Hikayat Faridah Hanom 3

Aus Wikiversity
Fasal yang ketiga
SURAT KIRIMAN

Lamalah sudah kalam meninggalkan Shafik Afandi terhantar di atas tilamnya mendayu-dayu akan kekasihnya dengan berbagai-bagai syair gurindamnya oleh leka kalam dengan mabuk akan keelokan puteri Kasim Bey itu. Maka patutlah sekarang kembali kalam kepadanya supaya diketahui bagaimanakah sebabnya maka ianya keluar berjalan di hadapan rumah Kasim Bey yang dilihat oleh Faridah Hanom dua kali itu.

Shahdan ada pun Shafik Afandi ini seorang anak laki-laki yang masyhur dengan keelokan rupanya, dan sajak bangunan badannya serta dengan bijaksananya. Maka kemudian daripada telah ianya melihat Faridah Hanom ini menjadilah ianya seorang anak yang dipandang oleh orang bingung tidak tahu menghias akan dirinya, kusut-masai rupanya dan pakaiannya, jaranglah…


ianya berjalan keluar daripada rumahnya; sentiasa duduk melengong di dalam biliknya. Sehingga bimbanglah kedua ayahanda-bondanya takutkan puteranya mendapat penyakit. Tetapi bila keduanya bertanya akan Shafik Afandi mengapa ianya berubah daripada sehari-hari itu dijawab oleh Shafik Afandi tidak mengapa hanya ngilu sahaja rasa kepalanya. Beberapa kali ayahandanya hendak memanggil doktor melihat penyakit itu, tiadalah Shafik Afandi mahu. Maka oleh sebab Shafik Afandi ini seorang muda yang sangat bijaksananya, tiadalah siapa pun dapat menangkap rahsianya itu.

Sentiasalah Shafik Afandi di dalam dendam berahi dan asyiknya kepada Faridah Hanom itu, hingga hilanglah daripadanya lazat nikmat makan minum dan kesukaan berjalan berkawan. Hanyalah tinggal ianya seorang dirinya dengan hamba sahayanya di rumahnya tiada suka bercampur dengan siapa-siapa jua pun melainkan menyempurnakan pekerjaan ayahandanya yang biasa dijalankannya di hadapan ayahandanya. Itu pun dipaksanya akan dirinya oleh takutkan menyusahkan hati ayahanda-bondanya serta takut diketahui keduanya akan rahsianya.

Asyik Shafik Afandi akan Faridah Hanom daripada pandangannya mula pertama itu telah mengubahkan perjalanan kehidupannya yang biasa kepada perjalanan kehidupannya yang baharu. Termimpi-mimpi akan kekasihnya pada masa lenanya dan terbayang-bayang di orang-orang matanya akan gambar maksyuknya pada masa jaganya. Maka tiadalah peringatan Shafik Afandi yang lain lagi, hanyalah menanti masa bilakah boleh bertemu dengan kekasihnya itu. Dengan sebab yang demikian selalulah[1] Shafik Afandi keluar berjalan kaki ke hadapan rumah kekasihnya dan berkeliling kebunnya dengan seorang dirinya menurutkan hatinya yang bercinta dan mengikut angan-angan yang berharap boleh dapat memandang yang diberahikannya daripada celah pagarnya. Selalulah Shafik Afandi keluar daripada rumahnya umpama orang yang tiada sedar akan dirinya berjalan kaki dengan tiada memakai bersolek…


bagaimana biasanya menuju ke rumah maksyuknya, kemudian balik ianya semula dengan tidak dapat ianya melihat apa-apa, tidaklah sedar Shafik Afandi sekalian hamba sahayanya yang di dalam rumahnya itu memerhatikan halnya, tetapi seorang pun tiada berani berkata-kata.

