Hikayat Faridah Hanom 2

Aus Wikiversity

Fasal yang kedua[1]
ASAL KEJADIAN ASYIK DAN MAKSYUKNYA

Bermula adalah Shafik Afandi ini putera Talak Bey yang diam di sebuah rumah yang sangat eloknya[2] di jalan Al-Abbasiah juga, tidak berapa jauhnya daripada rumah Kasim Bey ayahanda Faridah Hanom itu. Ada pun Shafik Afandi ini ialah seorang muda yang memakai adab peraturan yang sangat terpuji dan kelakuan perangai yang kehormatan. Dan ayahanda Talat Bey ini seorang daripada orang kaya negeri Mesir[3] yang sangat masyhur serta mempunyai bangsa keturunan yang mulia.

Telah dipelihara oleh Talat Bey akan puteranya Shafik Afandi ini dengan pemeliharaan yang sangat elok dapat kemenangan di dalam pemeriksaan sekolah yang tinggi mempunyai syahadat (Certificate)[4] Al-Baqaluria. Maka oleh sebab pangkat dan kekayaan Talat Bey ini di tahannyalah kehendak puteranya yang sangat meminta kebenarannya hendak masuk belajar di dalam sekolah peperangan kerana hendak berkhidmat akan watannya[5] dengan badan dan nyawanya sebab pendapatnya selama ianya di dalam pelajarannya itu, bahawa semulia-mulia orang yang kekal sebutan yang kemuliaan dan kehormatan di lidah sekalian kaumnya itu ialah orang-orang yang mengorbankan dirinya bagi berkhidmat akan tanah air dan kaumnya. Maka dengan sebab inilah ianya sangat suka hendak menurut perjalanan yang membawa kepada sebutan yang kemuliaan dan kehormatan yang sebenar itu. Tetapi oleh sebab Shafik Afandi ini seorang putera yang tunggal kepada Talat Bey maka tiadalah dibenarkannya hendak Shafik Afandi itu kerana takut ianya akan Shafik Afandi ini[6] mendapat sakit oleh bertekun sangat kepada pelajarannya, pada hal ianya tiada berkehendak[7] puteranya bekerja kepada kerajaan, memadalah di dalam[8] pekerjaannya sendiri yang cukup dengan pelajarannya yang telah ada itu. Inilah fikiran orang tua-tua dahulu­dahulu…


yang tiada upaya sekali-kali Shafik Afandi hendak mengubah akan dia, maka terpaksalah ianya taat akan ayahandanya oleh sangkanya itulah keredaan Tuhannya. Maka dengan sebab ini biasalah Shafik Afandi ini di dalam kesenangan dan kemurahan serta menjadi ke biasaan kepadanya setiap-tiap hari bila lepas pekerjaan ayahandanya petanghari naik bogi yang ditarik oleh dua ekor kuda yang elok berkeliling negeri makan angin melalui segenap pekan dan lorong bandar negeri Mesir yang besar, dan berhenti di mana-mana tempat-tempat makan angin orang besar-besar di kebun-kebun kerajaan yang elok. Demikianlah peraturan Shafik Afandi setiap-tiap hari.

Shahdan pada suatu petang Shafik Afandi tengah berdiri di hadapan pintu halaman rumahnya hendak naik keretanya berjalan makan angin bagaimana adatnya, terpandanglah ianya pada masa itu seorang perempuan datang berjalan di jalan raya itu dengan gaya anggun yang sangat hebat, serta sangat elok dan manis pada matanya. Apabila sampailah perempuan itu berhadapan dengan pintu rumahnya, dapatlah ianya memerhatikan muka perempuan itu daripada tudung mukanya yang sangat nipis daripada sutera putih yang sangat halus itu. Maka terpandanglah ianya seolah­olahnya seperti ianya memandang bulan pada malam empat-belas hari bulan yang baharu terbit di saput oleh awan yang sangat nipis memancar-mancar cahayanya keluar di sinar oleh cahaya matahari petang hari yang menunjukkan darah mudanya itu sangat mendidih lagi. Dan di belakang perempuan[9] itu adalah seorang perempuan tua mengikut akan dia.

