Hikayat Faridah Hanom 5

Aus Wikiversity

Fasal yang kelima
MASA PERJUMPAAN ASYIK DAN MAKSYUK

Lepas daripada perjumpaan masa yang pertama ini sehari maka tiadalah tertahan hati Shafik Afandi daripada keinginannya hendak berjumpa kekasihnya itu, lalu ianya berkirim surat kepada kekasihnya di dalam pos mengatakan ianya akan datang berjumpa dengan dia di rumahnya pada pukul satu malam, iaitulah perjumpaannya yang tersebut fasal pertama di dalam surat ini, yang Shafik terlambat satu jam daripada tempoh yang dijanjikan oleh berbetulan pada malam itu ayahandanya berjamu orang besar-besar dan saudagar-saudagar orang-orang putih serta sekalian Mem bini-bini mereka itu, maka terpaksalah Shafik Afandi melayani Mem-mem itu lepas makan bersuka-sukaan di dalam taman rumahnya mendengar bunyi-bunyian ben pancaragam yang menggemarkan mereka itu mendengarnya. Maka tiadalah tersangka Shafik Afandi sekali-kali mereka itu boleh duduk di dalam rumahnya itu, sehingga lebih daripada pukul satu malam, tetapi dengan seberapa daya upaya Shafik Afandi mencari ikhtiar hendak menyuruh mereka itu balik sampailah jua sehingga pukul dua malam lebih baharulah sekaliannya pulang. Maka apakala habis sahaja sekalian Mem-mem jemputannya pulang, segeralah Shafik Afandi berjalan menuju ke rumah kekasihnya dengan tidak sempat menukar seluar bajunya lagi. Maka kemudian daripada Shafik Afandi mendengar kekasihnya marahkan dia sebab terlambat itu, berjagalah ianya kemudian daripada itu tiap-tiap kali ianya berjanji dengan kekasihnya, tiadalah berani ianya melambatkan daripada janjinya, jikalau bagaimana sekali pun ada pekerjaannya.

Shahdan kemudian daripada perjumpaan yang kedua kali ini selalulah kedua asyik dan maksyuk ini berjumpa pada malam hari di dalam kebun rumah Faridah Hanom dan pada…


siang hari di dalam kereta berjalan sama-sama pergi pada segenap kebun-kebun bunga kerajaan negeri Mesir, dan kebun perhimpunan segala binatang-binatang yang buas-buas dan terkadang masuk keduanya ke dalam Azbakiah kebun yang di pertengahan negeri Mesir yang sangat masyhur keelokannya dan bangun-bangunan dan tempat permainan yang menyukakan hati orang-orang yang masuk di dalamnya. Dan ada kalanya berjalan keduanya ke Ahram menyusur tepi sungai Nil yang luas itu naik sampan perahu menyukakan hati keduanya. Demikianlah keduanya setiap masa menurutkan nafsu asyik maksyuknya berjalan menyukakan hati keduanya dan melayankan kehendak cinta berahi yang telah mesra ke dalam darah daging keduanya sama banyak, sama timbang, dengan berbagai-bagai ragam pujuk rayu dan gurindam yang terbit daripada hati yang bersih daripada berniat akan pekerjaan yang kecemaran atau melakukan berbuatan yang menghilangkan kehormatan diri. Hanyalah semata-mata apakala tidak tertahan lagi oleh Shafik Afandi akan hatinya, memintalah ianya kebenaran kekasihnya mengucup akan tangannya, atau kepalanya, tidak sekali-kali ianya berani melampaui daripada leher hingga ke bawahnya. Dan Faridah Hanom pun tatkala telah melihat ianya akan kebersihan hati kekasihnya itu sangatlah kasihan hatinya melihatnya ia bersangatan menjaga diri itu, jadi tiadalah ianya menahan dirinya sangat apa-apa jua yang dikehendaki oleh kekasihnya itu daripada lehernya hingga ke hujung rambutnya, oleh telah tetaplah di dalam hatinya bahawa Shafik Afandi inilah laki-laki yang akan memiliki akan dia di dalam halal menurut keredaan Tuhannya serta dengan keredaan kedua ayahanda-bondanya. Haramlah padanya menerima laki-laki yang lain jika apa akan jadinya sekali pun. Maka oleh kerana kehidupan anak yang bangsawan itu sentiasalah memperhargakan gemala anak-anak dara yang tidak dapat sekali-kali dinilai akan harganya daripada dijual dengan murah dengan tidak keredhaan kedua ibu-bapanya,…