Pada suatu hari Shafik Afandi duduk di dalam rumahnya dengan dukacitanya berahikan Faridah Hanom itu, tiada keluar dari dalam biliknya hingga masuk matahari. Kemudian keluarlah ianya pergi menghadap ayahanda-bondanya bagaimana adatnya makan bersama-sama. Apabila selesai makan minum kembalilah semula ianya[2] ke dalam biliknya baring berselubung menangis seorang dirinya sambil berkata: "Ilahi Rabbi, apakah sesudahnya hambaMu dengan kehidupan yang demikian ini, kiranya tiada ditakdirkan hambaMu boleh bertemu dengan Faridah Hanom itu, ambillah nyawa hambaMu kerana tiadalah tertanggung[3] lagi kehidupan yang demikian ini," sambil ianya bersyair demikian bunyi[4]:

Ayohai nasib badan yang malang
Merasai[5] mabuk tidak bersulang
Puteri yang dipandang berangkat pulang
Disambarnya semangat bagaimana hilang.

Ayohai mastika gemala negeri
Tidakkah belas intan baiduri
Membakar abang demikian peri
Cinta seorang gila sendiri.

Ayohai Faridah raja perempuan
Kasihankanlah abang orang yang hewan
Tuanlah penawar hati yang rawan
Sampaikah hati membunuhku tuan.

Abang nan mati tentulah saudah
Jikalau lambat tuan memadah
Hendak pun abang mendapatkan Sidah
Takut tak sudi perasa yang indah.

Buah hati semangat badanku
Tuanlah penglipur segala penyakitku
Kodrat Tuhan tentu[6] berlaku
Kematian abang asyikkan nyawaku.



Daripada hari terpandang mastika
Hancur luluh hatiku luka
Ubatnya tak dapat kepada jangka
Jika adikku membuat murka.

Jikalau tuan murkakan kekanda
Matilah abang tinggallah adinda
Menanggunglah tuan harapan sanda
Kerana adikku zalim berganda.

Ilahi Rabbi Tuhan seksama
Sakit hambaMu berapa purnama
Ku pohonkan rahmat kasihan pun sama
Perjumpakan dengan cahaya utama.

Faridah puteri cahaya negeri
Di pohonkan dia menjadi isteri
Pekerjaan yang haram tidak ku gemari
Kalau pun bersama berapa hari.

Habis upaya habis ikhtiar
Mencari sabar sangatlah liar
Cinta seorang juga terbiar
Faridah di rumah leka bersiar.

Faridah di rumahnya[7] bersuka-sukaan
Di sini hambaMu[8] asyik berlamaan
Semangat digoda puteri keinderaan
Siang dan malam tak ada perbezaan

Ayohai adikku Faridah yang elok
Persembahan yang benar bukanlah olok
Tuan di hati tidak bertolok
Ku tangiskan adikku bantal ku peluk.

Tidakkah terlintas intan permata
Hendak mencuba berpandang mata
Dengan abang melawan berkata
Jikalau pun hendak memaki nista.

Apakah sudah abang nan ini
Berahi tak kurang berapa zamani
Tuan dipandang macam rohani
Elok dan cantik kejadian norani.

Demikianlah hal Shafik semalam-malaman tiada boleh Iena hingga hampir naik matahari, maka bangunlah ianya mengambil air sembahyang dan sembahyang subuh serta berdoa ke hadarat Tuhannya…