Manakala dilihat oleh Shafik Afandi akan perempuan itu dan keelokannya, terpanahlah cinta berahi asyik akan dia itu ke tangkai jantung hatinya. Maka terpegunlah Shafik Afandi tidak dapat menggerakkan kakinya, serta lenyaplah fikirannya dan bergoncanglah kedua lututnya tidak dapat ianya[10] berdiri betul lagi. Apabila lepaslah perempuan itu berjalan meningalkan…


tempat[11] ianya berdiri itu, terasalah ianya seumpama ada orang menarik akan dia daripada tangkai hatinya menurut akan perempuan itu. Maka terjalanlah kakinya dengan terpaksa menurut akan perempuan itu[12], seumpama orang yang terkena sihir. Manakala dilihat oleh sais keretanya tuannya berjalan kaki dengan tidak memberi apa-apa hukum kepadanya itu, maka dijalankannyalah kudanya menurut tuannya perlahan-lahan. Ada pun Shafik Afandi menurut perempuan yang elok itu berjalan di belakangnya, ada sejurus perempuan itu pun menyimpanglah masuk ke dalam kota Kasim Bey, sambil berhenti di sebelah dalam pintu itu seraya berpaling hendak melihat kawannya orang tua yang bersama-sama dengan dia itu. Maka terpandanglah ianya kepada Shafik Afandi menurut akan dia terdiri[13] di belakangnya, lalu diperhatikannya rupa dan susuk badan Shafik Afandi itu. Maka terasalah gemar kepada hatinya memandang rupa dan susuk[14] bangunan badannya, padan pula dengan adunan pakaiannya sangat manis pada pemandangannya lalu bertemu matanya dengan mata Shafik Afandi. Ketika itu berkata-katalah[15] mata dengan mata, maka terpegunlah perempuan yang elok itu, oIeh terasa ianya pada ketika itulah terbit daripada cahaya mata Shafik Afandi itu anak panah cinta berahi yang sangat tajamnya menikam ke dalam hatinya. Ada pun Shafik Afandi apabila terpandang ianya akan sinaran cahaya kedua mata perempuan itu disangkanya kilat memancar, maka terkejutlah ia lalu mengucaplah ianya[16]: "Subḥāna man yurīkum al-barqa khaufan wa ṭamʿan inna rahmata Allāhi Qarīb". Sambil ianya berpaling Iari meIoncat naik ke atas keretanya, maka dilarikanlah oleh saisnya di dalam orang banyak itu menurut mana sekehendak hatinya. Maka berjalanlah keretanya itu daripada jalan AI-Abbasiah masuk ke jalan al-Zahir, terus ke jalan Al-Fajalah, hingga sampai ke medan Babul-Hadid. Pada hal Shafik Afandi lalai di dalam keretanya itu tiada ianya ia sedar ke mana-mana dibawa oleh saisnya itu, sebab hatinya sangatlah herannya memandang keelokan rupa perempuan muda itu,…


istimewa pula kemudian daripada telah percaya ia bahawa perempuan itu tentulah puteri Kasim Bey yang bernama Faridah Hanom. Ada pun sais keretanya itu di dalam masa ianya melarikan kudanya itu, heranlah hatinya tiada mendengar hukum daripada tuannya ke mana yang hendak ditujunya, hanyalah ianya menjalankan keretanya itu menurut sekehendak hatinya sahaja. Tetapi ababila sampai kereta itu ke medan Babul-Hadid yang banyak pecahan simpang boleh dituju ke mana-mana hendak pergi, terpaksalah ianya bertanya tuannya simpang jalan ke manakah hendak dimasukinya itu. Maka terkejutlah Shafik Afandi daripada lalainya bila mendengar suara saisnya itu, seolah-olahnya seperti orang yang terkejut bangun daripada tidurnya. Maka segeralah ianya bertanya saisnya, "Ke manakah sampainya kita sekarang ini?" Jawab saisnya, "Ke medan Babul-Hadid." Kata Shafik Afandi, "Baliklah sahaja ke rumah. Usahlah ke mana-mana lagi." Maka saisnya pun menurut jalan balik ke rumahnya dengan memecut kudanya berlari seumpama terbang tiada berapa lama sampailah Shafik Afandi ke pintu rumahnya, lalu turun ianya daripada keretanya, masuk ke rumahma terus ke dalam biliknya menanggalkan seluar[17] bajunya memakai baju tidur, lalu membantingkan dirinya ke atas tempat tidurnya tenggelam di dalam fikiran angan-angan yang tidak dapat seorang jua pun boleh menentukan, apa tujuan fikiran dan angan-angannya itu, melainkan sekalian orang yang telah merasai bisa panah cinta berahi. Di sini patutlah kalam yang menanggung cinta berahi akan kertas yang saf ini meninggalkan Shafik Afandi itu seorang dirinya dahulu menentukan apa-apa fikirannya dan angan-angannya di atas maksyuknya, dan kembali kalam pergi melihat apakah hal yang berlaku di atas anak perempuan yang sangat elok itu, kemudian daripada ditinggalkan oleh Shafik Afandi akan dia.