jadi sangatlah[1] suka hatinya[2] serta habislah[2] tumpah kasih sayangnya kepada kekasihnya oleh melihat kekasihnya itu[3] sangat memperhargakan gemala itu serta menjauhkan diri daripada tiap-tiap perkara yang boleh disangka ianya berniat kepada pekerjaan khianat yang sangat cemar bagi kehidupan orang-orang yang mulia di dalam dunia ini. Puaslah Faridah Hanom memperhatikan kelakuan dan perbuatan Shafik Afandi di dalam perjumpaannya beberapa kali itu, maka tiadalah didapatinya sedikit jua pun tanda-tanda kesalahan peringatan Shafik Afandi di atasnya, hanyalah semata-mata yang nampak kepadanya kasih sayang yang bersih menahan akan segala nafsu syaitan sehingga beberapa kali dilihatnya kekasihnya menyembamkan mukanya ke ribaannya dengan berhamburan air matanya membasahkan pangkuannya, oleh bersangatan ianya menahan hatinya. Maka semangkin bertambah-tambahlah kasihan belas dan kasih sayangnya akan Shafik Afandi itu bagaimana rasa hendak diturutkannya nafsu kekasihnya jika tidak terlintas di orang-orang matanya akan kedua ayahanda-bondanya serta teringat akan kepenatan keduanya memelihara akan dia daripada kecil dengan tidak berkurangan suatu apa, serta dengan kasih sayang keduanya akan dia. Tambahan pula teringat ianya akan gemala kehidupan anak-anak perempuan yang mulai memandang dunia ini hanyalah satu sahaja, maka apakala diserahkan gemala itu kepada yang bukan ahlinya dengan tiada keredaan kedua ibu-bapanya pula, nescaya hilanglah kehormatan dan kebersihan perempuan itu, serta terkeluarlah ianya daripada perhimpunan perempuan-perempuan yang bangsawan, yang patut dihormati dan diperhargakan. Maka dengan sebab ini bertambah-tambahlah suka hatinya oleh melihat kekasihnya itu tiada sekali-kali menurutkan nafsunya yang membawa kerusakan kepadanya itu. Tetapi berfikirlah juga Faridah Hanom di dalam hatinya baiklah juga aku mencuba akan hati Shafik Afandi ini, adakah ianya menahan hatinya ini dengan sebab sebenar-benarnya ianya memperhargakan kehidupan aku, bagaimana[4] yang dikehendakinya…


terpelihara dan sempurna kehormatan aku hingga sampai masa dipertemukan oleh Tuhan akan daku dengan dia di dalam halal dengan keredaan kedua ibu-bapa ku, atau pun sengaja ianya menahan akan dirinya itu oleh ianya melihat akan daku tidak kelak hendak meleburkan diriku menurut kehendaknya jika ianya hendak melakukan ke atas ku pekerjaan yang kesalahan itu. Maka dengan sebab ini mencarilah Faridah Hanom akan peluang hendak menjalankan pencubaannya itu bila-bila dan di mana-mana tempat yang berpatutan.

Ada pun keduanya berjalan bersama-sama di segenap kebun itu siapa-siapa jua yang memandang akan keduanya itu tiadalah seorang pun menaruh syak dengan kejahatan, kerana kebanyakan orang yang mengenal akan Shafik Afandi putera Talaat Bey orang kaya yang masyhur di dalam bandar Mesir ini, mengetahuilah mereka itu bahawa Shafik Afandi itu seorang anak muda yang masyhur sangat elok perangainya tiada pernah didengar perangainya yang kejahatan atau kelakuannnya yang kekejian, hanyalah setiap hari ianya berusaha tekun di dalam pekerjaan ayahandanya, dan pada masa lapangnya ianya bercampur dan berkawan dengan orang besar-besar dan orang-orang yang berilmu. Dengan sebab ini disangka oleh orang-orang bahawa perempuan yang berjalan dengan dia itu tentulah ibunya atau sanak saudaranya yang hampir dengan dia. Jadi tiap-tiap orang yang mengenal akan dia apabila melihat akan dia berjalan atau duduk dengan Faridah Hanom di mana-mana tempat yang di dalam kebun tempat orang-orang makan angin itu, masing-masing pun undurlah melarikan diri tiada berani hampir ke tempatnya itu. Maka dengan kerana perasaan dan peringatan orang-orang yang demikian ini bertambah-tambahlah kedua asyik dan maksyuk ini mendapat kelapangan melepaskan asyik berahi pujuk rayunya akan kekasihnya. Adalah keduanya berjalan itu sama elok dan sama tampan, sama sajak meletakkan kaki dengan cergasnya meniti di segenap titi, dan melompat ke atas sampan dan perahu seumpama Indera kayangan dengan bidadari laku keduanya atau seumpama bidalan syair:


Indera kayangan bidadari syurga
turun ke dunia bergurau jenaka[5]
menerangi alam cahaya muka
menjadikan manusia lalai dan leka

Bulan sepotong jatuh ke mari
Menerangi habis sebuah negeri
Di kawali Malaikat muka berseri
Tidak bercerai barang sejari

Gayanya berjalan nombor satu
Pandai sekali menghentak sepatu
Pantas cergas ke sini situ
Padanlah laki-laki samanya itu

Keduanya hampir sama sebaya
sangatlah pandai mengenakan gaya
Menggerakkan hati sekalian manusia
mendatangkan berahi memandang dia

Kur semangat Faridah yang elok
Jangan terkena mata makhluk
Padanlah pula jantan yang memeluk
Yusof dan Zaleha bandingan tolok.

Demikianlah hal asyik dan maksyuk ini setiap masa tiada siapa pun mengetahui hal keduanya melainkan inangnya Suad dan sais keretanya. Jika tidak Faridah Hanom keluar pada siang hari, datanglah Shafik Afandi pada malam hari mendapatkan kekasihnya di dalam tamannya menurut bagaimana isyarat yang dipesankan oleh kekasihnya.

Shahdan pada suatu hari Shafik Afandi berfikir seorang dirinya apalah hal aku dengan yang demikian ini, lama kelamaan kelak diketahui oranglah juga pekerjaan aku ini, maka busuklah nama ku dan nama kekasihku disebut oleh orang. Maka hendak pun aku berkhabar kepada ayahanda-bonda aku, minta pinangkan Faridah Hanom ini sangatlah malu rasa hati ku hendak berkata-kata oleh telah beberapa kali ayahanda-bondaku hendak memberi aku berkahwin tiada aku turuti kehendak keduanya. Maka jika berlamaan aku dengan hal yang demikian ini, binasalah…


aku di dalam percintaan menahan dendam yang berpanjangan. Dengan sebab ini baiklah aku menyewa sebuah rumah yang tertentu dahulu aku taruhkan inangku 'Aliah di dalamnya boleh menjadi tempat aku berjumpa kekasih ku setiap masa, sementara aku mencari peluang meminta ayahanda-bondaku meminang akan nyawa aku daripada ayahanda-bondanya. Maka tiadalah aku dilihat oleh orang banyak setiap masa berjalan dengan perempuan di sarat tempat dan kekasih ku pun lepaslah daripada bahaya yang boleh diketahui oleh orang halnya datang mendapatkan aku.

Apakala telah tetaplah fikiran Shafik Afandi hendak menyewa rumah itu, pada malam itu pergilah Shafik Afandi mendapatkan Faridah Hanom ke dalam tamannya bagaimana biasa. Maka apabila berjumpa keduanya kemudian daripada pujuk cumbu di antara kedua asyik maksyuk ini memuaskan hati masing-masing, berkatalah Shafik Afandi, „Wahai nyawa abang yang tiada terhargakan, mahukah nyawa abang menurut ikhtiar abang, iaitu apalah hal kita dengan yang demikian lama-kelamaannya kelak jika diketahui oleh orang akan perjumpaan kita berdua demikian ini busuklah nama tuan disebut oleh orang dengan kerana abang, maka sebab ini jika nyawa abang benarkan biarlah abang menyewa sebuah rumah yang tertentu, boleh abang taruhkan di dalamnya seorang inang abang yang boleh abang percaya akan dia kemudian di situlah boleh jadi kita berjumpa setiap masa tiada siapa mengetahui akan hal kita.“

