Hikayat Faridah Hanom 12

Aus Wikiversity

Fasal yang keduabelas
MENYEMPURNAKAN SETIA

Beberapa usaha Talat Bey hendak menahan anakandanya daripada masuk sekolah peperangan itu, tiadalah jua tertahan olehnya, dengan sebab ini lepas daripada segala pemeriksaan doktor dan pemeriksaan segala ilmu yang mesti diketahui oleh orang yang hendak masuk sekolah pegawai kepala perang itu, dapatlah[1] Shafik Afandi masuk menjadi murid di dalam sekolah peperangan itu.

Sebermula, ada pun Faridah Hanom yang kembali daripada rumah Aliah itu sehari-hari itu tiadalah ia lupa akan kekasihnya Shafik Afandi, dengan marahnya akan Badaruddin Afandi itu. Maka daripada hari itu tiadalah ia hendak turun makan bersama­sama ayahanda-bondanya sentiasa ia makan seorang dirinya di atas rumahnya oleh benci ia memandang muka Badaruddin Afandi itu.

Ada pun Kasim Bey pada hari jadi Khadiwi itu kemudian daripada[2] balik ia memberi selamat Khadiwi pada malamnya, datanglah ke rumahnya beberapa sahabatnya orang besar-besar yang hadir di majlis Khadiwi pada masa Shafik Afandi berkata-kata di majlis itu. Maka sekalian orang besar-besar itupun bercakaplah dengan Kasim Bey segala perkataan Shafik Afandi itu dengan menyatakan masing-masing pun heran dan ajaib seorang anak muda yang sangat berani berkata-kata di hadapan raja dan di dalam majlisnya yang penuh dengan sekalian orang besar-besarnya.


Maka di dalam orang-orang itu bercakap-cakap didengarlah oleh setengah daripada dayang-dayang Faridah Hanom yang keluar masuk melayan orang-orang yang datang itu. Maka segeralah seorang daripadanya berkhabar kepada Khatun, maka Khatun pun segeralah turun pergi menyamar di dalam dayang-dayang yang ramai itu mendengar segala cerita Shafik Afandi itu. Apabila telah habislah didengarnya dan diketahuinya yang Shafik Afandi hendak masuk perang ke Sudan itu, segeralah ianya naik balik mencari peluang hendak berkhabarkan hal itu kepada tuannya Faridah Hanom. Tetapi oleh sebab sentiasa dilihatnya tuannya dengan bermasam muka dan ringsa dukacita oleh menantikan kedatangan Shafik Afandi pada malam yang dipesannya dengan Aliah itu tiada datang, jadi Khatun pun tiadalah berani berkata apa-apa pun hingga pada hari Saad dipanggil oleh Aliah itu Faridah Hanom duduk seorang diri[3] di atas kerusi di tepi[4] tingkap menghadap ke jalan bertanyakan Saad, maka Khatun pun berkhabarlah[5] kepadanya Saad keluar sebentar dipanggil oleh Aliah. Maka Faridah Hanom pun tercengang[6] mendengar nama Aliah itu sambil bertanya, "Siapakah yang datang memanggilnya itu." Jawab Khatun, Ibrahim saudaranya yang menjaga pakaian Shafik Afandi. Maka Faridah Hanom pun diam dengan suka rasa hatinya mendengar perkhabaran itu. Apabila dilihat oleh Khatun akan tuannya manis mukanya itu segeralah dihampirinya serta berkhabarkan segala perkataan orang besar-besar yang bercakap dengan Kasim Bey itu, maka Faridah Hanom pun terkejutlah mendengarkan kekasihnya hendak masuk perang itu serta termenunglah ia berfikir -- putus harapan rupanya Shafik Afandi ini hingga hendak mencari jalan kematiannya. Di dalam ia berpecah-belah fikiran itu Saad pun sampai balik maka segeralah dipanggil oleh Faridah Hanom akan dia sambil bertanya, apa pekerjaannya dipanggil oleh Aliah itu. Maka Saad pun tiadalah dapat hendak bersembunyi lagi lalu dikhabarkannya segala perkhabaran…


yang dikatakan oleh Aliah itu. Serta katanya, "Esok pagi-pagi tuan Shafik Afandi hendak masuk[7] sekolah peperangan kerana tiadalah sekali-kali dapat dilarang dan dinasihatkan oleh ayahanda-bondanya lagi."

Maka Faridah Hanom pun terpegunlah tiada dapat berkata­kata lagi, lalu bangun masuk segera berlari-lari ke dalam biliknya membantingkan dirinya ke atas peraduannya dengan tangisnya yang amat sangat. Maka Saad dan Khatun pun segera menurut tuannya masuk ke dalam biliknya dengan sangat kasihan belas rasa hati keduanya melihatkan hal tuannya itu. Maka apabila dilihat oleh keduanya akan tuannya menangis terlalu amat itu, segeralah keduanya mengunci pintu dari dalam oleh takut jangan siapa-siapa datang serta duduklah keduanya di kaki tempat peraduan tuannya itu dengan menangis kasihan belas akan tuannya menaruh percintaan keputusan harapan daripada mendapat yang dicintakan itu. Maka apabila telah masuk malam sampai jam waktu makan tiada juga Fariah Hanom diam daripada menangis itu, bangunlah Saad berjalan keluar bilik menyuruh dayang-dayangnya menyimpan persantapan tuannya kalau-kalau tengah malam sekarang ia berkehendak akan makanan, serta dipesannya kepada sekalian dayang-dayang siapa-siapa[8] juga bertanya akan tuannya disuruhnya khabarkan ia pening kepala sudah masuk beradu, kemudian masuklah semula Saad ke dalam menunggu tuannya duduk bersama-sama Khatun di kaki tempat tidurnya tidak bergerak dengan sangat belas hati keduanya mendengar tuannya tidak berhenti daripada menangis teresak-esak itu.