Bermula ada pun anak perempuan yang sangat elok yang terpegun melihatkan Shafik Afandi di muka pintu rumahnya itu kemudian daripada telah lari Shafik Afandi daripadanya itu, masih…


juga ianya terpandang di orang-orang[18] matanya keelokan Shafik[19] itu serta sangat heran hatinya memandang cergas dan pantas Shafik Afandi berjalan meloncat ke atas kereta itu. Maka dengan peringatan ini terhentilah jua ianya di muka pintunya itu, lupa-lupa ingat akan dirinya seumpama orang yang hilang perasaan, terlupalah ianya akan dirinya berhenti di muka pintu, tempat yang bukan layak bagi tarafnya itu, sehingga ditegurkan oleh perempuan tua yang mengikut ianya itu dengan katanya, "Silalah tuan berangkat masuk tidak elok tuan di lihat orang berhenti lama di sini." Maka terkejutlah ianya daripada lalainya itu, lalu berjalan masuk perlahan-lahan sambil mengeluh dengan letih lesu rasa tubuhnya sepertikan tidak terjalan rasanya oleh sangat bisa rasa hatinya yang di panah oleh Shafik Afandi dengan panah cinta berahi itu.

Adalah anak perempuan yang sangat elok ini, iaIah bagaimana sangka Shafik Afandi puteri Kasim Bey yang bernama Faridah Hanom yang telah memiliki segala sifat keelokan perempuan yang sukar didapati terhimpun segala sifat itu kepada sekalian anak-anak dara yang lain bagaimana yang telah terhimpun kepada puteri Kasim Bey ini. Dan adalah kepada Faridah Hanom ini seorang saudara laki-laki yang terIebih tua daripadanya dua tahun. Maka tidaklah ada kepada Kasim Bey ini lain daripada dua puteranya ini, dengan sebab inilah maka jadi keduanya[20] itu penghiburan kepada kedua ayahanda-bondanya dan pengharapan keduanya[21] di dalam kehidupannya kasih kedua ayah-bondanya akan kedua puteranya itu lebih daripada tiap-tiap sifat yang dapat di sifatkan. Ada pun Faridah Hanom ini, besar ianya[22] di dalam pemeliharaan kedua ayahanda-bondanya atas kasihkan tiap-tiap perkara yang kebajikan dan kelebihan dan adab peraturan yang tinggi daripada kecilnya. Kemudian diserahkan oleh Kasim Bey akan puterinya ini kepada seorang guru yang mengajar dan menanamkan[23] benih…


Faridah Hanom berjalan bersama-sama dayangnya mulai terpandang Shafik Efendi

agamanya ke dalam dadanya, serta kelebihan dan kewajipan perempuan di dalam perhimpunan kehidupan dunia. Kemudian diambil pula oleh Kasim Bey seorang guru perempuan yang telah masyhur pandainya daripada negeri Fransis[24] mengajar akan anaknya Faridah Hanom ini segala ilmu dunia dan segala pengetahuan yang menjadikan Faridah Hanom ini sama timbangnya di antara rupanya yang sangat elok, dengan adab peraturan dan pengetahuannya yang sangat memberi faedah kepada segala pekerjaan ayahanda-bondanya yang masyhur dengan kekayaannya yang bertambah-tambah pada setiap-tiap[25] masa. Dengan sebab ini menangIah Faridah Hanom ini di dalam kehidupannya yang sempurna daripada segala anak-anak dara yang sebaya dengan dia serta memberi gunalah ianya bagaimana yang kehendaki di atas tiap-tiap orang yang[26] kaya yang bersenang-senang dengan kekayaannya bagi hak watannya dan kaumnya.

