Hikayat Faridah Hanom 11

Aus Wikiversity

Fasal yang kesebelas
KELEBIHAN WATAN KAUM DAN BANGSA

Ada pun Shafik Afandi pada hari itu diajak oleh ayahandanya pergi menghadap rajanya Khadiwi Mesir kerana pada hari itu hari jadi Khadiwi. Maka sekalian orang besar-besar dan pegawai-pegawai yang berpangkat besar dan saudagar-saudagar yang besar-besar pergi memberi selamat rajanya di istana Abidin. Maka oleh sebab Talat Bey ini seorang kaya besar yang berdarah raja, maka setiap-tiap tahun tiadalah pernah ia meninggalkan kewajipannya bagi rajanya. Tetapi pada tahun ini oleh sebab ia hendak menghiburkan dukacita anaknya Shafik Afandi itu jadi dibawanya[1] bersama-samanya ke istana Abidin menghadap dan memberi selamat rajanya. Maka manakala[2] masuklah Talat Bey bersama-sama Shafik Afandi memberi selamat Khadiwi di dalam orang yang banyak itu diisyaratkan oleh Khadiwi menyuruh Talat Bey anak beranak menanti di luar sehingga habis perjumpaan jawatan kerajaan dengan orang-orang ramai dan konsol-konsol bangsa-bangsa luar itu. Maka berhentilah Talat Bey bersama-sama anakandanya[3] di luar hingga sampai pukul satu habis semua orang-orang balik, masuklah Talat Bey bersama-sama Shafik Afandi dipanggil oleh Khadiwi santap bersama-samanya suatu hidangan dengan dia. Maka makanlah keduanya bersama-sama rajanya sambil bercakap-cakap berbagai-bagai perkhabaran yang menyukakan hati, maka Khadiwi pun sangatlah berkenan[4] melihat adab[5] tertib Shafik Afandi dan tutur katanya serta pengetahuannya di dalam beberapa ilmu yang dicakapkannya tengah makan itu, lalulah bertitah Khadiwi: „Mengapa Talat Bey tidak hendak membawa Shafik Afandi ini tiap-tiap kali…


tuan datang berjumpa dengan beta beberapa lama ini jikalau pun bukan masa perjumpaan jawatan kerajaan sekali pun? Adakah patut anak tuan yang begini besar[6] dan sempurna pelajarannya tiada tuan hendak bawa berjumpakan dengan beta selalu?" Maka bangunlah Shafik Afandi daripada kerusinya bila mendengarkan rajanya bersungut akan ayahandanya kerananya itu serta menzahirkan kesukaannya menjunjung limpah kurnia pandangannya yang maha mulia itu di atas dirinya yang sangat daif ini. Maka sangatlah berkenan[4] Khadiwi mendengarkan susunan percakapan Shafik Afandi itu serta adab peraturannya. Lalu disuruhnya Shafik Afandi duduk hampir di sisinya. Maka duduklah Shafik Afandi sambil berfikir – hari inlah aku boleh dapat peluang mendapatkan kebenaran daripada ayahanda aku[7] supaya aku masuk sekolah peperangan dan pergi berperang ke Sudan, sebab tiadalah[8] harapan bagi kehidupan aku kemudian daripada tiada dapat aku bersama-sama dengan kekasihku Faridah Hanom ini. Maka daripada aku membunuh diriku[5] menghilangkan nyawaku dengan sia-sia, baiklah aku serahkan nyawaku kepada watanku dan kegunaan kaum dan bangsaku.

Maka[9] di dalam Shafik Afandi berfikir yang demikian itu bangunlah Khadiwi sambil memegang tangan Shafik Afandi dibawanya duduk ke tengah penghadapan diikut oleh Talat Bey dan segala pengiringnya maka didudukkan oleh Khadiwi akan Shafik Afandi di sebelah kirinya sambil bercakap masing-masing dengan berbagai-bagai cerita dan perkhabaran yang menyukakan hati rajanya hingga termasuklah kepada cerita peperangan yang berlaku masa itu di antara Mesir dengan sekalian kaum Sudan yang berbuat rusuh di tanah Sudan dengan seruan orang yang mengaku akan dirinya Mahdi.