Maka Faridah Hanom pun termenunglah ianya seketika mendengar perkataan Shafik Afandi itu, kerana dengan serta menyerta terfikirlah di dalam hatinya -- apakah kehendak Shafik Afandi ini menyewa rumah sendiri, kerana apabila telah ada rumah tentulah mesti ada cukup lengkap alat perkakas dengan tempat tidurnya, janganlah pula ianya tiada tertahan hatinya lagi menunggu lama sehingga dipertemukan oleh Tuhan akan daku dengan dia di dalam halal dan keredaan ibu-bapaku, kerana…


hati dan fikirannya telah dirasuk oleh syaitan. Tetapi baiklah juga aku turutkan kehendaknya ini, memang pun aku hendak mencuba hatinya sehingga mana ianya boleh memelihara aku daripada kebinasaan. Kiranya bersalahan kelak kehendaknya apalah guna aku hidup di dalam dunia ini lagi. Lalu ianya menjawab perkataan Shafik Afandi itu katanya, "Baiklah, mana kata tuan, beta turut." Maka Shafik Afandi pun sangatlah suka hatinya mendengar kekasihnya menurut kehendaknya itu, serta bertambah-tambahlah kasih sayang dan mabuknya akan kekasihnya, maka tiada tertahan hatinya lagi lalu dipeluknya leher kekasihnya dicium kepalanya, maka Faridah Hanom pun mengambil tangan kekasihnya dikucupnya beberapa kali. Maka kemudian daripada puaslah keduanya melepaskan rindu dendam dengan pujuk gurindam yang bermacam-macam itu, Shafik Afandi pun bermohonlah daripada kekasihnya keluar pulang kerana hari hampir akan siang.

Daripada pagi hari esoknya Shafik Afandi pun berjalanlah mencari rumah yang layak bagi tempat perjumpaannya dengan kekasihnya. Maka dapatlah ialah sebuah rumah di jalan yang sunyi sedikit daripada orang ramai yang pergi datang, serta dengan cukup lengkap pula dengan alat perkakasnya, lalulah di sewanya kemudian di tambahnya pula apa-apa perkakas yang kurang serta dihiasinya dengan berbagai-bagai lampu dan kandil yang bermacam-macam warna dan dihiasinya bilik mandinya dan bilik makan dan bilik pakaian serta bilik tidurnya dengan cukup lengkap alat perkakas bagi kediaman orang yang baik-baik dan orang kaya-kaya.

Apabila telah siaplah rumah itu, maka Shafik Afandi pun pulanglah ke rumahnya mengambil inangnya yang sangat dikasihi dan dipercayanya seumpama ibunya sendiri, lalu dibawanya ke rumah itu serta berkhabarlah ianya kepada inangnya hal di antaranya dengan Faridah Hanom dan apa-apa yang telah berlaku daripada awal hingga akhirnya, serta katanya, "Wahai ibuku, adalah Faridah Hanom itu ialah seorang sahaja perempuan yang telah…


memiliki roh semangat ku, mustahil sekali beta boleh hidup lama di dalam dunia ini jika tidak bersama-sama dengan kekasih ku itu. Dengan kerana inilah beta serahkan kepada ibuku memelihara dan mengambil akan hatinya bila-bila juga ianya berangkat datang ke mari.“ Kemudian Shafik Afandi pun masuklah ke dalam bilik tulisnya menulis surat kepada kekasihnya dengan tulisan dan bahasa Francis demikian bunyinya.

Nyawaku Faridah Hanom, 
bagaimana perkataan abang malam itu telah sampailah sudah bagaimana yang dikehendaki maka silalah nyawa abang keluar hari Sabtu pukul dua abang menanti di dalam kereta di hampir rumah tempat yang selalu. Terimalah peluk cium kasih sayang abang yang tidak terhingga adanya.
Daripada hamba keelokan tuan,
Shafik

Kemudian dimasukkannya ke dalam sampul ditulis alamat di atasnya serta disuruhnya seorang khadimnya memasukkan pos. Lalu ianya kembali mendapatkan dayangnya di ajaknya pulang naik keretanya sambil berkata-kata akan asyik berahinya kepada Faridah Hanom hingga sampailah ke rumahnya. Maka disuruhnyalah akan dayangnya bersiap segala perkakasnya sendiri bawa ke rumah baharunya itu. Maka Aliah pun taatlah akan perintah tuannya itu, lalu berkemas segala perkakasnya turun naik kereta bersama-sama segala khuddam yang telah ditentukan oleh tuannya terus ke rumah baharu itu duduk memelihara rumah itu.