Ada pun saudara laki-lakinya yang bernama Muhammad Afandi terpelihara ianya di dalam sekolah daripada kecilnya hingga keluar ianya daripada sekolah doktor[27] dengan mendapat syahadat (certificate)[28] doktor, membangunkan sebuah gedung ubat sendiri dengan pertolongan ayahandanya pada mula pertama sahaja. Maka dengan sebab usaha dan pemeliharaan Kasim Bey yang sebenar di atas kedua-dua anaknya ini, dapatlah ianya melihat pada masa hidupnya akan kedua-dua anaknya[29] itu di dalam tiap-tiap perkara yang menyedapkan matanya dan menyenangkan hatinya.

Pada suatu hari Faridah Hanom keluar berjalan daripada rumahnya bersama-sama dayangnya Suad, pergi ke rumah Azizah Hanom seorang daripada puteri orang besar-besar Mesir yang berpengetahuan. Maka pada waktu balik ianya daripada rumah Azizah Hanom itulah telah berlaku apa yang berlaku tadi di antara Faridah Hanom dengan Shafik Afandi di hadapan pintu rumahnya. Dengan kerana ini daripada hari dan saat itulah di rasa oleh Faridah Hanom, bahawa kehidupannya telah berubah daripada tiap-tiap hari sentiasa mabuk ianya di palu oleh gelombang asyik cinta berahi yang tidak…


terasa teduhnya sekali-kali, maka hilanglah daripadanya segala lazat nikmat kehidupannya yang biasa oleh tertumpu segala peringatannya dan perasaannya dan kesukaannya kepada[30] memperingatkan Shafik Afandi.

Demikianlah juga Shafik Afandi habislah hilang daripadanya segala cergas pantasnya, dan kebesarannya, hingga kecillah pada mata[31] hatinya segala kekayaan dan kesenangan ayahandanya, oleh digoda peringatan Faridah Hanom di dalam hatinya siang dan malam.

Tidaklah heran kedua-dua anak muda ini segera sangat menerima penyakit aysik cinta berahi ini, kerana keduanya sama bersih dan sama kosong hati daripada peringatan yang kecemaran. Maka apakala bertemu sama padan dan sama tarafnya, segeralah darah yang di dalam kedua badan yang bersih itu mendidih menarik karent elektriknya yang membangunkan perasaan masing-masing yang sedang tidur lena di dalam simpulan hati keduanya.

Cahaya bulan di atas udara
Siapakah dapat memberi cedera
Jika bukan sama setara
Mataharilah selalu membuat angkara.

Bila bertentang matahari dengannya
Bersinarlah bulan memancar cahayanya
Bila berpaling samsu daripadanya
Kelam dan saput rupa bulannya.

Demikianlah Shafik sekarang ada
Samalah dengan Faridah yang muda
Lenyap segala kekayaan ayahanda
Berahikan maksyuk semakin berganda.

Shafik yang baring di tilam baldu
Berahikan Faridah tak dapat beradu
Berbagai pujuk menyatakan rindu
Akhirnya menangis tersedu-sedu.



Dunia yang terang dipandangnya kelam
Nikmat kekayaan habislah tenggelam
Asyik menggoda siang dan malam
Badan pun kurus mata pun dalam.

Demikianlah juga Faridah Siti
Asyik menggoda bagaikan mati
Habis kesukaan penghibur hati
Shafik di mata sentiasa menanti.

Tak dapat di tahan puteri yang po'ta[32]
Hatinya menarik meranta-meronta[33]
Membawa gambar Shafik yang dicinta
Sangat keelokan di hadapan mata.

Beberapa di hiburkan puteri yang kaya
Bercakap berjalan bersuka ria
Tidaklah juga mendapat upaya
Melupakan Shafik muka bercahaya.

Dengan demikian Hanom Maseri
Jemulah memandang perhiasan kaseri[34]
Makan dan minum tidak digemari
Muka pun pucat menambahi berseri.