memohon di sampaikan hajatnya dan dipertemukan ianya dengan kekasihnya. Kemudian memakailah ianya akan pakaiannya keluar mendapatkan ayahanda-bondanya serta mencium tangan keduanya bagaimana biasanya, maka dipeluk oleh ayahanda-bondanya akan dia serta diciumnya dengan mendoakan anaknya itu supaya mendapat tiap-tiap kebajikan lalu masuk ketiganya ke bilik makan fatur pagi bagaimana istiadatnya hari-­hari[9]. Apabila telah selesai fatur keluarlah Shafik Afandi bersama­sama ayahandanya ke tempat pekerjaannya menjalankan segala perkara yang dikehendaki menyempurnakan dia pada hari itu hingga petang. Maka Shafik Afandi pun kembalilah semula ke biliknya bersalin pakaian serta menghiasi dirinya dengan pakaian serba putih dan membetulkan tarbushnya di hadapan cermin besar, kemudian berjalanlah ianya keluar diiringi oleh sekalian hamba sahayanya menyuruh saisnya memakai keretanya lalu naik ianya serta menyuruh saisnya[10] menjalankan keretanya perlahan­lahan menurut jalan hadapan rumah Kasim Bey. Maka apabila sampai ianya bertentangan dengan rumah kekasihnya itu menolehlah ianya ke atas rumah itu dilihatnya kekasihnya nampak terserlah di tingkap itu umpama bulan yang terserlah daripada awan yang menyaputnya. Maka menggeleparlah hati yang di dalam dadanya itu tiada dapat ditahannya lalu terangkat tangannya memberi salam kepada kekasihnya, dan dijawab oleh Faridah salamnya itu.

Apakala[11] dilihat[12] oleh Shafik Afandi akan salamnya dijawab oleh maksyuknya itu sangatlah kesukaan rasa hatinya seumpama kejatuhan bulan rasanya maka tiadalah ianya berkehendak berjalan jauh lagi lalu disuruhnya saisnya balik ke rumahnya maka baliklah Shafik Afandi dengan membawa perasaan yang diterima oleh hatinya daripada cahaya sinaran selama yang belum pernah seumur hidupnya menerima seumpamanya.

Sebermula ada pun Faridah Hanom yang duduk minum dan makan makanan yang menghilangkan masam mulutnya seorang diri oleh sebab semalam-malaman ianya tiada boleh lena itu sentiasalah[13]


jua ianya terasa sangat malu di dalam hatinya kerana membalas salam kekasihnya itu, tetapi lapanglah jua sedikit rasa hatinya dan terhiburlah juga sedikit cinta berahinya, maka bangunlah ianya daripada kerusinya dengan fikiran di dalam hatinya yang berperang di antara keduanya iaitu iakah dahulu menulis surat kepada Shafik Afandi atau pun patut ianya menunggu dahulu sampai Shafik Afandi menulis kepadanya. Maka oleh keras peperangan di antara dua fikiran ini di dalam hatinya, termenunglah ianya seketika seumpama orang yang bingung hilang perasaan. Tetapi pada akhirnya tiadalah tertahan hatinya daripada mendahulukan menulis itu kepada Shafik Afandi. Maka segeralah ianya masuk ke dalam bilik tulisnya duduk berhadapan meja tulisnya menulis kepada kekasihnya demikian bunyinya:

Kekasihku Shafik Afandi,
Beta menulis surat ini di dalam dua pancaindera. Yang pertama bersangatan malu daripada tuan. Yang kedua bersangatan ingin hendak mengetahui sebab yang tuan melakukan kelakuan yang berlainan daripada adab peraturan laki-laki[14] yang berpengetahuan bila bertemu atau memandang perempuan bangsawan.
Maka oleh sebab kekuatan kehendak yang kedua ini mengalahi[15] perasaan yang pertama itu jadi terpaksalah beta menjalankan kalam beta menulis surat ini di[16] dalam perasaan kemaluan yang sangat, kerana berlebihan sangat hati beta memikirkan kelakuan tuan yang tidak patut itu jika berpanjang masanya kelak menjadikan sebut-sebutan orang akan nama beta dan nama kedua ibu bapa beta di luar daripada sebutan nama anak-anak perempuan bangsawan yang sangat memperhargakan kebersihan kehidupan yang sangat dihormati.

Maka dengan sebab ini haraplah beta tuan menaruh janji menentukan satu masa yang boleh beta berjumpa tuan di mana-mana tempat yang patut adanya. 
Terimalah kehormatan beta dan kasih yang bersih.
F.