Ada pun Faridah Hanom yang di atas tempat tidur itu tiadalah dapat ia menahan air matanya teringatkan kekasihnya itu hendaklah ia mati rasanya. Maka berbagai-bagailah…


fikirannya bila teringat ia Shafik Afandi hendak masuk perang membuang nyawa dengan kerana putus harapannya daripada mendapat akan dia itu serta tiada pula Shafik Afandi hendak berjumpa dengan dia lagi, maka bertambah-tambahlah belas dan kasih sayangnya macam hendak keluar ia pergi mendapatkan kekasihnya itu, tetapi oleh sebab teringat ia akan kemaluan ayahanda-bondanya, jadi ditahannya juga hatinya seberapa daya upayanya[9], dan ditetapkannyalah kehendaknya hendak membunuh dirinya apabila sahaja tiada dapat ia berlepas diri daripada dijamah oleh laki-laki[10] yang lain daripada kekasihnya akan badannya, sebab peringatannya terlebih baiklah ia mati daripada memecahkan setia dengan kekasihnya atau mendatangkan perbuatan yang memberi kemaluan kedua ayahanda­bondanya. Maka dengan hal yang demikian hari pun telah lampau daripada pertengahan malam, terasalah Farida Hanom pening kepalanya dan panas seluruh tubuhnya, lalu ia bangun turun daripada peraduannya dengan menyapu air matanya berjalan menuju ke bilik mandi membasuh muka dan badannya, kemudian masuk bersalin pakaian sambil duduk di atas kerusi menghamparkan rambutnya serta memanggil Khatun disuruhnya mengambiI air mawar disiramkan di kepalanya.

Ada pun Saad apabila dilihatnya tuannya telah bangun itu, maka segeralah ia keluar mengambil makanan dan minuman serba sedikit dibawanya masuk ke dalam bilik tuannya menunggu kalau­kalau tuannya terasa lapar berkehendakkan minuman atau[11] makanan. Maka apabila dilihatnya Faridah Hanom baring di atas kerusi dengan air matanya dan Khatun menaruh air mawar di rambutnya itu, berjalanlah ia duduk hampir kerusi itu seraya berkata: "Silalah tuan santap sedikit tiada baik tiada santap, masuk angin mendapat penyakit kelak." Maka Faridah Hanom pun bertambah-tambahlah tangisnya sambil berkata: "Tiadalah ibu beta hendak makan, biarlah…


beta dapat sakit mudah-mudahan segera beta mati kerana tiadalah ter­ tanggung lagi kehidupan yang demikian ini, apakah guna beta hidup kemudian daripada beta ditolak dan ditinggalkan oleh kekasih yang telah beta bersumpah setia dengan dia hendak bersama-sama hidup dan mati dengan sebab perbuatan ayahanda beta. Maka jikalau Shafik Afandi tidak sayangkan nyawanya kerana beta, hingga putus hatinya hendak masuk perang, adakah patut beta hidup lagi bersuka ria naik pengantin dengan lelaki yang lain. Sesungguhnyalah, jika beta perbuat demikian itu yang beta ini bukan daripada benih manusia yang mempunyai perasaan dan pelajaran makna manusia yang sebenar. Tidakkah boleh dikata oleh orang yang mengetahui hal di antara beta dengan Shafik Afandi itu, bahawa beta telah menipu mendaya akan dia? Tidak, tidak, tidak, demi Tuhan yang menjadikan alam ini, tidak beta memecahkan sumpah setia beta dengan dia sekali-kali, biarlah apa akan jadinya sekali pun." Maka Saad dan Khatun pun menangis mendengar perkataan tuannya itu kerana sangatlah keduanya kasihan belas melihat tuannya berkata-kata itu merah padam warna mukanya dengan air mata yang berhamburan seumpama mutiara yang terhambur daripada karangnya lalu berkata Saad, "Sabarlah dahulu[12] tuan, jangan gopoh sangat tuan[4] menurutkan hati tuan[12]. Sabarlah sedikit masa lagi kita lihat, masakan tiada kasihan Tuhan rabbu l-alamin akan tuan kerana tuan berkasih-kasihan[13] berdua sama bersih hati dan bersih perbuatan tiada mendatangkan pekerjaan yang dilarangNya. Dan lagi pula adalah kekasih tuan itu di dalam masa enam bulan ini belumlah ia pergi lagi ke medan peperangan kerana masih di dalam sekolahnya masakan di dalam enam bulan ini[14] tiada perubahan yang mendatangkan kebajikan di atas tuan berdua." Jawab Faridah Hanom, "Di manakah ada pengharapan yang mendatangkan kebajikan lagi ibu, tidakkah ibuku lihat ayahanda beta duduk peram taruh…