Shahdan pada suatu hari Faridah Hanom duduk di tingkap rumahnya memandang ke jalan raya memerhatikan orang yang pergi datang itu. Dan pada masa itu kebetulan matahari pun redup, orang yang pergi datang pun kurang sedikit, kerana hari telah tengahari. Hanyalah trem[35] yang penuh membawa orang pergi balik daripada pekerjaan masing-masing itu sahaja, dan burung pun sedang berterbangan dengan berbagai-bagai bunyinya di dalam kebun di keliling rumahnya itu. Tiba-tiba terpandanglah Faridah Hanom akan kekasihnya Shafik Afandi datang berjalan kaki hingga ke[36] hadapan rumahnya, maka menggeleparlah rasa hatinya yang di dalam dadanya, serta menggeletarlah rasa segala sendi anggotanya. Tetapi dilihatnya kekasihnya itu berjalan hingga sampai bertentang dengan rumahnya, berhentilah ianya di situ memandang ke rumahnya sebentar, kemudian balik semula. Maka berdirilah Faridah Hanom di tingkapnya itu memerhatikan Shafik Afandi berjalan balik itu seolah-olahnya seperti hendak diserunya…


atau diturutnya rasa hatinya. Maka kemudian daripada telah[37] hilanglah Shafik Afandi itu daripada matanya, turunlah ianya berjalan ke tamannya[38] kerana hendak menghiburkan hatinya yang berdebar-debar itu.

Demikianlah tabiat orang yang asyik ketika bercerai dengan maksyuknya, gemar berjalan seorang dirinya di dalam kebun atau di dalam hutan yang sunyi daripada manusia, kerana hendak menyebut-nyebut atau menyeru-nyeru[39] nama kekasihnya yang telah memiliki hatinya itu di antara segala pohon kayu atau bunga­bungaan. Maka di sinilah terasa Faridah Hanom segar selera anggotanya oleh dapat ianya menyebut-nyebut nama kekasihnya Shafik Afandi dengan berbagai-bagai gurindam yang memuaskan hatinya. Maka oleh sebab Faridah Hanom ini seorang anak perempuan yang berpengetahuan, sentiasalah juga teringat di dalam hatinya pada masa ianya melayankan kehendak cinta berahi hatinya itu akan kehormatan kedua ibu-bapanya dan kehormatan dirinya apakala termasuk ianya di dalam tangan seorang laki-laki yang tidak memperhargakan gemala kehidupan anak-anak dara daripada benih anak yang bangsawan. Dan bertanyalah ianya di dalam hatinya sendiri, adakah Shafik Afandi ini daripada laki-laki yang mempunyai maruah kehormatan, dan gemar akan kehidupan yang mulia, serta memperhargakan kehormatan anak-anak bangsawan. Di sinilah terhenti fikiran Faridah Hanom, lalu duduk di atas suatu batu putih yang terhampar di bawah suatu pohon yang rindang dahannya serta munajatlah ia ke hadarat Tuhannya dengan katanya, "Ya Tuhanku, engkaulah Tuhan yang sangat mengetahui segala rahsia yang tersembunyi di dalam hati hambaMu, dan engkaulah jua yang tempat hambaMu bergantung pada segala pekerjaan hambaMu. Sekarang ini telah engkau takdirkan cinta berahi Shafik Afandi itu memiliki akan hati hambaMu yang daif ini, maka kasihanilah ya Tuhanku akan hambaMu ini pula, sekiranya Shafik Afandi itu seorang anak laki-laki yang tidak boleh memeliharakan kehormatan perempuan anak dara yang tidak sekali-kali gemar hidup dengan melakukan perbuatan…


yang sangat cemar bagi kehidupan anak-anak bangsawan, maka engkau cabutkanlah daripada[40] hati hambaMu ini kasih sayang yang terlekat kepadanya itu. Kasihanilah, ya Tuhanku akan kedua ibu-bapa hambaMu yang sangat penat memelihara hambaMu dari kecil hingga besar, dengan kasih sayangnya, daripada terbalas akan kepenatannya itu dengan hitam muka keduanya daripada perbuatan hambaMu. Tetapi jika adalah Shafik Afandi itu laki-laki yang berpengetahuan melebihkan kehidupan yang bersih di dalam memeliharakan maruah dan kehormatan perempuan, tidak cenderong kepada hawa nafsu sekelian syaitan, maka matikanlah hambaMu di dalam kasih akan dia, serta jadikanlah Shafik Afandi itu ialah laki-laki yang awal dan ialah jua yang akhir sekali menjamah akan badan hambaMu ini di dalam halal disukai oleh kedua-ibu bapa hambaMu."

Ada pun Faridah Hanom munajat ke hadarat Tuhannya ini dengan perlahan-lahan suaranya, halus manis tersedu-sedu oleh dibawanya menangis yang bersangatan terkenangkan nasibnya yang malang, tidak semena-mena menanggung penyakit yang-tidak ada ubatnya sekali-kali itu.