Apabila telah selesai Faridah Hanom menulis surat ini dimasukkannya ke dalam sampulnya dan dibungkusnya dengan sapu tangan sutera yang telah disapunya dengan berbagai-bagai macam minyak bau-bauan, kemudian di serunyalah dayangnya Suad serta berkata, "Adakah ibuku tahu rumah Shafik Afandi Talat Bey." Jawab Suad, "Tahu sangat, apakah kehendak tuan kepadanya." Ketika itu datanglah malu Faridah Hanom hendak berkhahar kepada dayangnya kehendaknya itu dengan malu yang amat sangat, lalu dijawabnya kepada dayangnya, "Tidak apa ibu, cuma beta bertanya sahaja." Maka kasihanlah dayangnya melihat tuannya berubah warna mukanya itu[17] serta tahulah dayang akan tuannya malu hendak herkhabar kepadanya itu maka segeralah ianya bangun mencium tangan tuannya seraya berkata, "Mengapakah tuan malu akan hamba tua yang sentiasa gemar dan suka melihat kesenangan dan kesukaan tuan. Janganlah tuan bersembunyi daripada hamba tua ini, berkatalah tuan apa kehendak tuan. Tidaklah patut tuan bersembunyi atau berlindung daripada hamba tua ini apa-apa juga rahsia yang menyusahkan hati tuan."

Jawab Faridah Hanom, "Tidak ibuku, tetapi………." lalu ianya diam. Kata dayang, "Tetapi apakah itu tuan. Khabarkanlah kepada hamba tua ini apa yang ada isi hati tuan dan apa juga kehendak hati dan kesukaan tuan, kerana hamba tua inilah yang akan bekerja dan berusaha menyampaikan segala kehendak-kehendak[18] hati tuan itu jika sampai kepada keluar nyawa dayang sekali pun, maka janganlah tuan menaruh syak di hati sekali-kali."


Maka Faridah Hanom pun tiadalah tertahan hatinya lagi, lalu ianya menyembamkan mukanya ke pangkuan dayangnya, sambil menangis dengan tangisan yang sangat amat.

Maka dayang pun turut menangis sama oleh sangat belas kasihan akan tuannya itu seraya menyambut kepala tuannya dicium dan dipeluknya serta berkata: "Diamlah tuan, jangan sangat menangis," dan dipujuknya dengan beberapa perkataan yang menyukakan hati tuannya. Kemudian katanya: "Khabarkanlah kepada hamba tua ini apa ada rahsia dan percintaan tuan mudah-mudahan dapatlah dayang mencari jalan menyampaikan kehendak tuan dan menghilangkan segala percintaan junjungan tajuk mahkota dayang yang tidak terhargakan, janganlah syak junjungan dayang segala pekerjaan yang mendatangkan kesukaan tuan, telah wajiblah di atas dayang mengerjakan dia jikalau sampai kepada hilang nyawa dayang sekalipun. Demi tuhan seru sekelian alam ini tidaklah dayang memecahkan rahsia tuan itu bagaimana yang telah tuan lihat dan ketahui kasih sayang dayang daripada kecil tuan hingga sampai sekarang ini.

Maka Faridah Hanom pun hilanglah malu sedikit lalu bangun duduk berkata sambil menundukkan kepalanya, "Adalah beta ini belum berkenalan lagi dengan dia hingga masa ini. Tetapi beta melihat akan dia mula-muIa sekali di hadapan rumah ini bila kita balik dahulu berdua berjalan kaki daripada rumah Azizah Hanom, tidakkah ibuku ingat ianya mengikut kita daripada hadapan rumahnnya hingga ke pintu rumah kita ini. Masa itulah beta memandang akan dia betul, maka teringatlah di hati beta daripada hari itu hingga masa ini beberapa beta hiburkan hendak melupakan dia tiada dapat. Kelmarin ianya lalu petang di atas keretanya bila bertentangan dengan jendela beta duduk itu dilihatnya beta maka ianya pun mengangkat tangannya memberi salam kepada beta." Maka jawab dayang, "Sekarang tahulah dayang akan hati tuan kepada Shafik Afandi putera Talaat…