anak[15] saudaranya itu tidak dilepas­ lepaskannya daripada sini. Dan beta pun tidak sekali-kali berniat hendak melanggar kehendaknya dengan kekerasan atau melakukan perbuatan yang mendatangkan keaiban dan kemaluan kepadanya dan kekasih beta yang beta cita-cita dan beta bersetia kepadanya bersama[16] hidup dan mati itu pun telah melarikan dirinya. Ah, kekerasan bapa. Kekerasan yang demikian inilah kerap-kali mendatangkan bahaya kehidupan anak-anak kemudian daripadanya." Kata Saad, "Tiadalah dapat juga tuan hendak menyalahkan sangat ayahanda itu sebab[17] ia tiada tahu sekali-kali hal-ehwal tuan dengan[18] Shafik Afandi itu." Jawab Faridah Hanom, "Tidaklah begitu ibu. Bukankah beta ini telah dipelihara dan diberi pelajaran agama dan dunia masa ini, maka apakah guna pelajaran yang ada kepada beta ini jika sampai tidak boleh beta memberi fikiran beta di dalam perkara yang semata-mata bergantung bagi kehidupan beta sendiri pada masa yang akan datang. Bukankah berkahwin itu[4] ertinya bersyarikat hidup sama yang dikehendaki daripada mula hingga tua atau sampai kemati. Maka jika syarikat itu tidak[19] bersetuju sama satu tabiat perangai dan peraturan, bagaimanakah boleh hidup kekal syarikat itu dengan sejahteranya. Di sinilah penyakit yang datang ke atas kebanyakan bangsa kita kaum Islam fasal perkara kehidupan laki-isteri, sebab kebanyakan bapa-bapa itu menggunakan kekuasaannya[20] yang diberi oleh Tuhan kepadanya di atas anak perempuannya yang anak dara itu dengan tidak menilik tabiat perangai anaknya dengan tabiat perangai laki-laki[10] yang disukainya itu, hanyalah yang ditilik oleh mereka itu kesukaan hatinya sendiri sahaja. Apabila suka pada hatinya dihukumkannyalah di atas anaknya mesti menerima laki-laki[10] itu, jika berapa jauh beza di antara anaknya dengan laki-laki[10] itu sekali pun,…


sebab konon ianya bapa ada kudrat kuasa memberi kahwin anaknya yang anak dara itu dengan tiada mengambil izinnya.

"Misalnya beta sekarang telah dipaksa oleh ayahanda beta hendak dikahwinkannya dengan Badaruddin Afandi sebab ayahanda beta kasih akan Badaruddin itu kerana anak saudaranya, pada hal jika ada bagi ayahanda beta sedikit tilekan yang sempurna, nescaya mengetahuilah ia bahawa beta sekali-kali tiada boleh bersatu dengan Badaruddin itu. Sebab pertama-tama ia tiada sekali-kali mempunyai pelajaran sesuatu pun, dan kedua tiada mempunyai sesuatu pekerjaan lain daripada menggunakan kekayaan ayahanda-bondanya, dan ketiga tabiat perangainya tidak senonoh umpama orang yang tidak siuman serta sombongnya dengan mengekalkan meminum arak setiap malam, keempatnya beberapa kali di hadapan ayahanda yang beta menampakkan tidak kesukaan beta kepadanya dengan perkataan beta dan kelakuan beta. Tetapi oleh sebab ayahanda beta kasih akan anak saudaranya itu, jadi dihukumkanlah ke atas beta mesti kasih akan dia juga. Tidak apa taatlah beta akan hukuman ayahanda beta, kerana beta tidak sekali-kali suka menjadi anak yang tidak taat akan ibu bapanya, tetapi kasih yang dapat beta beri kepada Badaruddin itu hanyalah kasih kerana saudara sahaja tidaklah ada daya-upaya beta memberi akan dia kasih yang lain daripada itu jika dipaksakan beta oleh sekalian jin dan manusia sekali pun."

Kata Saad, "Bagaimanakah hal tuan jika ayahanda menikahkan tuan serta diperbuat bagaimana istiadat orang-orang berkahwin."


Jawab Faridah Hanom, "Tidaklah beta[7] salahi sekali-kali apa juga yang disukai oleh ayahanda beta itu, tetapi hati beta mustahillah sekali boleh beta paksa akan dia. Maka apabila hati beta tiada menerima mustahil pula badan beta boleh menerima kehendak­kehendak orang yang tiada[7] dikasihnya[21] lain daripada kasih akan saudara itu hanyalah gerak laku yang boleh beta paksa melakukan dia beta lakukanlah seberapa boleh, kerana menuntut keredaan ayahanda beta." Kemudian mendayu-dayulah Faridah Hanom seorang dirinya dengan melengung dan berkata:

"Ah, ah, ah, ayahku yang dikasihi sampainya hati ayahanda melakukan kudrat kuasa ayahanda di atas anakanda yang sangat memperhargakan belaian kasih sayang ayahanda. Kiranya sebelum ayahanda menerima permintaan Badaruddin Afandi itu ayahanda bermesyuarat terlebih dahulu dengan bonda dan saudara anakanda Muhammad Afandi, nescaya mengetahuilah ayahanda apa yang wajib diketahui oleh seorang bapa yang berkehendak akan kebajikan bagi anak perempuannya[22] yang tunggal.

