan kepada tuan seorang sahaja."

Apabila didengar oleh Shafik Afandi akan perkataan kekasihnya itu, tiadalah tertahan hatinya. Lalu bangunlah ianya memeluk leher kekasihnya ke dadanya sambil berseru – "Faridah, Faridah, Faridah! Abanglah yang demikian itu terpaku cinta berahi akan nyawaku daripada mula abang terpandang akan paras[30] keelokan nyawaku. Maka kasih dan asyik abang akan nyawa abang ini telah terpaku sama sekali ke dalam hati abang. Mustahil sekali boleh keluar lagi daripadanya jika tidak berserta[31] dengan roh abang sama. Maka percayalah nyawa abang, bahawa perkataan tuan ini telah menjadikan abang sehabis-habis bertuah hamba Allah di muka bumi ini. Demi Allah ada abang adalah nyawa abang. Hilang tuan lenyaplah abang. Maka adakah suka tuan berkekalan berkasih­kasihan dengan abang, dengan perjanjian yang demikian sehingga dipertemukan oleh Tuhan kita di dalam halal menurut ke redhaanNya. Maka bagi sementara ini kita berkasih-kasihan yang bersih daripada murka[32] Tuhan dan kecemaran yang meluputkan nama yang bersih di dalam perhimpunan anak-anak yang bangsawan.

Maka segeralah dijawab oleh Faridah Hanom dengan sangat suka hatinya serta menghulurkan tangannya bersumpah setia keduanya berkekalan di dalam berkasih sayang yang bersih daripada niat yang cemar.


Shahdan kemudian sentiasalah kedua asyik dan maksyuk ini bersuka-sukaan dengan mengadukan asyik di antara satu dengan lainnya hingga padamlah segala lampu di jalan dan hilanglah cahaya segala bintang di langit. Ketika itu berkatalah Shafik Afandi kepada kekasihnya, "Fajar telah menyinsing alamat matahari akan terbit, sampailah masanya kita akan bercerai kerana takut akan mata orang yang memandang. Dengan sebab ini abang memberi selamat tinggal akan nyawa abang hingga perjumpaan masa yang lain pula."

Maka Faridah Hanom pun segeralah memegang akan[33] tangan kekasihnya sambil berkata, "Kasihankanlah beta, wahai kekasihku Shafik. Janganlah dilamakan penceraian kita berdua. Belaskanlah hati beta yang sangat menanggung azab sengsara bila berjauhan dan berlamaan penceraian dengan tuan."

Maka segeralah Shafik Afandi menundukkan kepalanya sambil mengucup akan dahi kekasihnya. Maka Faridah Hanom pun menjatuhkan kepalanya ke dada Shafik Afandi, sambil berhamburan air matanya. Maka dikucup oleh Shafik Afandi kepala kekasihnya dengan terasa kasih sayang serta kasihan belas yang amat sangat seperti tidak dapat hendak ditinggalkannya rasanya, jika tidak kerana takut akan keaifan kekasihnya. Maka dikeraskannya hatinya, lalu keluar berjalan terus menuju ke rumahnya dengan mengulang-ulang akan syair ini:

Badanku berjalan nyawa ketinggalan
Di kebun yang elok mengandungi bulan
Faridah kekasihku puteri handalan
Diambilnya semua tiada ketinggalan.

Beginikah rasa asyikkan Faridah
Mengubatkan dia bukanlah mudah
Puteri yang elok memilikku sudah
Patutlah ianya menjadi sidah.



Ruh badan semangat abang
Cahaya umpama bulan mengembang
Selamat tinggal janganlah bimbang
Shafik pun berjalan bagaikan terbang



Elok Faridah sukar bandingnya
Patut ku mati kerana ianya
Luput hatiku pada yang lainnya
Bidadari kayangan Faridah bandingnya.

Wahai puteri pencuri nyawaku
Selamat tinggal teman dan suku[34]
Abang nan pulang tak tentu laku
Harapkan setia tuan nan paku.

Ada pun Faridah Hanom apabila keluar Shafik Afandi maka tinggallah ianya terpegun tiada bergerak di taman itu hingga masuk dayangnya Suad memanggil ianya seraya berkata, "Silakah tuan kembali naik ke atas, kerana ayahanda-bonda hampir bangun daripada beradunya. Tidaklah elok dilihatnya tuan tidak ada di dalam tempat peraduan." Maka tiadalah berdaya Faridah Hanom lalu berjalanlah[35] ianya dengan perlahan-lahan dengan menekan akan hatinya dan menyapu air matanya serta menundukkan kepalanya oleh malu dipandang dayangnya hingga sampailah ke dalam biliknya mengunci pintu serta mencampakkan dirinya ke atas peraduannya dengan sayu hiba rasa hatinya. Maka tiadalah dapat ianya mengejamkan matanya kerana lena dan mengantuknya itu telah lenyap sama sekali daripada matanya disambar oleh kekasihnya Shafik Afandi. Hanyalah yang tinggal kepadanya peringatan maksyuknya di dalam hatinya dan gambar kekasihnya terbayang-bayang di matanya. Tetapi tiap-tiap kali teringat ianya akan pertemuannya dengan kekasihnya dengan keredaan kedua ayahanda-bondanya terasalah kepada hatinya seperti ada sesuatu alangan[36] yang menggalang[37] akan dia. Maka dengan sebab ini berbagai-bagailah waham dan sangka-sangka yang terlintas di dalam fikirannya yang menambahi percintaanya. Maka oleh sebab ianya seorang perempuan yang bijaksana dan berpengetahuan, dijadikannyalah waham dan sangka-sangkanya itu datang[38] kerana bersangatan asyiknya akan maksyuknya itu, sebab perasaan dan sangka-sangka yang demikian ini memang selalu datang kepada orang yang asyik yang telah mesra kasih sayangnya akan maksyuknya ke dalam darah dagingnya yang bersih daripada segala peringatan pekerjaan yang…