Shahdan ada pun Faridah Hanom kemudian daripada kembali Shafik Afandi pada malam itu tiadalah terasa senang di dalam hatinya memikirkan kehendak-kehendak Shafik Afandi menyewa rumah itu.


Maka berbagai-bagailah fikirannya tetapi oleh sebab ianya itu perempuan yang bijaksana, ditahannyalah hatinya daripada menuduh ke atas kekasihnya dengan berniat kejahatan di atasnya sebelum lagi ianya melihat akan halnya pada masa ianya menyewa rumah kelak. Maka pada keesokan harinya Faridah Hanom bangun pagi, lepas makan fatur bersama-sama ayahanda-bonda dan saudaranya duduklah ianya berbaring-baring[6] di atas kursinya maka datanglah[7] dayangnya Suad membawa sepucuk surat daripada post beralamat kepadanya, segeralah disambut oleh Faridah Hanom dibukanya serta dibacanya[8] maka didapatinya surat daripada kekasihnya memberitahu ianya rumah yang dicarinya itu telah siap dan menyuruh ianya datang pada hari dan jam yang ditentukannya, kerana mengajak ianya melihat rumah itu. Maka Faridah Hanom pun berfikirlah semula akan keadaan dan kehendak Shafik Afandi menyewa rumah itu, maka berpecah-belalah fikiran yang di dalam hatinya di antara kasih sayang dan kasihan belas akan ayahanda-bondanya daripada beroleh kemaluan, kerana perbuatannya dengan kasih sayang dan kasihan belas cinta berahinya akan kekasihnya jikalau di kehendaki oleh kekasihnya melakukan kehendaknya esok. Maka dengan fikiran ini tiadalah berketahuan Faridah Hanom makan dan minumnya pada hari itu, hingga malam hari. Maka pada malam hari itu semalam-malaman Faridah Hanom tiada beradu[9] keluh kesah dengan fikirannya yang serba salah hingga naik matahari lalu bangun pergi mandi dan berhias turun makan fatur pagi bersama-sama ayahanda-bonda dengan saudaranya, kemudian baliklah ianya naik ke tempatnya melengung. Kemudian berbaliklah pula fikirannya - apalah hal aku ini membuat susah hati ku dengan tidak semena-mena kepada pekerjaan yang tidak tentu lagi hanyalah sangka-sangka sahaja. Tetapi jika dengan sungguhnya dikehendaki oleh kekasihku[10] akan aku memberi keaiban ayahand-bondaku, baiklah aku mati daripada aku hidup lagi di dalam dunia ini[11]. Lalu segera…


ianya bangun mengambil pistol Shafik Afandi yang ditinggalkannya masa di dalam kereta mula-mula ianya berjumpa dahulu itu ditaruhnya peluru sudah-sudah serta memakai pakaiannya yang indah-indah sebab jam yang ditentukan oleh Shafik Afandi di dalam suratnya itu telah hampir berbunyi, lalu turun ianya bersama-sama inangnya Suad kemudian daripada disembunyikannya pistol itu di dalam bajunya, bermohon daripada ayahanda-bondanya berjalan bersama-sama Suad inangnya ke rumah sahabat handainya. Maka kemudian daripada mendapat kebenaran ayahanda-bondanya keluarlah ianya ke tempat kekasihnya yang dijanjikan itu, didapatinya kekasihnya telah ada menanti dengan keretanya.