"Tidaklah anakanda hilang sama sekali timbang rasa atas hal ayahku tuan. Sungguh pun anakanda menerima paluan yang maha besar ini, mengetahuilah anakanda akan keuzuran ayahanda melakukan demikian kelakuan ialah sebab itikad yang telah mesra di dalam darah daging ayahanda dengan pengajaran sekalian orang­orang yang bukan ahli menamakan dirinya guru-guru agama yang sebenar bahawa sekalian perempuan ini konon kurang akal dan agama, maka hendaklah orang laki-laki[10] melakukan mana-mana sahaja yang difikirkannya baik kepadanya. Maka oleh kerana sekalian guru-guru yang palsu itu hendak melakukan pelajarannya selalulah mereka itu membawa nama agama Islam di dalam hukuman mereka itu. Pada hal[4] hikmat agama Islam yang maha tinggi kehendaknya bagi kebajikan…


manusia yang am ini, Maha Suci sekali daripada menduduki diotak sekalian guru-guru yang mendatangkan segala bala di atas kaum Islam masa ini. Tetapi apalah yang boleh anakanda perbuat kerana pengajaran yang demikian itu telah mesra ke dalam darah daging ayahanda, tiada upaya anakanda menggerakkan dia dan mengubah kepercayaan ayahanda[23] itu. Jadi terpaksalah anakanda taat akan hukuman yang kezaliman ini pada zahirnya mana sekuasa anakanda kerana melepaskan diri anakanda daripada nama anak[24] yang durhaka yang membalas dengan kejahatan akan penat lelah kasih sayang ibu bapanya yang memelihara akan dia daripada kecil. Sebab bukanlah anakanda seorang awal mula pertama orang yang menanggung kebinasaan dengan sebab pengajaran orang-orang yang menamakan dirinya guru agama Islam itu, tetapi kebanyakan orang-orang Islam di muka bumi ini telah menanggung kebinasaan dan tertelan racun pengajaran yang tidak sebenar ini. Pengajaran yang berlawanan dengan kehendak Islam yang maha[7] tinggi bagi kebajikan-kebajikan yang am dunia dan akhirat sehingga habis hapus kemuliaan kemegahan kaum Islam dan habis hilang kehormatan watan tanah air mereka itu dimiliki oleh kaum yang lain, maka tinggallah kaum Islam ini diserata muka bumi[4] hina papa di dalam watan tanah air sendiri diperhamba oleh kaum yang Iain."

Ada pun Faridah Hanom[25] mendayu-dayu itu dengan suara yang[4] putus-putus bahasa oleh dibawanya menangis teresak-esak terkenangkan[26] dirinya tiada bernasib itu[27], sebab tiadalah dapat tempat ia hendak mengadukan dirinya atau meminta pertolongan oleh diketahuinya tabiat ayahandanya apabila telah dikatanya itu tiadalah dapat disalahi sekali-kali. Maka dengan hal yang demikian fajar pun menyinsing, murai pun bergurindam berbagai-bagai bunyinya, dan segala burung pun berterbangan dengan berbagai­bagai bunyinya di dalam kebunnya, maka Faridah Hanom pun bangun…


basuh mukanya serta mengambil kain sabinya diselimutkannya ke badannya lalu berjalan turun seorang dirinya dengan letih-lesu rupanya menuju ke dalam tamannya berjalan daripada[28] suatu tempat ke suatu tempat melihat[29] segala pohon bunga-bungaan yang sedang berkembangan[30] lalu terus ia ke dalam tempat yang selalu ia berjumpa kekasihnya Shafik Afandi di situ sambil duduk di atas kerusi yang teratur melengung melepaskan fikirannya kepada peringatan masa yang telah lepas masa perjumpaan dengan kekasihnya di tempat itu, dan masa ia berjalan dengan kekasihnya di segenap kebun-kebun kerajaan dan masa perjumpaan di rumah yang disewa oleh kekasihnya. Di dalam masa ia tenggelam di dalam fikiran yang sangat lazat padanya itu, terdengarlah kepadanya[31] bunyi kaki orang berjalan menuju datang ke tempatnya lalu diangkatnya kepalanya meman­ dang tempat yang berbunyi itu maka dilihatnya yang datang itu Badaruddin Afandi berpimpin tangan dengan saudaranya Muhammad Afandi yang apabila terlihat kepada keduanya akan Faridah Hanom duduk di dalam rumah itu segeralah keduanya[32] berjalan menuju ke tempatnya serta sampai lalu keduanya memberi salam dan duduk di atas kerusi yang teratur di situ yang berhampiran dengan kerusi Faridah Hanom.

Maka Faridah Hanom pun tiadalah tertahan hatinya lagi hendak duduk bersama-sama Badaruddin itu lalu ianya bangun keluar menuju jalan yang terus masuk ke dalam rumahnya dengan tidak mengerling pun kepada kedua orang yang datang itu.

Apabila dilihat oleh Badaruddin Afandi akan hal Faridah Hanom itu segeralah ianya bangun mengadang akan Faridah Hanom di jalan itu serta berkata: „Suka nyawaku atau pun benci akan abang, tidaklah abang ambil peduli hanyalah yang abang ketahui bahawa abang sangat…


kasih cinta akan nyawaku."

Maka Faridah Hanom pun melepaskan dirinya daripada jalan yang di adang oleh Badaruddin Afandi itu sambil berkata: "lngat baik-baik, jangan sekali-kali engkau mengikut akan daku. Dan hendaklah engkau percaya sebenar-benar kepercayaan bahawasanya aku sangat benci akan engkau dan aku pandang engkau dengan pandangan yang sangat-sangat hina."

Jawab Badaruddin Afandi kepadanya, "Sedikit hari lagi tuan akan jadi isteri beta, maka pada masa itulah tuan mengetahui bagaimana beta menghukum akan tuan."

Kata Faridah Hanom,"Yang demikian itu mustahil sekali-kali memadalah kepada engkau yang aku memandang[33] engkau itu dengan pandangan aku kepada orang yang sehabis-habis busuk di dalam dunia ini."