kejahatan dan kecemaran. Tetapi pada tiap-tiap kali terlintas rupa kekasihnya kepada mata[39] angan-angannya, leburlah juga rasa hatinya oleh adalah juga beserta sama[40] dengan cinta berahinya itu peringatan yang ditakutinya, kalau-kalau tidak tersempurna ianya akan sumpah setianya. Ketika itu menggeletarlah rasanya segala anggotanya dan segenap tubuhnya seolah-olahnya seperti ianya dengan sengajanya telah melakukan kesalahan ke atas kekasihnya. Maka oleh sebab pelajarannya yang sempurna itu segeralah juga ianya mendapat ketahui bahawa peringatan yang sedemikian[41] itu memang selalu terbitnya daripada hati orang yang bersangatan asyik. Kerana adalah penyakit asyik itu ialah yang membelenggu akan kebebasan sekalian orang yang merdeka dan memperhambakan sekalian raja-raja yang bermahkota. Demikianlah kanun asyik dan perjalanan sekalian asyikin tidak ada suatu keberatan di dalam hati mereka itu lain daripada kebimbangan akan maksyuknya yang sentiasa dibakar oleh api syuk yang dihembus oleh kekuatan muda. Maka mencubalah jua Faridah Hanom melenakan matanya seberapa upayanya, tetapi dari manakah lazat tidur itu hendak sampai kepada orang yang baharu bercerai dengan maksyuknya yang sangat dikasihi itu, yang masih terbayang-bayang Iagi gambarnya ke dalam orang-orang matanya.

Apakala telah putuslah harapan Faridah Hanom daripada mendapat lena itu maka bangunlah ianya daripada tempat tidurnya berjalan seumpama orang yang mulai mabuk minuman menuju ke tingkap yang mengadap ke tamannya duduk bersandar di atas sebuah kerusi baldu yang telah sedia terletak di situ serta memandang ke dalam tamannya. Maka di dapatinya segala burung sedang berterbangan dan bunga-bungaan pun sedang berkembangan semerbak baunya dan matahari pun telah terbit memancarkan cahayanya dicelah bukit. Ada sejurus Faridah Hanom pun bangkitlah dari kerusinya hendak menghilangkan fikirannya itu lalu turun menuju ke bilik ayahanda-bondanya. Maka…


didapatinya ayahanda-bondanya telah siap memakai pakaian hendak keluar ke tempat makan lalu ia mencium tangan ayahanda-bodanya serta memberi selamat pagi. Maka keluarlah ianya mengiring keduanya masuk ke bilik makan duduk hampir[42] saudaranya makan fatur pagi bagaimana biasa. Kemudian kembalilah Faridah Hanom kedalam biliknya berbaring-baring di atas peraduannya ada sejurus terlenalah ianya beradu di dalam bermimpi berbagai-bagai mimpi ada yang menyukai dan ada yang menyusahi hatinya.

Adalah Faridah Hanom beradu itu ditunggu oleh inangnya Suad, maka di amat-amati[43] oleh Suad akan muka tuannya pada masa beradu itu, perasaannya sepertikan memancar cahaya terbit daripada keelokan rupanya. Bibirnya sentiasa tersenyum terkadang-kadang[44] berkerut dahinya mengeluh menarik nafasnya turun naik dadanya yang terhias[45] dengan dua susu yang seumpama gading dilarik atau seumpama buah delima yang sedang muda seolah-olahnya adalah yang beradu itu bidadari yang baharu menjelma daripada syurga menyamar kemari. Maka gementarlah rasa tubuh Suad serta datanglah hebat yang sangat ke dalam hatinya maka mengucaplah ianya akan Tuhannya yang Maha Kuasa menjadikan hambaNya dengan seelok-elok kejadian.

Critical apparatus[Bearbeiten]

  1. berpakan bersulam c, berpakaian d, e.
  2. pertengaan e.
  3. siapa-siapa a, siapa d, e.
  4. mĕrkah d, markah e.
  5. faqir d, e.
  6. hujung, d, e.
  7. lebih kuran omitted in d, e.
  8. tergocoh-gocoh b, c, d, e.
  9. adalah c.
  10. dayang a.
  11. hujung d, e.
  12. seumpama orang Eropa keluar daripada perjamuan malam bersepatu hitam omitted in d, e.
  13. omitted in d, e.
  14. hadapan d, e.
  15. bertemu d, e.
  16. seumpama ru yang ditiup oleh angin timur atau pun added in a.
  17. penghibur d, e.
  18. itu maka omitted in d, e.
  19. sangat d, e.
  20. segala berjanjian omitted in b, c, d, e.
  21. tidak c.
  22. menjauhkan e.
  23. damai (داماي) a, b.
  24. kita c.
  25. semakin c.
  26. bĕratambah d.
  27. perhatikan dunia yang senyap sepi ini. Kemudian tahankanlah telinga nyawa abang omitted in c.
  28. mencinta-cintalah d, e.
  29. menghakimkan d, e.
  30. omitted in d, e.
  31. beserta d, e.
  32. kemurkaan d, e.
  33. memegangkan d, e.
  34. sugu b, d, e.
  35. berjalan d, e.
  36. halangan c, d, e.
  37. menggali b, menggalangi c
  38. omitted in c.
  39. matanya d, e.
  40. omitted in d, e.
  41. demikian b, c.
  42. berhampiran c.
  43. diamat-amati (داما۲تي) a, b, c, di-amat-mati d, e.
  44. kadang-kadang d, e.
  45. yang ternias (يڠـنرهياس‎) b, yang berhias d, e.