Apakala dilihat oleh Shafik Afandi kekasihnya sudah datang itu, maka segeralah ianya bangung menyambut tangan kekasihnya didudukkannya di sebelah kanannya serta disuruhnya saisnya berjalan pergi ke rumah yang baharu disewanya itu. Ada sejurus sampailah kereta itu di hadapan pintu rumah itu, maka Shafik Afandi pun memimpin tangan kekasihnya turun daripada kereta itu lalu naik ke atas rumah itu didapati oleh keduanya akan Aliah telah ada sedia menanti di kepala tangga itu. Maka apabila dilihat oleh Aliah akan rupa Faridah Hanom dipimpin oleh tuannya Shafik Afandi itu tercenganglah ianya memandang keelokan rupanya padan pula dengan rupa tuannya, lalu Faridah Hanom memberi salam maka terkejutlah Aliah dengan tergamam-gamam menjawab salam Faridah Hanom itu, serta segeralah Aliah mencapai tangan Faridah Hanom diciumnya serta dijunjungnya serta berjabat salam dengan Suad. Maka Shafik Afandi pun memandang kepada Faridah Hanom sambil berkata: "Inilah dia tuan, ibu beta, apa-apa yang ada kehendak tuan berkhabarlah kepadanya." Maka Faridah Hanom pun tersenyum memandang kepada Aliah kemudian berjalanlah ianya bersama-sama Shafik Afandi melihat peraturan rumah itu serta segala alat perkakasnya, maka sangatlah[12] berkenan kepada hatinya adunan kekasihnya itu lalu duduklah keduanya di tengah rumah itu. Maka Aliah…


pun apabila melihat tuannya telah duduk berdua di tengah rumah itu bersanding umpama bulan dengan matahari termenunglah ianya seketika heran melihat keelokan keduanya sama padan, sama taraf, seumpama anak-anakan syurga dengan bidadari yang disifatkan oleh ahli syair yang bijaksana:

Bintang Zahara Mushtari pun sama
Di tengah rumah duduk menjelma
Duduk bersanding bergurau cengkerama
Cahaya mukanya menyuluhi roma.

Berlian Afrika yang masyhur cahayanya
Canai Belgium mengelokkan potongannya
Menerangkan rumah sinaran mukanya
Memancar kilat senyum keduanya

Itulah banding Shafik Faridah
Inang memerhatikan tunduk tengadah
Nampak bersinar paras yang indah
Memabukkan hati Syed dan Sidah

Faridah nan cukup sifat kejadian
Wajahnya bercahaya umpama berlian
Tubuhnya elok bangun perdirian
Tujuh laksana cukup sekalian

Padanlah dengan Shafik Afandi
Laki-laki yang elok hebat berbudi
Sehingga patut[13] boleh menjadi
Laki-laki yang lain daripadanya abdi[14]

Bila dipandang ditatap ditilik
keduanya bersanding di luar bilik
Eloknya tak dapat di banding selidik
Siapa memandang heran dan pelik

Maha suci Tuhan yang kaya
Menjadikan makhlukNya berbagai gaya
Ada yang memiliki keeolokan manusia
Serta dengan bersih dan setia.

Terhimpun semuanya kehendak Tuhan
kepada keduanya[15] tidak bertahan[16]
keelokan manusia kurnia kemurahan
dimiliki kedua usul pilihan



Ilahi rabbi Allahu Akbar
keduanya bagai ditulis di gambar
Senyum keduanya kilat menyambar
Siapa memandang datanglah gobar

Sehingga di Sini Kalam pun malu
Hendak menuliskan lebih terlalu
Maafkan pembaca tuan penghulu
Kalam pun terasa asyik memalu.

Ada seketika Aliah terpegun berfikir serta dengan herannya itu, lalu sedarlah ianya akan dirinya tiadalah berani ianya berdiri lagi lalu diajaknya Suad turun bersama-samanya[17] menyediakan minuman dan makanan keduanya.

Ada pun Faridah Hanom dan Shafik Afandi apabila telah Aliah dan Suad turun tinggalkan ianya berdua sahaja, maka diperhatikanlah oleh Faridah Hanom akan gerakan kekasihnya dan segala perkataannya. Beberapa lama didapatinya tiada berubah daripada biasa bagaimana seharihari jua pujuk rayu dengan segala perkataan yang manis-manis membelenggukan hatinya, tiadalah nampak kepadanya suatu apa pun yang bersalahan bagaimana yang di sangka-sangkanya, maka terasalah sedap di dalam hatinya serta hilanglah syak sangkanya, dan terasalah sesalnya yang amat sangat di dalam hatinya oleh menuduh akan kekasihnya dengan tuduhan yang tiada layak baginya itu, lalu tunduk ianya berdiam dirinya menahan air matanya. Maka oleh sangat takut ianya akan Shafik Afandi mengetahui halnya itu, segeralah ianya bangun berjalan sambil berkata: "Saya hendak menanggalkan baju selapis, serta membasuh muka kerana sangat panas sehingga terasa hendak pening kepala saya." Maka Shafik Afandi pun segeralah bangun memimpin tangan kekasihnya dibawanya berjalan menuju ke pintu bilik serta sampai lalu dilepaskannya Faridah seorang masuk ke dalam bilik itu serta ditarik oleh Shafik Afandi akan pintu bilik itu ditutupkannya, kemudian baliklah Shafik Afandi ke tengah rumah itu berbaring-baring di atas kerusi…