Maka naiklah marah Badaruddin dengan sehabis-habis marah macam hendak diramasnya akan mulut Faridah Hanom tetapi tiadalah berani ia mendekati akan dia hanyalah katanya, "Beta tiada tertanggung begini kehinaan yang tuan[7] katakan itu."

Kata Faridah Hanom, "Engkau itu seorang busuk yang sehabis-habis hina dengan sebab itu aku tiada menghitungkan engkau itu seorang daripada manusia."

Maka bertambah-tambahlah marah Badaruddin Afandi sehingga tiada tahu apa yang ia hendak kata hingga keluarlah suara yang tiada tentu hurufnya daripada mulutnya.

Maka Faridah Hanom pun berjalanlah terus masuk ke dalam rumahnya lalu naik ke atas rumahnya masuk ke dalam bilik baring di atas tempat tidurnya kerana oleh sebab…


bersangatan marahnya itu terasalah badannya menggeletar seluruh anggotanya. Ada sejurus dapatlah ia demam yang sangat keras sehingga tiadalah ia sedar ia akan dirinya.

Apabila dilihat oleh inangnya Saad akan hal tuannya itu segeralah ia menyuruh seorang dayang memberi tahu ayahanda bondanya akan hal itu. Maka dengan serta menyerta datanglah bondanya tergocoh-gocoh mendengarkan hal puterinya itu. Maka apabila dilihatnya buah hati biji matanya yang demikian hal maha besarlah terkejut rasanya maka menangislah ia dengan tangisan yang amat sangat, sambil memeluk puterinya dengan berbagai­bagai ratapan. Ada sejurus sampailah pula ayahandanya Kasim Bey, maka apabila dilihatnya hal Faridah Hanom tiada sedar akan dirinya itu maha besarlah terkejut rasa hatinya, maka segeralah ia menyuruh memanggil doktor dan dengan seketika itu juga doktor pun sampailah lalu memeriksa akan Faridah Hanom dengan sehabis-habis cermatnya kemudian berkatalah ia kepada Kasim Bey, "Adalah anak tuan ini telah terkena demam yang sangat kuat oleh uap[34] darah yang mendidih dari jantung." Maka Kasim Bey pun bertambah-tambahlah dukacitanya bila mendengar perkataan doktor itu. Dengan sebab ini sunyi-senyaplah rumah itu daripada masa itu seolah-olahnya dukacita itu telah mengelubungi rumah itu daripada awalnya hingga ke akhirnya.

Ada pun Faridah Hanom sentiasalah jua di dalam tiada sedar akan dirinya dengan beberapa macam ubat dan ikhtiar doktor hendak menurunkan demamnya itu tiadalah bergerak suatu digree pun sehingga dipesan oleh doktor tiada dibenarkan seorang pun masuk ke tempatnya lain daripada inang dan ayahanda-bondanya, serta tidak diberinya suatu bunyi atau pandangan yang tidak kesukaannya kerana pada mula pertama peringatan doktor itu demam itu boleh juga turun…


tidak beberapa lama tetapi pada akhirnya lemaslah hati doktor itu melihat semuanya ubat dan pen­ cubaannya tidak memberi bekas sekali-kali, hingga lemahlah sudah terasa pada hatinya. Oleh sebab doktor itu seorang yang sangat bijak, maka pada suatu pagi ia masuk hendak memeriksa Faridah Hanorn itu didapatinya Faridah Hanom tengah lalai mengeluarkan beberapa perkataan yang tidak mengerti serta berkata: "Shafik -- pergi -­ diambil orang akan dia -- baliklah -- jangan bercerai daripada aku -- kebun -- berjalan di kampung -- Badaruddin – undur[35] daripada aku -- aku tak suka akan engkau." Kemudian menggeletarlah seluruh badannya serta naiklah sesak nafasnya turun naik dadanya, dan mengeluh ia bernafas panjang. Maka doktor pun berdirilah di sisi Faridah Hanom tidak jadi memeriksa memperhatikan segala perkataan Faridah Hanorn di dalam mamainya itu. Serta berfikir di dalam hatinya, tiada boleh dikata orang aku ini semata-mata meneka-neka[36] sahaja jika aku berkata-kata penyakit budak ini ada dengan sebab sesuatu di dalam hatinya. Maka wajiblah aku menunggu sehingga aku boleh mendapat ketahui apa jua halnya, lalu duduk ia di sisi Faridah Hanom itu memerhatikan segala perkataan yang dikatakan oleh Faridah Hanom di dalam mamainya itu. Ada seketika Faridah Hanom itu pun baliklah semula ia berkata-kata dengan mamainya, "pergi engkau dari sini, jauhlah engkau daripada aku, jaga baik-baik, jangan rapat dengan aku, siapa ini, Shafik, betulkah engkau Shafik, ya betul, betul aku kasihkan engkau, aku asyikkan engkau, pandanglah abang, beta ini sakit tuan tak mahu memandang, keras hati tuan." Kemudian senyaplah Faridah Hanom terhenti daripada mamainya senyap seumpama orang yang tidur cendera.

