Hikayat Faridah Hanom 9

Aus Wikiversity

Fasal yang kesembilan
KEJADIAN YANG SANGAT BERGUNA

Shahdan pada keesokan harinya pukul delapan pagi didengar oleh Faridah Hanom bunyi orang riuh dan sibuk bunyi kaki orang yang berjalan pergi datang di dalam rumahnya itu, maka bangunlah ia hendak berjalan keluar biliknya dengan tergopoh-gopoh hendak bertanya apa yang diriuhkan orang itu, tiba-tiba masuklah ke dalam biliknya dayangnya Saad dengan tergocoh-gocoh dan berubah warna mukanya serta menyeru ia akan Faridah Hanom, "Tuan". Jawab Faridah Hanom, "Apa ibu, dan apakah bunyi riuh yang beta dengar ini ibu." Kata Saad, "Tidak apa-apa tuan, ayah saudara tuan ayahanda Badaruddin Afandi datang dari Iskandariah berdua laki-isteri." Jawab Faridah Hanom, "Ini satu bala lagi pula ibu. Beta ini hampirlah gila rasanya atau beta mesti meninggalkan rumah ini kepada Badaruddin lari daripada rupanya dan kejahatannya." Kata Saad, "Yang terlebih lagi menyusahkan tuan, dayang mendengar khabar kedua ayahanda bondanya datang ini kerana hendak meminang tuan, konon kepada anaknya Badaruddin Afandi.“ Jawab Faridah Hanom, "Janganlah ditakdirkan Tuhan jadi yang demikian itu, jika jadilah juga[1] nescaya beta meminum racun ibu, membunuh diri." Kata dayang, "Jangan begitu, tidak baik tuan, serahkan sahaja pekerjaan diri tuan itu kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, kerana ialah Tuhan yang sangat berkuasa memelihara dan menyampaikan hajat-hajat tuan."

Maka Faridah Hanom mengangkat kepalanya ke langit sambil berkata: "HambaMu serahkan hal diri hambaMu ini kepada engkau ya Allah, maka tolonglah oleh Mu akan daku dan diperlindungkan daku daripada tiap-tiap yang kebencian."


Di dalam Faridah Hanom[2] dengan yang demikian hal masuklah bondanya ke dalam biliknya seraya berkata: "Selamatlah anakku pagi-pagi ini." Maka dijawab oleh Faridah Hanom perkataan bondanya dengan katanya: "Diselamatkan oleh Tuhan akan ibuku," serta bangun ianya mendapatkan bondanya dan mencium tangannya. Maka dipeluk oleh bondanya akan dia dan diciumnya akan pipi anakandanya serta dibawanya[3] duduk di atas kerusinya seraya berkata: "Memakailah tuan, mari kita pergi berjumpa memberi selamat datang ayah saudara tuan dan isterinya baharu sampai dari Iskandariah." Jawab Faridah Hanom, "Baiklah, anakanda akan bersedia sekarang juga bonda.“

Bangunlah Faridah Hanom[2] memakai pakaiannya yang menambah-nambah akan keelokannya dan keluarlah ia bersama-sama bondanya berjalan terus ke tengah rumah tempat ayahandanya dan sekalian yang bersama-samanya duduk, maka didapatinya ayahanda saudaranya duduk di sebelah ayahandanya dan di meja yang lain saudaranya Muhammad Afandi dan Badaruddin serta bondanya. Apa bila masuk sahaja Faridah Hanom segeralah ia memberi salam kepada ayah saudaranya, maka dijawab oleh ayah saudaranya dengan heran tercengang-cengang ia memandang keelokan Faridah Hanom[1] itu serta tertawa menyambut kepala anak saudaranya sambil dikucupnya. Maka dijeling akan dia oleh Badaruddin serta dipicitnya tangan bondanya saraya dibisiknya di telinganya,[4] "Lihatlah bonda akan keelokan yang berlebihan menarik akan hati orang kepadanya ini. Dan perhatikanlah wahai bonda akan dia kerana anakanda dapati sehabis-habis elok perempuan pada masa ini. Maka hendak pun ianya bercakap lebih lagi kepada bondanya tiada sempat sebab Faridah Hanom telah datang hampir hendak mencium tangan bondanya.