Bey itu[19], apakah kehendak tuan kepadanya hendak menyuruh dayang pergi kepadanyakah[20]?" Kata Faridah Hanom, "Beta hendak meminta tolong ibu beta menyampaikan surat beta ini[21] kepadanya. Pengharapan beta hendaklah ibu beta menyerahkan ke tangannya sendiri jangan sekali-kali di kirim-kirim di tangan orang lain dan jangan siapa pun mengetahui rahsia ini." Lalu diberikannya surat itu kepada dayangnya serta dipesannya pula, "Apabila ibu beta serahkan surat ini kepadanya bila dibacanya perhatikanlah mukanya dan kelakuannya kemudian baliklah berkhabar kepada beta apa-apa halnya."

Maka Suad pun[22] segeralah menyambut surat itu daripada tuannya lalu dimasukkannya ke dalam bajunya serta bangun memakai kam tudungnya terus turun berjalan menuju ke rumah Shafik Afandi. Apabila sampai ianya ke sana maka didapatinya Shafik Afandi tengah duduk seorang dirinya di dalam tamannya. Maka segeralah di hampiri oleh Suad sambil memberi salam dan berkata: "Afandi, marilah turut beta ini ke jalan sebelah belakang ini." Apakala di dengar oleh Shafik Afandi perkataan perempuan tua itu sangatlah heran hatinya melihat keberanian perempuan tua itu kepadanya lalu ianya bertanya, "Apa kehendak engkau." Jawab Suad dengan perlahan-lahan suaranya, "Hamba ada membawa surat daripada tuan hamba Faridah Hanom." Maka Shafik Afandi pun sangatlah terkejutnya bila mendengar nama kekasihnya itu serta tersara-saralah ianya menurut Suad pergi ke jalan sebelah belakang yang sunyi daripada orang pergi datang ini, sambil berkata kepada Suad, "Mana surat itu, bawalah ke mari." Lalu diunjukkan oleh Suad surat itu kepada Shafik Afandi maka disambut oleh Shafik Afandi serta dikucupnya dahulu beberapa kali dijunjungnya kemudian baharulah dibukanya dan dibacanya. Ada pun Suad di perhatikannyalah muka Shafik Afandi membaca surat itu dilihatnya bercahaya-cahaya warna mukanya dengan tersenyum manis dan menggeletar kedua tangannya memegang surat itu. Apakala telah habis dibacanya sekali maka diulanginya lagi baca dua tiga…


kali kemudian baharu ianya bersuara dengan katanya, "Shukurlah ya Tuhanku yang telah mengurniakan ubat penyakitku ini." Kemudian diciumnya surat itu lagi beberapa kali baharu dilipatnya dan dimasukkannya ke dalam poketnya serta di keluarkannya satu pound daripada poketnya diberikannya Suad serta berkata: "Ambillah ibuku duit ini buat bayar sewa kereta ibuku, tetapi nantilah sebentar tunggu ambil jawab surat tuan ibuku ini lalu berlari-lari ianya masuk ke dalam rumahnya ada sejurus keluarlah ianya membawa sekeping surat yang telah bersampul diunjukkannya kepada Suad. Maka diterima oleh Suad surat itu serta memberi salam kepada Shafik Afandi lalu berjalan pulang mendapatkan tuannya Faridah Hanom sepertikan[23] terbang rasanya dari ada sangat sukanya oleh sampai hajat tuannya dengan sempurna itu.

Apabila sampai ianya ke rumahnya masuklah ianya menghadap tuannya maka pada masa itu Faridah Hanom tengah berbaring-baring menantikan dayangnya balik. Maka Suad pun segeralah memberikan surat itu serta berkhabarkan hal kelakuan Shafik Afandi yang dilihatnya. Maka Faridah Hanom pun mencapai surat itu dengan sangat suka hatinya serta di keluarkannya surat itu daripada sampulnya dan dibacanya demikian bunyinya.