Maka berkatalah doktor di dalam hatinya, budak ini asyik berahi putus harapan daripada mendapat akan kekasihnya, inilah yang mendatangkan penyakitnya ini[7]. Lalu ia memandang kepada…


Saad serta memerhatikan mukanya dan kelakuannya menjaga Faridah Hanom sakit itu, maka berfikirlah ia di dalam hatinya, perempuan tua inilah yang terlebih mengetahui hal budak ini[37] daripada orang yang lainnya, dan daripadanyalah yang aku boleh dapat perkhabaran yang tentu sekali. Maka segeralah ia bangun hampir dekat Saad serta berkata: "Ketahuilah wahai ibuku, adalah tuan ibu ini sakitnya yang sangat kuat kerana menanggung di dalam hatinya rahsia yang sangat besar[38]. Bermula rahsia itu atas pendapatan beta ialah perhubungan kasih sayang cinta berahi bermula[4] orang yang disebutnya nama Shafik di dalam mamainya itu sangatlah dicintainya di dalam hatinya. Maka hendaklah ibuku berkhabar benar akan hal tuan ibu[39] ini kepada beta mudah-mudahan dapat beta berikhtiar mencarikan ubatnya dengan senang."

Jawab Saad, "Sekarang tuan telah bertanya kepada hamba, maka tiadalah dapat hamba sembunyikan lagi dan wajiblah hamba berkhabar apa yang benar kerana kebajikan tuan hamba. Sesungguhnyalah ia asyikkan Shafik Afandi putera Talat Bey. Maka di antara kedua asyik dan maksyuk ini perhubungan yang tiada pernah putus sekali-kali. Tetapi di dalam masa lima belas hari ini berubah segala ehwalnya iaitu mula-mula sepupunya Badaruddin Afandi datang dan di belakang dua hari datang pula ayahnya meminang akan tuan hamba bagi anaknya Badaruddin Afandi, maka apabila didengar oleh tuan hamba ini akan perkhabaran Badaruddin Afandi itu segeralah ia menulis surat kepada kekasihnya Shafik Afandi menyuruh ia meminta ayahnya Talat Bey datang meminang akan dia daripada ayahandanya. Maka datanglah Shafik Afandi serta ayahandanya meminang akan dia bagi Shafik Afandi tetapi pinangannya itu ditolak oleh ayahandanya. Maka putuslah harapan tuan hamba ini daripada hari itu. Dan kemudian daripada itu[4] beberapa…


hari berkelahilah (pula) tuan (hamba) ini dengan Badaruddin Afandi di dalam taman, maka naik daripada berkelahi itulah dapat sakit ini."

Kata doktor, "Inilah dia punca penyakitnya tuan ibu ini." Jawab Saad, "Apakah yang tuan fikir akan menjadi ubatnya." Kata doktor, "Tidak ada ubatnya melainkan apabila tetap hatinya dengan orang yang dikasihinya."

Di antara doktor tengah berkata-kata dengan Saad dan menjawab pertanyaan Saad itu, masuklah ke dalam bilik itu bonda Faridah Hanom dengan tangisnya sambil berkata: "Beta ketahui apa-apa perkataan Saad dan doktor fasal anak beta Faridah Hanom. Jika anak beta ini tidak boleh sembuh penyakitnya melainkan dengan ia memandang akan Shafik Afandi, maka wajiblah dipanggil Shafik Afandi datang hadhir kemari. Dan beta pun seberapa upaya akan berusaha pada menjadikan pertemuan keduanya."

Jawab doktor, "Demikianlah yang mesti diperbuat kerana menghidupkan anak tuan jika ada lagi kasih sayang rahmat rahim tuan ke atasnya."

Jawab bonda Faridah Hanom, "Akan beta berusaha dan bekerja seberapa upaya beta bagi kesenangan dan kelapangan anak beta."

Kata doktor, "Tentulah boleh didapati di dalam persimpanannya gambar Shafik Afandi, jika ada cubalah bawa kemari supaya beta beri ubat penyakit yang melemahkan beta daripada kelmarin ini." Jawab Saad, "Barangkali ada." Kemudian bangunlah bonda Faridah Hanom mencari di dalam penyimpanan anaknya, maka didapatinya suatu gambar fotograp rupa Shafik,…


lalu diserahkannya kepada doktor, maka diambil oleh doktor ditiliknya, didapatinya seorang muda yang sangat elok rupanya serta sajak bangunan badannya, lalu ia berkata kepada bondanya, "Kasihan beta akan Faridah Hanom patut sangatlah ia jatuh sakit, budak ini sangat elok padan benar dengan dia."

Ada pun Saad segeralah ia bangun hampir tuannya serta dipegangnya badan Faridah Hanom diteriaknya perlahan-lahan, "Tuan batu kepala inang, bangun dan jagalah tuan kerana Shafik Afandi sudah datang bertanyakan tuan."· Apabila didengar oleh Faridah Hanom nama Shafik Afandi itu, bangunlah ia duduk seraya bertanya, "Di mana dianya dayangku." Jawab Saad, "Ada dia dijalan, inilah gambar dikirimnya kepada tuan." Maka segeralah diambil oleh Faridah Hanom akan gambar itu diperhatikan serta berkata: "Apa ada pesanannya kepada ibu." Jawab Saad, "Katanya ia akan datang malam ini atau esok." Maka Faridah Hanom pun berkata dengan sukanya, "Sangatlah besar kesukaan beta ibu membawa perkhabaran ini." Kata bondanya, "Janganlah anakku tidak ketahui ayahanda tuan hendak menikahkan tuan dengan Shafik, semalam ayahanda dan bonda telah berjumpa dengan dia." Maka Faridah Hanom pun berdirilah hendak berjalan mendapatkan bondanya bila mendengarkan perkhabaran itu. Apabila dilihat oleh bondanya anakanda berdiri itu macam hendak tumbang segeralah ia bangun mendapatkan dia maka segeralah dipeluk oleh Faridah Hanom akan bondanya serta diciumnya kedua pipinya sambil berkata: "Sungguhkah bagaimana kata bonda itu." Jawab Saad, "Sungguhlah tuan, dayang pun ada hadir mendengar masa orang putus cakap itu." Dan doktor pun bersuara dengan bahasa Perancis mengatakan ia pun mendengar sama.