Maka kemudian daripada selesai Faridah Hanom munajat ke hadrat Tuhannya itu, terasalah lapang sedikit di dalam hatinya, seolah-olah seperti ada orang yang memberitahu[41] kepadanya bahawa tak ada bahaya di atasnya berkasih-kasihan dengan Shafik Afandi itu. Maka dengan sebab ini terasalah suka sedikit hatinya lalu berjalan sambil menyeru akan kekasihnya.

Ayohai gemala sekelian laki-laki
Mengapakah tuan membuat dengki
Perempuan yang daif tuan rasuki
Kemudian berlindung meninggalkan pergi.

Janganlah tuan membuat kezaliman
Kehidupan beta di hilangkan aman
Bukankah murka Ilahi AI-Rahman
Memberi beta tidak siuman.



Ayohai Shafik laki-laki yang muda
Membuat aniaya biarlah berpada
Kembalikan segera semangat adinda
Hati yang dicuri pulangkan kakanda[42]

Sampainya hati abang nan garang
Meracun adinda di tengah terang
Kemudian ditinggalkan adik seorang
Menghidapkan bisa duduk mengerang.

Maka di dalam Faridah Hanom asyik bersyair gurindam itu, sedikit-sedikit sampailah inangnya Suad di hampir tempatnya itu, serta didengarnya[43] sedikit-sedikit suara Faridah Hanom bersyair itu suaranya merdu manis merawankan hati siapa yang mendengarnya. Maka inangnya pun berfikirlah di dalam hatinya, apalah hal tuan aku ini sangatlah berlainan kelakuannya beberapa hari ini aku lihat. Hendak pun ianya bertanya akan tuannya itu, takut rasa hatinya. Lalu ianya berjalan ke tempat tuannya itu sambil membuat-buat batuk. Apabila sampai ianya kepada tuannya, berkatalah ianya "Tuan di persilakan oleh[44] ayahanda-bonda mengajak santap." Maka bangunlah Faridah Hanom berjalan masuk ke rumahnya seumpama perjalanan orang yang mabuk minuman oleh dibawa[45] hati yang tidak berketahuan itu, lalu terus ianya masuk ke bilik makan di dapatinya ayahanda-bonda dan saudaranya Muhammad Afandi telah ada menanti mengadap hidangan makanan. Maka duduklah Faridah Hanom di sebelah saudaranya, seraya makan bersama-sama ayahanda-bondanya dilayani oleh sekelian hamba sahayanya, sambil diusik oleh saudaranya Muhammad Afandi akan dia dengan berbagai-bagai perkataan kerana hendak menyukakan hatinya. Maka suka tertawalah[46] ayahanda-bondanya oleh gemar melihat kedua anakanda berkasih-kasihan serta pandai Muhammad Afandi itu mengambil hati saudaranya. Maka Faridah Hanom pun terpaksalah jua mengangkat mukanya tersenyum menjawab apa-apa perkataan saudaranya itu oleh hendak menyembunyikan rahsia hatinya, jangan tampak ketara kepada ayahanda-bonda dan saudaranya. Maka oleh sebab makan itu di dalam bergurau senda, dapatlah Faridah Hanom…