Nyawaku yang dikasihi, 
Jikalau kakanda[24] menjadi raja kemudian kakanda[24] dapat menawan sekalian[25] raja-raja dan segala kerajaan yang ada di dalam dunia ini dengan pedang kakanda[24] sendiri, dan sentiasalah kakanda[24] medapat kemenangan daripada sekalian seteru kakanda[24], nescaya tiadalah juga sama dengan setengah daripada kesukaan kakanda[24] masa menerima surat tuan ini. Pada hari dan masa inilah kakanda[24] membilangkan diri kakanda[24] sehabis-habis bertuah orang yang dimuka bumi ini ialah sebabnya kakanda menerima…

tegur-sapa nyawaku yang sudi hendak berjumpa dengan kakanda[24]. Maka hendaklah nyawaku ketahui dan percaya[26] bahawa tuan itulah tandingan nyawa kakanda[24] dan bahawa kasih dan cinta kakanda[24] akan tuan itu tidak boleh ada bandingnya dengan kasih sayang sekalian manusia yang di dalam dunia ini. 
Oleh kerana hendak mengukuhkan segala perkataan kakanda[24] ini adalah kakanda[24] menunggu tuan di dalam kereta kakanda[24] berhampir dengan rumah tuan. Silalah tuan dengan ikhlasnya menghidupkan kakanda[24] dengan cahaya darjah muka nyawa yang di cita-cita siang dan malam.
Hamba yang dimiliki oleh keelokan tuan.
SHAFIK

Maka berulang-ulanglah Faridah Hanom membaca suratnya itu dua tiga kali kemudian berbaring-baringlah ianya di tempat tidurnya menantikan sampai waktu pergi berjumpa dengan kekasihnya itu. Ada pun Suad manakala dilihatnya tuannya berbaring-baring tempat tidurnya itu maka keluarlah ianya daripada biliknya[27] pergi melihat kerjanya. Ada sejurus maka Faridah Hanom pun bangun mengunci pintu biliknya mengeluarkan pakaiannya memakai dan berhias akan dirinya hingga jadilah ianya seolah-olahnya seumpama sepotong daripada bulan yang menerangkan alam ini. Dahulu daripada sampai masa yang ditentukan oleh Shafik Afandi hendak berjumpa dengan dia itu satu jam keluarlah ianya dari dalam biliknya pergi menghadap ayahanda­bondanya memohon izin hendak berjalan bersama-sama dayangnya pergi ke rumah setengah daripada sahabat handainya. Maka dibenarkan oleh ayahanda bondanya lalu keluarlah Faridah Hanom daripada rumahnya pada jam yang ditentukan ke tempat yang dijanjikan oleh Shafik Afandi.

Apparatus criticus[Bearbeiten]

  1. selalu d, e.
  2. dirinya in d, e.
  3. ambillah nyawa hambaMu kerana tiadalah tertanggung
  4. bunyinya a, d, e.
  5. merasa d, e.
  6. tentulah c,
  7. rumah d, e.
  8. nya e.
  9. sehari-hari a.
  10. memakai keretanya lalu naik ianya serta menyuruh saisnya omitted in e.
  11. apabila e.
  12. dilihatnya a.
  13. senantiasalah a.
  14. orang laki-laki d, e.
  15. menghalangi d, e.
  16. omitted in d, e.
  17. muka itu b, c, muka d, e.
  18. kehendak d, e.
  19. missing in a
  20. pergi kepadanyakah missing in a, pergi kepadanya in c.
  21. omitted in e.
  22. pula a.
  23. seperti akan d, e.
  24. 24,00 24,01 24,02 24,03 24,04 24,05 24,06 24,07 24,08 24,09 24,10 24,11 24,12 24,13 24,14 abang a.
  25. omitted in d, e.
  26. dan percaya omitted in d, e.
  27. omitted in d, e.