Demikianlah masing-masing pada hari itu mengeluarkan percakapan perihal di antaranya dengan Shafik yang menyukakan hati Faridah Hanom dengan sebab ini, tiadalah masuk matahari hari tiru melainkan telah kembali kepada Faridah Hanom sihat tubuhnya oleh masuk persangkaan yang menyukakan hatinya itu. Maka dengan sebab ini lepaslah ia daripada bahaya. Kata doktor kepada bondanya sambil berjalan keduanya keluar bilik, "Sekarang ini kita telah masukkan ke dalam hatinya peringatan dan sangka-sangka yang disukainya, maka wajiblah pula kita berusaha sekarang pada menyungguhkan perkataan kita itu kepadanya dan kita kahwinkan ia dengan orang yang dikasihinya."

Ada pun Saad apakala mendengar ia akan segala perkataan bonda Faridah Hanom fasal Shafik Afandi itu serta dilihatnya pula akan tuannya telah sembuh daripada sakitnya oleh mendengar perkataan bondanya itu, maka segeralah mengambil kain tudungnya a turun berjalan ke rumah Shafik Afandi hendak memberi tahu segala hal ehwal ini. Maka apabila sampai ia kesana mendapatkan ia tahu yang Shafik Afandi telah masuk sekolah peperangan, di dalam tujuh hari sekali jika ada pun ia akan balik ke rumahnya. Maka baliklah Saad semula ke rumahnya dengan tangisnya oleh kasihan akan tuannya yang tiada bernasib itu. Dan apabila sampai ia ke rumahnya segeralah ia berkhabar akan hal Shafik Afandi itu kepada bonda Faridah Hanom. Jawabnya, "Tidak apa, dan tidak payah mengeluarkan Shafik Afandi daripada sekolah itu. Bermula yang dikehendaki sekarang mencari ikhtiar menghalaukan Badaruddin dari rumah sini dan memaksa akan ayahandanya menerima akan Shafik menjadi suami Faridah Hanom." Maka bertentulah bondanya dengan doktor pada hari esok daripada pagi-pagi…


hari hendak pergi berjumpa Kasim Bey berkhabarkan hal Faridah Hanom serta memberi nasihat supaya diterimanya akan Shafik Afandi itu menjadi suaminya.

Maka pada pagi esok datanglah doktor memeriksa Faridah Hanom, didapatinya Faridah Hanom semakin bertambah-tambah sihat daripada penyakitnya sebab sentiasa dilayani oleh inangnya dengan segala perkataan yang menyukakan hatinya.

Kemudian daripada telah selesailah pekerjaan doktor memeriksa mengatur ubat Faridah Hanom itu, berjalanlah ia bersama-sama bondanya pergi mendapatkan Kasim Bey di dalam bilik tempat pekerjaannya. Manakala dilihat oleh Kasim Bey akan doktor datang mendapatkan ia bersama-sama isterinya itu, maka segeralah ia bangun memberi hormat akan doktor, dan doktor pun segeralah ia bangun memberi salam dengan hormatnya. Kemudian duduk keduanya bersama-sama di atas kerusi. Ada sejurus maka Kasim Bey pun bertanya kepada doktor akan hal penyakit anaknya Faridah Hanom. Kata doktor, "Anak tuan itu mendapat sakit darah di dalam jantungnya mendidih memalu segala perasaannya, kemudian menjadilah daripada halnya itu demam yang sangat keras. Jika tidak segera kami sekalian mendapat ketahui akan sebab-sebab yang membawa penyakit itu, nescaya habislah sudah masanya di dalam dunia ini/itu. Maka sekarang ini pun pada pengetahuan beta bahawasanya anak tuan itu jika tiada sampai kehendaknya daripada orang yang dikasihinya nescaya mendapatlah ia penyakit yang membunuh akan dia kelak."

Jawab Kasim Bey, "Beta tidak faham perkataan tuan ini, cubalah terangkan betul-betul, apa erti dan apa kehendak tuan itu."


Kata doktor, "Beta pendekkan perkataan sahaja, iaitu adalah anak tuan itu asyik dan bercinta akan Shafik Afandi anak Talat Bey taulan tuan juga. Maka jika tuan tahan atau menggalang dan menegah akan dia daripada orang yang dikasihinya itu, sangatlah besar bahaya(nya) kelak di atasnya."

Apabila didengar dan mengerti Kasim Bey akan perkataan doktor perihal anaknya Faridah Hanom itu, maka terkejutlah ianya naik menggeletar seluruh tubuhnya dan terbeliaklah kedua biji matanya serta naiklah marah merah padam warna mukanya dan berkatalah ia dengan marahnya. "Anak beta asyik dan bercinta dan kasih akan seorang lelaki yang lain dengan tidak beta mengetahui akan hakikat pekerjaannya. Kemudian berkehendak pula ia menyalahi akan kesukaan beta menolak daripada berkahwin dengan anak bapa saudaranya yang telah beta pilih dan beta suka menjadi suaminya, serta diperbuatnya pula pura-pura sakit bercinta akan lelaki yang dikehendakinya itu. Maha besarlah kebinasaan yang kelak tertanggung di atasnya. Akan beta beri ia rasa sebesar-besar azab dan kematian yang sehabis-habis dahsyat punya kematian. Maha besarlah lanat Allah atas anak perempuan kerana sebenar­benarnya ialah bayangan keaiban yang nampak nyata dan ayunan keaiban dan kemaluan dan alamat segala bahaya kesusahan dan kebusukan."