menantikan kekasihnya keluar. Ada pun Faridah Hanom di dalam bilik itu apabila dilihatnya Shafik Afandi tiada hendak masuk bersama-samanya itu habislah sama sekali syak sangkanya di atas kekasihnya itu, maka bertambah-tambahlah kasih sayangnya serta berhamboran air matanya oleh sangat menyesal hatinya menaruh jahat sangka ke atas kekasihnya yang sangat memelihara akan dia serta dengan kasih sayangnya[18] itu. Maka oleh sebab takut ianya siapa-siapa[19] masuk ke biliknya melihat ianya menangis itu segeralah ianya masuk ke bilik[20] air membasuh mukanya. Maka didapatinya di dalam bilik air cukup sempurna segala alatan perhiasan perempuan lalu[21] berhiaslah ia dan[22] membetulkan rambutnya, kemudian keluarlah ianya dengan membawa hati yang sangat lapang tiada menaruh lagi sedikit pun[22] syak dan bimbang menuju ke tempat kekasihnya baring itu, sambil duduk di sisinya meletakkan kepalanya ke atas dada kekasihnya dengan terasa kasih dan kasihan yang amat sangat akan kekasihnya itu. Maka Shafik Afandi pun memeluk akan kepala kekasihnya sambil berkata: „Adik ku tuan nyawa abang yang menghidupi abang, tuanlah roh abang yang berjalan segenap anggota abang, tuanlah tajuk mahkota gemala yang tidak terhargakan, apakah hal kita berdua ini dengan demikian berlama-lamaan. Bilakah dijodohkan oleh Tuhan kita berdua ini duduk di dalam keredaan Tuhan. Sangatlah sesak belah dada abang menanggung percintaan selama umur hidup ini, hendak pun abang membuka mulut berkhabar kepada ayahanda-bonda abang minta pinangkan nyawa abang, maka sangatlah malu dan berat mulut abang hendak berkata-kata. Telah beberapa kali abang pergi menghadap keduanya kerana nyawa abang, tetapi terkatuplah mulut abang tiada dapat berkata-kata seumpama dijahit oleh orang, sebab telah beberapa kali keduanya hendak memberi abang beristeri, abang bermohon tiada hendak menurut kehendak keduanya. Maka pada masa ini ayahanda-bonda abang telah berangkat pergi ke Iskandariah kerana bertukar angin musim panas ini.…


Insya Allah bila keduanya berangkat balik abang kerasilah jua berkhabar kepada keduanya akan kehendak abang, tetapi adakah ayahanda-bonda nyawa abang sudi menerima abang menjadi hamba teman tuan berdua[23] atau tidak, belumlah boleh diketahui lagi.“