Ada pun Faridah Hanom apabila telah selesai ia daripada mendapatkan ayah saudaranya berjalanlah ia mendapatkan isterinya pula, maka bangunlah isteri ayah saudaranya memeluk mencium akan Faridah Hanom dengan sangat suka hatinya melihat keelokan Faridah Hanom itu. Maka Faridah Hanom pun terpandanglah kepada Badaruddin yang memerhatikan dia bagaimana hendak ditelannya itu dengan dua biji matanya yang terbeliak. Maka segeralah Faridah Hanom undur berjalan terus keluar sekali dari situ kerana tiada hendak memandang muka Badaruddin itu.

Apakalah telah keluar Faridah Hanom maka Badaruddin Afandi pun mengulangi percakapannya kepada bondanya semula dengan katanya: "Wahai bondaku, sungguh pun anakanda lihat Faridah Hanom ini tidak bersapa baik dengan anakanda, tetapi anakanda harap dengan kepandaian dan latihan bonda bolehlah ianya bersetuju lama-kelamaanya dengan anakanda[5] dengan sebab ini anakanda haraplah bonda pinangkan ianya dengan anakanda daripada ayahanda-bondanya[6], pada hari ini juga silalah bonda berkhabar kepada ayahanda dan bermuafakat dengan dia kerana anakanda tidaklah hendak berbini akan yang lain daripada Faridah Hanom ini sekali-kali." Maka bangunlah bondanya[7] pergi mendapatkan suaminya seraya duduk di sisinya berbisik-bisik akan kata-kata dan kehendak anakanda Badaruddin Afandi itu, sambil berkata: "Adakah kekanda melihat keelokan anak saudara kekanda Faridah Hanom itu." Jawab suaminya, "Ada, sebenarlah[8] elok budak ini." Jawab isterinya, "Anakanda Badaruddin meminta kita meminangkan akan dia kerananya, adakah bersetuju kekanda hendak bercakap kepada saudara kekanda bagaimana kehendaknya[9] itu."


Maka[2] Kasim Bey pun mengertilah apa-apa yang saudaranya berbisik laki-isteri itu, lalu ianya bertanya kepada saudaranya, "Apakah yang tuan berbisik laki-isteri itu." Jawab saudaranya, "Adinda ini menyuruh adinda meminang daripada kekanda akan anakanda Faridah Hanom kerana anakanda Badaruddin." Kata Kasim Bey dengan tiada berfikir dan tiada bermesyauararat[10] lagi, "Adakah pekerjaan ini berkehendak kepada berbisik-bisik – kerana Faridah itu[11] memang[12] bagi Badaruddin dan Badaruddin itu bagi Faridah." Apabila didengar oleh Badaruddin akan perkataan ayah saudaranya itu bertandaklah hatinya daripada sangat kesukaannya, maka segeralah ianya bangun mencium tangan ayah saudaranya kemudian mencium tangan ayahnya serta memberi terima kasih akan kasih sayangnya bagi menyampaikan hajatnya itu lalu keluarlah ianya sekali daripada rumah itu terus berjalan ke jalan besar tidak tentu tuju jalannya oleh sangat kesukaan itu.

Ada pun Muhammad Afandi sangatlah tidak berkenan hatinya mendengarkan segala hal yang berlaku ini, tetapi hendak ia pun berkata-kata takut sangat akan ayahandanya, lalu keluar ia berjalan mendapatkan saudaranya Faridah Hanom maka didapatinya Faridah Hanom ada di dalam biliknya duduk di atas kerusi di tepi tingkap. Apabila dilihat oleh Faridah Hanom saudaranya datang itu segeralah ia bangun mendapatkan dia seraya tersenyum memandang mukanya. Maka sangatlah kasihan Muhammad Afandi memandang saudaranya itu sambil berkata: „Adakah tuan tahu apa sebab kedatangan ayah saudara kita laki isteri ini.“ Maka bersiahlah darah di muka Faridah Hanom bila mendengar pertanyaan itu kerana terasa di hatinya ada di belakang pertanyaan itu sesuatu perkhabaran yang pelik, lalu dijawabnya pertanyaan saudaranya itu, „Tidak tahu adinda…


apa kehendaknya, kekanda.“ Kata Muhammad Afandi, "Kedua-duanya datang meminang tuan daripada ayahanda kerana anaknya Badaruddin.“ Maka Faridah Hanom pun jatuh terduduk bila mendengar perkataan itu daripada sangat-sangat terkejutnya serta berkata: „Meminang aku. Kerana apa. Yang demikian ini tidaklah boleh jadi sekali-kali. Tetapi apakah jawab ayahanda.“ Maka Muhammad Afandi pun sangatlah kasihan melihat saudaranya itu serta berkata: "Ayahanda itu nampaknya bersetuju, tetapi belum tentu apa-apa lagi." Lalu ia keluar segera daripada bilik saudaranya sebab tidak terpandang ia akan hal saudaranya itu, maka hendak pun ianya campur di dalam hal ini tiada boleh kerana tabiat ayahandanya tidak boleh digalangi[13] apa-apa kehendaknya.