Maka tiadalah tertahan hati Shafik Afandi lagi lalu ia berdiri memberi hormat kepada Khadiwi seraya berkata: "Duli Yang Maha Mulia junjungan Patik yang memeliki segala tanah Mesir dan Sudan dengan segala isi yang di dalamnya, patik pohonkan limpah kurnia kebenaran Duli Yang Maha Mulia memasukkan patik[5] seorang di dalam perkumpulan hamba rakyat Duli Yang Maha Mulia yang berperang kerana berkhidmatkan kerajaan Duli Yang Maha Mulia dan kaum bangsanya yang junjungan patik ini mahkota sekaliannya, kerana angan-angan cita-cita yang demikian ini telah[5] beberapa lama mencucuk dan menyakiti perasaan patik oleh sebab terasa pada patik, bahawa kewajipan manusia anak negeri itu menyeru kepada bersekutu bagi menolakkan tiap-tiap bahaya yang mendatangi di atas watan kaum dan bangsanya."

Titah Khadiwi, "Kerja ini sangat senang hai Shafik, siapakah yang menegahkan tuan selama ini." Sembah Shafik[5], "Orang tua patik Tuanku yang melarang patik beberapa kali patik pohonkan kebenarannya hendak masuk ke sekolah peperangan."

Maka Khadiwi pun memandang kepada Talat seraya bertitah, "Betulkah perkataan Shafik Afandi ini wahai Talat Bey." Sembah Talat Bey, "Benarlah sembahnya itu Tuanku. Semalam pun ia kuat sangat meminta daripada patik hendak masuk sekolah peperangan tetapi patik tiada benarkan permintaannya itu kerana kerajaan Duli Yang maha Mulia telah memasyhurkan peperangan di atas kaum Sudan maka takutlah patik di atas anak patik boleh menjadi apa-apa sebab patik tiada mempunyai anak yang lain daripadanya."

Sembah Shafik Afandi, "Ampun patek Tuanku. Sangatlah dukacita hati patik oleh patik mendatangkan permohonan yang menyusahkan hati orang tua patik, tetapi…


kesalahan[10] itu bagi orang tua patik juga dipaksanya patik[5] daripada kecil suruh patik belajar daripada suatu sekolah ke suatu sekolah hingga mengetahuilah patik bahawa tabiat kejadian manusia ini kehidupannya berhimpun bertolong-tolongan di antara satu dengan lainnya[11]. Bermula, tiap-tiap suatu kaum dan bangsa yang berusaha kebanyakan orang-orang[12] yang berpengetahuannya pada menguatkan tabiat kejadiannya ini maka besar dan kuatlah kaum dan bangsa itu di dalam dunia ini. Dan bermula[5] tiap-tiap suatu kaum dan bangsa yang lalai sekalian orang-orang yang berpengetahuannya dan orang besar-besarnya dengan membela dirinya sendiri sahaja[2] dan membanyakan hartanya dan bersedap-sedap dengan makan minum dan bersukaaan bagi kesenangan dirinya, maka kaum itu tentulah akan fana dan binasa daripada alam dunia ini. Atau pun ada juga ia lagi di dalam dunia ini tetapi keadaannya itu tentulah sekali diperhamba oleh sekalian kaum dan bangsa yang besar dan kuat tadi. "Sesungguhnya telah diajar dan ditunjuk oleh sekalian guru-guru patik di dalam tiap-tiap sekolah yang patik masuk belajar di dalamnya serba jenis tarikh perjalanan orang yang dahulu-dahulu, maka muafakatlah segala cerita tarikh-tarikh itu memuji-muji dan menyebut-nyebut kebajikan sekalian orang-orang yang telah mati di dalam berkhidmat akan tanah airnya dan kaum bangsanya.[13] Maka belumlah patik dapat atau membaca suatu tarikh pun atau suatu cerita pun yang memuji-muji atau menyebut-nyebut dengan keelukan orang-orang yang bersenang-senang dengan makan minumnya dan bermegah-megah dengan kebanyakan hartanya dan kebesaran gedung kampung halamannya. Astaghfirullah al-'azim barangkali ada juga cerita menyebutkan kebesaran dan kekayaan Fir'aun dan Karun atau Haman tetapi sebutan mereka itu bersertalah[14] sama dengan laknat daripada tiap-tiap mulut orang yang membacanya. Ampun patik tuanku beribu-ribu ampun, kebesaran dan kemuliaan jasa Almarhum Seri Paduka Baginda Muhammad Ali Basha yang telah mangkat lebih…