menyembunyikan daripada mata ayahanda-bondanya akan ianya tiada makan itu; hanyalah di permainkannya sahaja makanan itu dengan tangannya. Kemudian di suruhnya dayang mengambil pinggannya dan mengganti pinggan yang lain. Dengan hal yang demikian ini makan pun sudahlah maka bangunlah ayahanda­bondanya dan Faridah Hanom pun bangunlah bersama-sama saudaranya, lalu di peluk dicium oleh Kasim Bey akan anakanda kedua dengan kasih sayang rasa hatinya, dan Faridah Hanom pun bermohon daripada ayahanda-bondanya naik ke tempatnya ke atas rumah itu duduk di tingkap yang menghala ke jalan memandang orang yang berjalan pergi datang itu dengan mencita-cita mudah­mudahan apat ianya memandang kekasihnya berjalan di hadapan rumahnya. Dengan hal yang demikian hari pun petang, maka nampaklah kepada Faridah Hanom kereta Shafik daripada jauh datang menuju jalan hadapan rumahnya ditarik oleh dua ekor kuda yang sangat eloknya. Ada sejurus nampaklah kepada Faridah Hanom muka kekasihnya bercahaya-cahaya seumpama bintang zaharah terbit pada malam yang bersangatan gelap memakai tarbush merah dan berseluar baju putih dengan menyematkan sekuntum bunga di dadanya sebelah kiri. Maka berdebarlah hati Faridah Hanom serta terbang semangatnya tercengang-cengang, seumpama orang yang lupa-lupa ingat. Maka Shafik Afandi pun terpandanglah kepada maksyuknya dan berdiri di tingkap itu. Ketika itu tiadalah tertahan lagi rasa hatinya lalu ianya mengangkat tangan memberi salam, maka Faridah Hanom pun terkejut daripada lalainya oleh melihat kelakuan Shafik itu dengan malunya yang amat sangat tetapi oleh sebab hatinya tiada berketahuan itu, maka tiadalah sedar bila ianya mengangkat tangan membalas salam Shafik Afandi itu. Kemudian sedarlah ianya akan dirinya, maka bertambah-tambahlah malunya. Kemudian duduklah ianya memerhatikan Shafik Afandi dilarikan oleh kudanya itu hingga ghaib daripada matanya, pada hal Shafik Afandi kemudian daripada menerima jawab salamnya daripada Faridah Hanom itu tiadalah ianya mengangkat kepalanya hingga lenyaplah ianya daripada pemandangan[47]


Faridah. Ada pun sebabnya Shafik Afandi tiada berani mengangkat kepalanya itu, ialah sebab takut ianya akan anak panah cinta berahi yang terbit daripada kedua mata Faridah Hanom itu kelak memberhentikan ianya daripada berjalan meninggalkan rumah Kasim Bey itu, kerana hatinya yang luka oleh terkena panah cinta berahi kekasihnya dahulu itu semakin bertambah-tambah[48] luas dan bertambah­-tambah bisanya setiap hari. Sesungguhnya demikian maka pandangannya yang sebentar dan sedikit ini pun telah menembuk akan hatinya yang sakit itu sehingga terpaksalah ianya menyeru saisnya menyuruh balik semula ke rumahnya[49] kerana telah hilang lenyaplah daripadanya segala keinginannya hendak berjalan makan angin di segenap tempat dan kebun yang elok itu, hanyalah gemar semula masuk ke dalam biliknya menguletkan peringatan kekasihnya yang membelenggu akan hatinya, dan yang terbayang-bayang gambarnya di orang-orang matanya.

Ada pun Faridah Hanom yang tinggal di tingkap rumahnya itu, maka tiadalah dapat ianya bergerak dari situ oleh lena hayal akan kekasihnya hingga masuk waktu maghrib, datanglah dayang memanggil ianya makan, sebab ayahanda-bondanya telah menunggu akan dia di bilik makan, baharulah ianya sedar akan dirinya lalu bangun berjalan turun makan bersama-sama ayahanda bonda dan saudaranya.

Pukul sembilan malam masing-masing pun bercerailah daripada perkumpulan itu kembali ke bilik tiap-tiap seorang yang tertentu.

Bermula oleh[50] Faridah Hanom masuk ke dalam biliknya itu segeralah ianya mengunci akan pintunya, berbaring seorang dirinya di atas tempat peraduannya berfikirkan hal kekasihnya yang terbayang-bayang di hadapan matanya. Maka bertanyalah Faridah Hanom akan dirinya sendiri –…