Apabila telah keluar Muhammad Afandi maka bangkitlah Faridah Hanom daripada tempat ia jatuh terduduk itu merebahkan dirinya ke atas peraduannya seumpama orang yang telah terkena demam yang keras berkacau percakapan yang dikeluarkannya tiada tentu apa yang dikatanya, kemudian diamlah ia dengan keluh kesah yang bersangatan oleh berpecah belah fikirannya, dan terhamparlah ia di atas peraduannya itu seumpama suatu mayat tiada bergerak bergeri beberapa lama, kemudian bangunlah ianya menuju ke tempat perhiasannya berhadapan dengan meja sikatnya mengambil akan kalam da'wat menulis surat dengan menggeletar tangannya demikian bunyinya:

Kekasihku yang tunggal Shafik, 
Telah datang suatu hal yang tidak disangka-sangka sekali-kali. Datang ke rumah adinda masa lima hari dahulu sepupu adinda bernama Badaruddin Afandi. Maka selalulah ia mengeluarkan percakapan kepada adinda yang menunjukkan ianya berahikan adinda. Maka sentiasalah melarikan diri daripadanya. Dan pada pagi ini datang pula ayahanda…

bondanya dari Iskandariah kemari. Dikhabarkan oleh saudara adinda Muhammad Afandi kepada adinda bahawa ayahanda bondanya telah berbicara dengan ayahanda bonda adinda hendak menikahkan adinda dengan anaknya itu. 
Bermula adinda sangat-sangat benci akan dia tiada hendak sekali-kali menjadi isterinya jikalau sampai bagaimana jadinya sekali pun di dalam pekerjaan ini. Maka hendaklah kakanda membuat pekerjaan di dalam hal ini apa-apa yang patut dan jika boleh mintalah ayahanda bonda kakanda datang meminang adinda. Bermula, adinda di dalam berikhtiar apa yang patut diperbuat di dalam perkara ini. Ingatlah kakanda sedikit di dalam perkara ini jangan melebihkan malu akan ayahanda-bonda sendiri seumpama sekalian anak-anak dara yang belum mengerti apa-apa.
Terimalah kehormatan daripada[1] orang yang bersih kasih sayangnya.
Faridah

Adalah Faridah Hanom menulis surat ini di dalam gelora dan gelombang fikiran yang dipalu oleh peringatan kasih sayangnya akan Shafik Afandi dan kebenciannya akan Badaruddin Afandi, maka apabila telah habis ia menyurat diletakkannya kalamnya. Melengunglah ia seketika di dalam peringatannya akan maksyuknya seolah-olahnya seperti ia berkata dengan kekasihnya rasa hatinya. Maka di dalam hal ianya yang demikian,[14] datanglah Badaruddin Afandi di hadapan pintu bilik Faridah Hanom, maka tiadalah Faridah Hanom mendengar bunyi kakinya berjalan itu melainkan kemudian daripada telah sampai Badaruddin ke pintu biliknya. Apabila didapati oleh Badaruddin pintu bilik itu tertutup[15] dari dalam maka dilihatnya daripada lubang kunci pintu itu didapatinya Faridah Hanom duduk menulis. Maka datanglah syak dan cemburu di hati Badaruddin lalu diketuknya pintu bilik itu perlahan-lahan, maka bangunlah Faridah Hanom daripada tepi mejanya dengan…


meninggalkan suratnya itu di atas mejanya serta pergi membuka pintu biliknya sebab tidak disangkanya sekali-kali Badaruddin Afandi yang mengetuk pintu biliknya itu. Apabila terbuka pintu biliknya tiu dilihatnya Badaruddin Afandi yang mengetuk itu, maka naiklah marahnya dengan merah padam warna mukanya seraya berkata: "Apakah kerja engkau datang ke mari, dan apa kehendak engkau mengetuk pintu bilikku, dan apa pekerjaan engkau dengan aku.“ Di dalam ia marahkan[16] Badaruddin itu dilihatnya mata Badaruddin merenung akan surat yang di atas mejanya itu maka mengetahuilah ia akan kehendak Badaruddin itu lalu segera diambilnya surat itu dimasukkannya ke dalam bajunya.