kurang lamanya seratus tahun dahulu, adakah lupa anak-anak negeri ini akan namanya dan jasanya yang sangat mulia itu. Bukankah sekalian ahli-negeri ini bersekutu menghidupkan namanya dan menyebut-nyebut akan jasanya setiap-tiap tahun. Maka peringatan sekalian ahli-ahli negeri ini akan dia itu bukanlah sekali-kali kerana pakaiannya elok atau hartanya banyak atau rumahnya besar atau makanannya sedap dan lazat, tetapi ialah kerana jasanya yang memberi guna negeri dan kaum bangsanya. Demikianlah juga kita mendengar dan melihat tiap-tiap bangsa Eropah sekarang ini pada tiap-tiap tahun masing-masing ada membuat hari kebesaran kerana peringatan hari mati atau hari jadi seseorang daripada orang besar-besarnya. Maka orang yang diingatkannya itu bukanlah kerana kayanya atau kerana gedungnya atau kerana ringgitnya tetapi kerana jasa amalnya yang memberi guna tanah airnya dan kaum bangsanya."

Ada pun Shafik Afandi berkata[15] itu sentiasalah ia memerhatikan muka Khadiwi itu jika nampak kepadanya Khadiwi itu jemu atau tiada gemar sangat akan perkataannya itu hendak diringkaskan persembahannya itu, tetapi dilihatnya muka Khadiwi itu sangat suka sentiasa tersenyum bibirnya mendengar persembahannya itu dan selalu pula di mana-mana perkataannya yang sangat bersetuju dengan dia itu ditepuknya mejanya dengan tangannya.

Bermula, ada pun Khadiwi ini ialah seorang raja yang sangat muda mempunyai pelajaran yang tinggi maka oleh sebab pada hari itu hari jadinya, segala office-office kerajaan ditutup. Jadi pada hari itu banyaklah sekalian menteri-menterinya dan sekalian pegawai-pegawainya yang besar hadir di majlis penghadapanya. Dengan kerana ini sangatlah berkenan[4] ia mendengar perkataan Shafik Afandi itu di hadapan sekalian pegawai kerajaannya itu[9]. Serta pula sangatlah heran…


hatinya mendengarkan kehendak Shafik Afandi itu sebab belum pernah jadi di dalam negerinya anak seorang yang kaya besar berkehendak masuk menjadi askar peperangan. Bermula, hal yang telah biasa di dalam negerinya itu mengambil orang-orang menjadi askar dengan paksa tiap-tiap tahun, maka jika ada pun anak-anak yang gemar masuk ke dalam sekolah peperangan iaitu kebanyakannya anak-anak yang miskin, yang tiada mempunyai ibu bapa. Dengan sebab inilah sangat gemar ia mendengar perasaan yang ada kepada Shafik Afandi itu jika boleh baik memenuhi sekalian anak-anak yang berpelajaran masa ini. Oleh kerana ia hendak mengetahui lagi sebenar-sebenar hakikat yang mendatangkan perasaan Shafik Afandi hendak masuk sekolah peperangan itu maka bertitahlah ianya[16] kepada Shafik[17], "Berkata benarlah Shafik apa yang sebenarnya menolakkan Shafik kepada bersekutu di dalam berkhidmatkan watan di medan peperangan itu."

Sembah Shafik Afandi, "Ampun tuanku, yang sebenarnya adalah patik kemudian daripada patik telah habis dan sempurna pelajaran patik daripada sekolah, tiadalah patik senang hati dengan duduk makan minum bersuka-sukaan dengan kebanyakan harta orang tua patik yang terserah di dalam tangan patik sekarang ini. Sebab kemudian daripada habis fikiran dan pendapatan patik, bahawa adalah kejadian manusia ini berlainan kehendak kehidupannya[18] daripada segala kejadian serba jenis ... ampun tuanku." Lalu Shafik Afandi berhenti daripada berkata-kata itu serta memandang[19] muka Khadiwi kerana tiada sedap ia hendak mengeluarkan perkataan yang tiada patut dituturkan di hadapan orang baik-baik apa lagi di hadapan raja yang besar. Maka Khadiwi pun mengertilah sebab Shafik Afandi berhenti itu seraya bertitah: "Bercakaplah Shafik, tidak apa mengeluarkan perkataan yang mesti di dalam sesuatu[20] bahas ilmu itu."