Pada masa itu bangunlah berdiri isterinya hendak berkata-kata, memadamkan marah suaminya itu, maka sebelum ia membuka mulutnya berkatalah Kasim Bey kepadanya, "Ingat baik-baik, jangan tuan membuka mulut mencampuri di dalam perkara ini, maka jikalau keluar…


satu patah sahaja daripada mulut tuan di dalam hal ini gugurlah talak tuan tiga-tiga talak sama sekali."

Kemudian bangunlah Kasim Bey daripada kerusinya dengan segera menyeru akan Saad serta berkata kepadanya,"Pada ini saat juga hendaklah engkau keluar daripada rumah ku tidak suatu kerja lagi yang hendak digunakan engkau di sini, maka jika engkau masuk ke rumah aku kemudian daripada ini nescaya aku serahkan engkau kelak kepada polis supaya dijadikan engkau seorang daripada pencuri yang mesti dimasukkan ke dalam jel." Kemudian berpalinglah pula ianya kepada doktor berkata: "Tidaklah beta berkehendak lagi tuan memberi ubat akan Faridah kemudian daripada ini hari kerana beta suka ianya mati daripada hidupnya yang hendak menyalahi kehendak beta dengan sebab ini bolehlah tuan buat apa-apa bila tuan yang telah sudah supaya beta sempurnakan."

Maka doktor pun tiadalah terkata-kata melihatkan hal Kasim Bey itu lalu ianya keluar berjalan dengan malunya. Dan Saad pun keluarlah pada waktu itu juga, maka bonda Faridah Hanom pun keluarlah daripada tempat Kasim Bey itu dengan air matanya masuk ke dalam biliknya menangis kasihan belas akan puterinya Faridah Hanom. Maka daripada hari itu sunyi senyaplah rumah itu seumpama rumah yang menanggung kematian, sekalian dayang­dayang dan hamba sahaya yang di dalamnya menanggung dukacita oleh masing-masing (sayang) kasih akan tuannya Faridah Hanom duka nestapa itu. Hanyalah yang sangat sukacita segala perkara yang berlaku ini Badaruddin Afandi, dan daripada hari itu yakin percayalah ia bahawa Faridah Hanom…


itu telah masuk di dalam miliknya. Maka dibangunkannyalah dengan angan-angannya itu beberapa perkara yang hendak dilakukannya di atas Faridah Hanom kemudian daripada telah menjadi isterinya. Ada pun Muhammad Afandi sangatlah dukacita hatinya mendengar dan melihat segala hal yang berlaku di atas saudaranya itu. Tetapi sangatlah takut ia hendak mencampuri akan dia oleh sebab diketahuinya tabiat ayahandanya. Maka dengan sebab ini tiadalah ia mengambil peduli apa-apa hal ayahandanya hanyalah ia sentiasa daripada hari itu menjaga dan memelihara saudaranya Faridah Hanom kerana takut ia jangan balik semula penyakitnya itu. Maka oleh sebab iaitu seorang daripada doktor yang besar juga jadi dapatlah ia memelihara saudaranya dengan susahnya daripada didatangi (oleh) penyakit yang keras bagaimana yang telah sudah itu, tetapi sukarlah juga ia memulihkan kesihatan saudaranya bagaimana sedia-kala sehingga beberapa lama masanya.

Critical apparatus[Bearbeiten]

  1. dapat d, e.
  2. seteleh c.
  3. ke seorang diri e.
  4. 4,0 4,1 4,2 4,3 4,4 4,5 4,6 4,7 omitted in d, e.
  5. berkhabar d, e.
  6. tercengang-cengang c.
  7. 7,0 7,1 7,2 7,3 7,4 7,5 omitted in c.
  8. siapa c.
  9. daya upanya a, upayanya c.
  10. 10,0 10,1 10,2 10,3 10,4 lelaki c.
  11. dan d, e.
  12. 12,0 12,1 omitted in c, d, e.
  13. Tuhan rabbu l-alamin akan tuan kerana tuan berkasih-kasihan omitted in e.
  14. itu d, e.
  15. anakanda d, e.
  16. bersama-sama c.
  17. seb a.
  18. ayahanda itu sebab ia tiada tahu sekali-kali hal-ehwal tuan dengan omitted in d, e.
  19. tiada d, e.
  20. kekerasannya d, e.
  21. dikasihinya c.
  22. perempuan-perempuannya e.
  23. anakanda d, e.
  24. daripada anakanda d, e.
  25. Faridah Hanom itu d, e.
  26. mengenangkan c.
  27. bernasib baik itu d, e.
  28. pada d, e.
  29. melihatkan d, e.
  30. berkembang d, e.
  31. kepada d, e.
  32. akan Faridah Hanom duduk di dalam rumah itu segeralah keduanya omitted in c.
  33. pandang c.
  34. kuap e.
  35. undurlah d, e.
  36. meneka c.
  37. mengetahuilah budak ini d, e.
  38. adalah tuan ibu ini sakit yang sangat besar d, e.
  39. ibuku c.