mengapakah sebab hatinya itu sangat asyik akan Shafik Afandi ini, pada hal Shafik Afandi ini seorang laki-laki yang berjauhan dengan dia, tidak pernah berkenal biasa dengannya, dan sepupunya Badaruddin Afandi yang hendak meminang akan dia itu beberapa menghampirkan dirinya dan melakukan kemanjaan dengan menurut segala tutur katanya, serta dengan kasihnya akan dia, maka tidaklah terasa kasihnya akan Badaruddin Afandi itu seumpama perasaan yang ada di hatinya sekarang dengan Shafik Afandi ini. Maka semakin ianya berfikir dan teringat akan Badaruddin Afandi itu, semakinlah bertambah­tambah peringatannya akan Shafik Afandi itu, hingga terpandang-pandanglah di matanya akan Shafik Afandi itu datang berdiri di hadapan matanya dengan rupa yang sangat elok manis dan sajak yang sangat hebat. Maka bila terpandang ianya akan Shafik Afandi itu berdiri di hadapan matanya itu, bertambahlah hancur luluh hatinya itu oleh kedatangan Shafik itu tidak sebenarnya, dengan sebab ini diputuskannyalah kehendaknya bagaimana upayanya hendak berjumpa dengan Shafik Afandi itu supaya diketahuinya bagaimana keadaan Shafik Afandi itu, adakah ianya mempunyai peringatan kasih sayang bagaimana kasih sayang dan cintanya akan dia, serta bolehkah dipercayanya akan dia itu tidak akan berniat melakukan kejahatan kepadanya, lain daripada kasih sayang dan asyik yang bersih daripada perkara yang kecemaran. Dengan fikiran yang demikian ini keluh-kesahlah[51] Faridah Hanom di atas tilamnya tiada dapat mengejamkan matanya sentiasa terfikir akan perjumpaannya dengan Shafik Afandi dan tutur katanya, hingga berbunyi ayam berkokok alamat fajar hari akan siang. Maka bangunlah ianya membasuh mukanya, sambil mengejutkan dayangnya menyuruh membuat minuman dan mencari makanan yang menghilangkan masam mulutnya dengan muka yang bertambah berseri-seri dan memancar-mancar keluar sinar cahaya pipinya, hingga dayangnya sendiri pun heran melihat tuannya tiada beradu itu, serta…


diperhatikannya rupa tuannya itu onis manis mukanya oleh dibuat berjaga itu, maka semakin bertambah­tambahlah juga keelokannya berseri-seri cahaya sinaran kedua pipinya, maka bertambah-tambahlah kasih sayang ia memandang paras tuannya itu.

Ajaib asyik empunya[52] angkara
Mengharamkan tidur teruna dan dara
Menutup nafsu semua perkara
Hanyalah maksyuk yang sangat terpelihara.
 
Asyik yang bersih daripada bencana
Tidak berniat pekerjaan yang hina
Bersama maksyuknya apabila fana
Di Jannatul-naim tempatnya sempurna.

Demikianlah asyik puteri Faridah
Hatinya suci rupanya indah
Laila Majnun gantinya sudah
Pelajarannya sangat memberi faedah.

Apparatus criticus[Bearbeiten]

  1. Fasal yang kedua omitted in d, e.
  2. elok e.
  3. negeri Mesir negeri c.
  4. omitted in d, e.
  5. kerana berkhidmat akan watannya a, kerana hendak berkhidmat kepada watannya d, e.
  6. missing in a.
  7. berkehendakkan a.
  8. di dalam a, b, c, dengan d, e.
  9. omitted in e.
  10. ia d, e.
  11. lepaslah perempuan itu berjalan meningalkan tempat omitted in d, e.
  12. maka terjalanlah kakinya dengan terpaksa menurut akan perempuan itu omitted in d, e.
  13. omitted in d, e.
  14. badan Shafik Afandi itu. Maka terasalah gemar kepada hatinya memandang rupa dan susuk omitted in d, e.
  15. berkatalah d, e.
  16. terkejutlah ianya lalu ianya mengucap a, maka terkejutlah ia lalu mengucap ianya d, e.
  17. seluarnya d, e.
  18. ruang-ruang d, e.
  19. Shafik Afandi e.
  20. kedua-dua e.
  21. itu penghiburan kepada kedua ayahanda-bondanya dan pengharapan keduanya omitted in d, e.
  22. Ada pun Faridah Hanom ini, besar ianya b, c, d, e, Maka besarlah Faridah Hanom ini a.
  23. mengajar adan menanamkan d, mengajar adat menanamkan e.
  24. Frances d, e.
  25. setiap c.
  26. omitted in d, e.
  27. dokter-dokter e.
  28. omitted in d, e.
  29. anak c.
  30. omitted in c.
  31. masa c.
  32. fuad d, e.
  33. meronta-ronta d, e.
  34. keseri e
  35. train d, e.
  36. di d, e.
  37. itu c
  38. taman d, e.
  39. menyeru a, d, e.
  40. omitted in d, e.
  41. tahu d, e.
  42. kekanda in d, e.
  43. didengar in e.
  44. omitted in d, e.
  45. oleh dibawa a, b, d, dibawa oleh in d, e.
  46. ketawalah d, e.
  47. pandangan c.
  48. bertamabah d, e.
  49. rumah d, e.
  50. adalah b, c, d, e.
  51. keluhan kesahlah e.
  52. ampunya d, e.