Maka Shafik Afandi pun menundukkan kepalanya memberi hormat sambil berkata: "Ampun tuanku beribu-ribu ampun, pada pendapatan patik yang singkat ini, adalah di dalam alam dunia ini dua jenis kehidupan yang berjalan dan yang menggunakan serba jenis kejadian Tuhan yang di dalamnya. Pertama-tama manusia. Kedua binatang.

"Bermula, adalah segala binatang itu memang telah ditaruhkan oleh Tuhan di dalam kejadiannya itu perasaan yang pandai ianya memelihara kehidupannya dengan tidak berkehendak ia kepada pertolongan kawan-kawannya dan tidak berkehendak kepada[21] pelajaran lagi. Tiap-tiap suatu daripadanya apabila terbit sahaja matahari keluarlah ia mencari makanannya dan membuat tempat kediamannya. Dan apabila masuk matahari kembalilah masing-masing ke dalam tempatnya dengan senang hati oleh telah kenyang perutnya dan senang sentosa ia di dalam sarangnya dengan tiada berkehendak dan tiada gemar ia sekali-kali akan kawannya yang lain bersama-sama dengan dia melainkan semut dan lebah."

"Ada pun manusia ini kejadiannya berlainan sekali daripada kejadian segala binatang. Kejadiannnya hidup berhimpun bertolong-tolongan di antara satu dengan lainnya kerana mustahil (se)seorang itu boleh hidup mendapat hajat kehidupannya daripada makanan dan pakaian jika tiada orang yang lain sama bekerja menyediakan tiap-tiap suatu daripadanya itu. Umpamanya sekeping roti atau sepinggan nasi yang mesti bagi kehidupan tiap-tiap seorang daripada kita, tiadalah boleh dapat sampai ke hadapan kita melainkan kemudian daripada telah bekerja kerananya beberapa banyak manusia; ada yang mencangkul tanah, dan ada yang menannamnya, dan ada yang memotongnya, dan ada yang menumbuknya, dan ada yang menguli membakarnya, dan ada yang menjualnya. Ada pun…


baju itu tiadalah dapat sampai ke badan kita melainkan kemudian daripada diperbuat orang akan benang, dan yang lainnya pula bertenun, dan orang yang lainnya pula menggunting, dan menjahitnya. Maka jika demikian banyak orang yang mesti bekerja bagi sekeping roti atau sepinggan nasi dan sehelai baju yang mesti bagi kehidupan kita itu, betapakah pula segala hajat kit yang lain.

"Bermula, Tuhan itu sangat[22] adilNya serta sangat[22] besar rahmat dan rahimNya. Tatkala telah dijadikanNya manusia ini demikianlah tabiat kehidupannya maka dikurniakanNya kepada mereka itu akal dan pengatahuan yang dapat menjadi perbezaan daripada segala kejadian yang lainnya. Dengan sebab inilah dikata tiap-tiap manusia yang menggunakan akal pengetahuannya semata-mata bagi menjaga faedah dirinya sahaja itu ialah[23] manusia yang bersifat dengan segala sifat binatang. Sehingga di sini Shafik Afandi pun terhenti tiada[24] terkeluar daripada mulutnya perkataan yang lain lagi sambil memandang muka Khadiwi serta memohonkan ampunnya mengeluarkan perkataan yang bukan layak dituturkan[25] di hadapan majlis. Tetapi Khadiwi sangat gemar mendengar perkataan dan perasaan Shafik Afandi itu seraya bertitah, "Bercakaplah Shafik, tiada apa. Sempurnakan bahas ini kerana beta sangat berkenan mendengarnya."