Ada pun Badaruddin apakala melihat ia akan kemarahan Faridah Hanom itu serta memandang ia akan Faridah Hanom mengambil surat itu memasukkan ke dalam bajunya, maka menggoleng-golengi ia akan kepalanya serta keluarlah ia berjalan perlahan-lahan mengatur tapaknya. Maka Faridah Hanom pun terdirilah tercegat di tempatnya itu sekira-kira setangah jam di dalam fikiran yang sangat marah, kemudian datanglah balik ingatannya yang sempurna lalu diserunya dayangnya Saad diberikannya surat Shafik Afandi itu disuruhnya segera pergi hantarkan kepada kekasihnya.

Maka Saad pun menerima surat itu lalu[17] memakai pakaiannya terus turun[1] berjalan ke rumah Shafik Afandi, tetapi sebab Shafik Afandi tiada di rumahnya naiklah ia kereta sewa pergi ke rumah Aliah. Manakala sampai ianya[18] ke sana didapatinya Shafik Afandi ada di situ menunggu[19] kalau-kalu kekasihnya datang. Apabila dilihat oleh Saad akan Shafik Aandi itu segeralah ia memberi salam maka dijawab oleh Shafik Afandi akan salamnya dengan sangat suka hatinya serta bertanya akan kekasihnya dengan perkataan yang menunjukkan sangat rindu dendamnya. Maka…


dikhabarkan oleh Saad akan kesusahan Faridah Hanom dengan kedatangan ayah saudaranya serta diserahkannya surat Faridah Hanom itu kepadanya.

Apabila dibaca oleh Shafik Afandi akan surat kekasihnya itu terasalah[20] menggeletar seluruh tubuhnya, maka segeralah disuruhnya bayar sewa kereta Saad itu serta diajaknya Saad duduk bertanyakan hal kekasihnya, maka diceritakanlah oleh Saad akan hal yang jadi[21] daripada awal hingga akhirnya.

Maka terasalah Shafik Afandi sakit hatinya dengan dukacitanya yang tiada dapat hendak diperikannya lalulah segera ia bangun seumpama orang yang hilang akal mengajak akan Saad balik naik sebuah kereta sewa terus ke rumahnya. Apabila sampai ia ke pintu rumahnya turunlah ia serta membayar sewa kereta itu disuruhnya menghantarkan Saad ke rumah Kasim Bey[2] sambil berpesan kepada Saad di suruh berkhabar kepada Faridah Hanom yang dianya akan datang meminang akan dia bersama-sama ayahanda-bondanya yang akan dipohonkannya seberapa boleh pergi ke rumahnya berjumpa ayahanda bondanya[22] pada malam ini juga sebab kebetulan ayahanda-bondanya baharu balik semalam[1] daripada Iskandariah, maka besarlah harapannya bahawa ayahanda-bonda kekasihnya tidak menolak permintaan ayahandanya itu oleh sebab keduanya memang sangat bersahabat baik. Maka berjalanlah kereta itu membawa Saad ke rumah Kasim Bey, dan Saad pun turun lalu pergi kepada tuannya Faridah Hanom dikhabarkannya segala perkataan Shafik Afandi itu iaitu ia akan datang bersama-sama ayahanda bondaya pada malam ini meminang akan dia. Maka senanglah sedikit hati Faridah Hanom serta mengucap syukurlah ia kepada Tuhannya dan memuji-muji akan dia.

Critical apparatus[Bearbeiten]

  1. 1,0 1,1 1,2 1,3 1,4 omitted in d, e.
  2. 2,0 2,1 2,2 2,3 omitted in c.
  3. dibawa c.
  4. telinga c.
  5. dengan anakanda omitted in c, d, e.
  6. ayahanda-bonda c.
  7. bonda c.
  8. sebenarnya d, e.
  9. kehendak c, d, e.
  10. termesyauarat c.
  11. ini c.
  12. missing in a.
  13. dihalangi e.
  14. di dalam khayal yang demikian c, di dalam hal yang demikian d, e.
  15. bertutup a, didapati oleh Badaruddin ke pintu biliknya, pintu bilik itu tertutup e.
  16. memarahkan c.
  17. lalu itu c.
  18. ia c.
  19. menunggu-nunggu d, e.
  20. terasa d, e.
  21. terjadi d, e.
  22. yang akan dipohonkannya seberapa boleh pergi ke rumahnya berjumpa ayahanda bondanya omitted in d, e.