Di dalam Shafik Afandi berkata-kata itu, maka Faridah Hanom pun teringatlah ianya akan dirinya yang ayahanda-bondanya suka hendak menerima anak saudaranya, Badaruddin, menjadikan suaminya. Dengan[24] sebab ini tergeraklah juga hatinya sedikit bila mendengar Shafik Afandi tiada hendak berkhabar segera kepada ayahanda-bondanya minta pinangkan ianya sebelum ayahanda-bondanya[25] menerima dan menetapkan ianya dengan Badaruddin Afandi itu, maka tiadalah tertahan hatinya pilu rawan dengan sedih rasanya, lalu berhamburan air matanya membasahkan dada Shafik Afandi, hingga mesralah sampai ke badannya. Maka Shafik Afandi pun sangatlah kasihan belas rasa hatinya sangkanya Faridah Hanom menangis[26] itu hanya semata-mata sebab mendengar perkataannya, lalu ianya bangun duduk memeluk leher kekasihnya serta diciumnya dahinya dan dipujuknya dengan berbagai-bagai perkataan yang lemak manis seraya menyapu air mata kekasihnya. Maka Faridah Hanom pun terasalah malu dilihat oleh kekasihnya ianya menangis itu, lalu segeralah ianya bangun masuk ke dalam bilik merebahkan dirinya di atas tempat peraduan sambil menangis dengan tangis yang amat sangat teringatkan nasibnya yang sangat malang itu, ayahanda-bondanya mempunyai fikiran berlainan daripada kehendak dan cita-citanya dan kekasihnya pun mempunyai kelakuan macam sengaja hendak melepaskan ianya kepada orang lain, sebab berlambatan memberitahu ayahanda-bondanya, dan ianya hendak berkata-kata[27] pun di dalam halnya[28] ini kepada kekasihnya itu bersangatanlah malunya. Maka dengan sebab ini berfikirlah ianya -- baiklah aku melakukan pekerjaan yang boleh segera ianya berkhabar kepada ayahanda-bondanya, sebelum ayahanda-bondaku menerima akan Badaruddin…


Afandi itu lagi. Lalu bangunlah Faridah Hanom itu daripada peraduannya masuk ke bilik air membasuh mukanya dan membetulkan rambutnya, serta memakai bau-bauan, kemudian keluarlah ianya balik mendapatkan Shafik Afandi. Maka didapatinya Shafik Afandi tengah duduk menghadapi meja yang telah teratur berbagai-bagai minuman dan serba jenis buah-buahan di atasnya. Maka duduklah Faridah Hanom berhadapan[29] dengan Shafik Afandi[29] minum dan makan apa yang berkenan kepadanya dilayani oleh Aliah inang Shafik Afandi dengan berbagai-bagai perkataan dan seloka jenakanya yang menyukakan hati. Maka Faridah Hanom pun sukalah sedikit hatinya mendengarkan Aliah pandai berkata-kata dan berjenaka itu. Dengan hal yang demikian hari pun petanglah hampir masuk matahari dan Faridah Hanom pun memandanglah muka kekasihnya. Maka Shafik Afandi pun ertilah pandangan kekasihnya itu, lalu segeralah ianya masuk ke dalam bilik dengan memegang tangan Faridah Hanom dibawanya bersama-sama meminta tolong Faridah Hanom memasukkan kancing baju dan kancing kemejanya, kerana hendak menukar bajunya yang basah oleh air mata Faridah Hanom tadi. Maka Faridah Hanom pun mengaturlah pakaian kekasihnya apa-apa yang berkenan kepada hatinya serta di masukkannya kancingnya di turut oleh Shafik Afandi akan segala kehendak kekasihnya itu.

Setelah siaplah Shafik Afandi memakai itu, maka Faridah Hanom pun memakailah pakaiannya serta memberi selamat tinggal kepada Aliah, lalu turun kedua-dua naik kereta berjalan menuju jalan ke rumahnya. Apabila sampai hampir dengan rumahnya maka Shafik Afandi pun turunlah daripada keretanya menyuruhkan saisnya menghantarkan kekasihnya, kemudian balik mengambil akan dia semula.

Apparatus criticus[Bearbeiten]

  1. setelah c.
  2. 2,0 2,1 missing in a.
  3. omitted in d, e.
  4. missing in a.
  5. bersuka-suka a.
  6. berbaring in a.
  7. ianya berbaring-baring di atas kursinya maka datanglah missing in e.
  8. serta dibacanya missing in c.
  9. beroleh beradu in d, e.
  10. kekasihnya d, e.
  11. missing in c.
  12. tersangatlah c.
  13. patutlah c.
  14. abadi e.
  15. kedua c
  16. tertahan c, d, e.
  17. bersama-sama' d, e.
  18. kasingnya c.
  19. sesiapa c.
  20. bilik itu a.
  21. air membasuh mukanya. Maka didapatinya di dalam bilik air cukup sempurna segala alatan perhiasan perempuan lalu omitted in e.
  22. 22,0 22,1 omitted in d, e.
  23. beradu a.
  24. denga e.
  25. minta pinangkan ianya sebelum ayahanda-bondanya omitted in e.
  26. menanis e.
  27. berkata c.
  28. hal d, e.
  29. 29,0 29,1 omitted in c.