Maka Shafik Afandi pun memberi hormat serta berkata: "Ampun patik tuanku beribu-ribu ampun. Apakala telah kita ketahui dengan akal kita bahawa kehidupan kita mesti berhimpun sama manusia dan bertolong-tolongan di antara satu dengan lainnya pada mendapatkan hajat-hajat bagi kehidupan kita, maka pengetahuan kita telah memberitahu kepada kita, bahawa kita berhimpun dengan kaum dan bangsa kita dalam watan tanah air kita sendiri itu terlebih…


baik daripada kita berhimpun dengan kaum dan bangsa yang lain dan berdagang di dalam tanah air orang. Dan kita mendapat segala jenis hajat bagi kehidupan kita daripada perbuatan dan pekerjaan kaum bangsa kita di dalam watan tanah air kita itu, terlebih baik daripada kita mendapat daripada perbuatan dan pekerjaan kaum bangsa yang lain daripada negeri-negeri atau tanah air orang yang lain.

Apakala telah ketahui bahawa adalah akal dan pengetahuan itu telah muafakat keduanya mengatakan manusia yang berbeza kehidupannya daripada kehidupan segala binatang itu mestilah berusaha bekerja di dalam perkara yang terlebih baik bagi kehidupannya itu maka mengetahuilah kita pula kewajipan yang besar di atas kita mesti berusaha dan bekerja bagi menjadikan kaum dan bangsa kita ahli bagi mengeluarkan segala barang-barang yang mesti bagi kehidupan kita dan memelihara akan watan tanah air kita daripada serba-serbi huru-hara yang menghilangkan amannya.

Ampun tuanku, sekalian orang-orang tua patik yang hadir di dalam majlis ini masing-masing telah mengambil bahagian pada mengerjakan pekerjaan yang memberi faedah bagi kaum bangsanya dan watan tanah airnya maka gemarlah patik pula hendak mengambil satu bahagian daripada pekerjaan itu. Telah habislah fikiran patik mencari upaya bagi menunaikan kewajipan[26] di atas patik bagi kaum bangsa dan tanah air patik, maka patik dapati perasaan yang sangat kuat menyeru akan patik pada masa ini ke medan peperangan yang telah dimasyhurkan oleh kerajaan duli yang maha mulia di atas kaum Sudan yang membuat huru-hara, kerana keamanaan negeri itu terlebih dahulu wajib mesti didapati oleh sekalian ahlinya…


daripada segala pekerjaan yang lain. Dengan sebab inilah patik berani mendatangkan permohonan daripada duli junjungan patik dengan mendapat keredaan orang tua patik, supaya dibenarkan patik masuk ke dalam peperangan ini. Mudah-mudahan patik mendapat pelajarannya yang menjadikan patik ahli bagi berkhidmatkan kaum patik dengan pedang patik. Ampun tuanku beribu-ribu ampun." Lalu Shafik Afandi duduk di atas kerusinya, kemudian daripada memberi hormat rajanya.

Maka Khadiwi pun sangatlah berkenaan memandang dan mendengar perkataan Shafik Afandi itu dengan patut padan pula tertib sopannya, seraya memandang kepada Talat Bey. Maka Talat Bey pun bangun sambil berkata: "Daripada hari ini, patik serahkan diri patik dan harta benda patik kepada segala perkara yang memberi guna kepada perhimpunan kaum patik. Allah Subhanahu Wataala jua mengekalkan duli yang maha mulia di atas kerajaan dan menjadikan Mesir bagi sekalian ahli Mesir."

Maka Khadiwi pun sangat suka hatinya mendengarkan perkataan Talat Bey itu seraya bertitah: "Demikianlah pengharapan beta daripada orang yang seumpama pangkat Talat Bey. Sebagai lagi peraturan menahan kehendak anak-anak sekarang dengan semata-mata menzahirkan kuat kuasa kita sahaja itu pada pendapatan beta sangatlah memberi mudharat di atas anak itu oleh menyalahi daripada pemeliharaan yang sebenar. Menzahirkan kudrat kuasa pada menahan kehendak anak-anak dengan tiada mengambil indah akan perasaaan yang menyalahi itu kekal selama-lamanya di hati anak-anak itu sangatlah besar bahayanya yang telah didapati oleh ulamak-ulamak ahli pemeliharaan yang bijaksana masa ini di atas anak-anak itu. Kerana anak-anak itu sentiasalah ianya menaruh fikiran yang kehendaknya atau pekerjaan itu betul[5], tetapi terpaksalah ia menahan dirinya daripada melakukan…


kehendaknya atau pekerjaannya itu kerana takut akan ayahnya sahaja. Maka sentiasalah jua ianya menantikan[27] peluang sahaja pada menjalankan kehendak atau pekerjaan yang disangkanya betul itu bila-bila[28] difikirkannya[29] terlepas ia daripada kemarahan ayahnya. Dengan sebab inilah sekalian ulama yang memeriksa hal-ehwal peraturan memelihara anak-anak itu telah muafakat sekaliannya bahawa melarang anak-anak daripada tiap-tiap perkara yang mendatangkan bahaya di atasnya itu dengan semata-mata menggunakan takutnya akan ayahnya atau orang yang memelihara akan dia itu tiada memberi kegunaan di atas anak itu sama sekali.

"Bermula, ada pun peraturan pemeliharaan sekarang ini iaitu pemeliharaan yang telah dicuba dan didapati faedahnya yang berguna bagi anak-anak itu, hendaklah dikhabarkan kepada anak-anak itu dengan perkataan dan peraturan yang memberi faham dan mengerti kepada akalnya akan kejahatan dan bahaya yang akan didapatinya, bila ia menjalankan kehendaknya atau mengekalkan pekerjaannya itu dengan dibawakan kepadanya segala contoh atau cerita yang mendatangkan kepercayaannya akan kebeneran peringatan kita itu ke ke dalam hatinya. Ketika itu nescaya ditinggalkannyalah akan kehendak-kehendak[30] dan pekerjaannya itu dengan keredaannya sendiri. Umpamanya sekarang Shafik Afandi ini ayahnya Talat Bey telah menegah ia daripada masuk sekolah peperangan. Maka berhentilah ia daripada masuk sekolah[31] itu kerana takut akan ayahnya, bukan kerana fikirannya kehendaknya itu salah atau tidak berguna, sebab itu kekallah juga kehendak itu di dalam hatinya kerana Talat Bey waktu melarang akan dia itu tidak menyatakan kepadanya segala bahaya masuk[5] sekolah peperangan itu dengan susunan…


perkataan yang memasukkan ke dalam akalnya akan kebenaran perkataan itu. Maka dengan sebab ini bila-bila juga ia mendapat peluang boleh mendapat pertolongan mendapatkan ia keredaan ayahnya bersuaralah ia mengeluarkan kehendak yang difikirkannya betul dan baik kepadanya itu. Cuba daripada dahulu Talat Bey telah memasukkan ke dalam fahamnya ketiadaan kegunaan ia masuk ke sekolah itu, tentulah ia telah lupa sama sekali kehendak-kehendaknya itu, tetapi di manakah kuasa Talat Bey boleh mendapat perkataan yang menyalahkan ke hendak Shafik Afandi ini kerana kehendak yang demikian keluar daripada perasaan yang sebenar bagi manusia yang mempunyai pengetahuan dan perasaan kemanusiaan yang sebenar atas kaum dan bangsanya, dan tanahairnya. Dengan sebab ini, beta suka jikalau boleh Talat Bey membenarkan kehendak anaknya itu kerana ajal itu di tangan Tuhan.

Maka Talat Bey pun bangun memberi hormat seraya berdatang sembah, "Tiadalah berubah patik daripada persembahan patik tadi, harap patik akan ampun jua." Maka Khadiwi pun bangun berjalan masuk dan masing-masing yang hadir itupun bersurailah tiap-tiap seorang kembali ke tempatnya, dan Talat Bey naik kereta berdua berputera Ialu kembali ke rumahnya. Dan[5] pada esok harinya Shafik Afandi pun pergi menghadap ayahandanya. Maka Talat Bey laki-isteri pun mencubalah juga lagi hendak memujuk puteranya kalau-kalau boleh dapat ia memberhentikan kehendaknya daripada masuk sekolah perang itu.

Kata bondanya, "Anakku yang dikasihi, bagaimanakah tuan boleh putus hati sampai begini sekali kerana Faridah Hanom itu. Mintalah tuan daripada ayahanda-bonda anak siapa juga yang tuan kehendaki bolehlah ayahanda bonda pinangkan tuan, banyak sangat-sangat perempuan-perempuan yang elok-elok di dalam Mesir ini yang menyamai keelokan bidadari pun ada."


Jawab Shafik Afandi, "Anakanda pohonkan izin kebenaran ayahanda bonda melepaskan anakanda masuk sekolah peperangan, mudah-mudahan anakanda harap bila anakanda mendapat pelajaran di situ lepas enam bulan boleh anakanda dihantar oleh kerajaan ke medan peperangan supaya anakanda mati dengan nama yang kehormatan di dalam berkhidmat akan kaum dan watan ganti anakanda mati percuma membunuh diri kerana anakanda ini tiada tertahan sekali-kali kehidupan yang tiada bernasib baik ini. Maka percayalah anakanda bahawa adalah anakanda ini sehabis­habis malang laki-laki yang asyik kasih sayang. Apakah yang anakanda harap lagi daripada kehidupan anakanda di dalam dunia ini kemudian daripada telah terlepas daripada tangan anakanda kekasih yang anakanda pilih sendiri akan menjadi kongsi kehidupan anakanda, dan ditolak oleh ayahandanya akan anakanda, hampa kosong pengharapan kembali dengan duka nestapa serta dilebihkannya akan sepupu anaknya daripada anakanda. Sungguhlah perkataan bonda boleh anakanda[5] mendapat perempuan yang lain di dalam Mesir yang terlebih elok daripada Faridah Hanom itu. Tetapi di manakah anakanda boleh mendapat perempuan yang mempunyai perasaan dan perangai dan pengetahuan seumpamanya. Faridah Hanom ialah seorang perempuan yang belum pernah sekali-kali dijadikan oleh Tuhan seumpamanya di dalam dunia ini, apa lagi di seluruh tanah Mesir ini. Faridah Hanom seorang perempuan yang telah bersekutu dengan nyawa dan mesra ke dalam segala perjalanan darah yang di seluruh badan anakanda. Demi Tuhan yang maha kuasa, haramlah di atas anakanda menjamah seorang perempuan pun kemudian daripadanya." Shafik Afandi mengucapkan kata-kata itu sambil berhamburan air matanya dan menyembamkan mukanya keribaan bondanya. Maka bondanya pun memeluk mencium puteranya sambil menangis dengan tangis yang amat sangat. Maka kemudian daripada berpeluk bertangis-tangisan dengan bondanya itu, bangkitlah Shafik Afandi berhadap kepada…


ayahandanya seraya berkata: "Anakanda pohonkanlah keredaan dan kebenaran ayahanda membenarkan anakanda masuk sekolah perang mudah-mudahan kemudian[2] daripadanya dapat dikirim oleh kerajaan anakanda pergi berperang ke Sudan. Maka di sana dapatlah anakanda mati dengan kemuliaan kerana berkhidmatkan watan dan kaum anakanda. Sebab tiadalah tertahan lagi anakanda hidup di dalam dunia ini kerana tiada harga sekali-kali lagi di dunia ini kepada anakanda kemudian daripada Faridah Hanom telah termasuk ke dalam tangan orang lain." Kata Talat Bey sambil menyapu air matanya, "Anakku tuan, janganlah tuan menurutkan hati sangat, sebab tuan tiada tahu lagi kesusahan orang yang menjadi askar itu sangatlah besar bahayanya dengan tiada boleh tetap suatu tempat, pada hal tuan seorang yang kaya semua harta dibawah perintah tuan apa-apa jua yang tuan kehendak boleh mendapat. Pergunakanlah segala harta itu[32] bagi penghiburan yang boleh menghilangkan kesusahan hati tuan." Jawab Shafik, "Tidak dapat penghiburannya sekali-kali hati anakanda ini, melainkan jika anakanda masuk menjadi askar peperangan, sebab terpaksalah kelak anakanda menurut dan taat akan perintah segala ketua-ketua peperangan itu berpindah daripada suatu negeri ke suatu negeri, maka di situlah anakanda harap mudah-mudahan barangkali anakanda boleh mendapat penghihuran hati anakanda."

Di dalam Talat Bey duduk berkata-kata putera-berputera itu, datanglah kepadanya[33] seorang daripada sahabat yang sangat hampir kepada keduanya bernama Muhsen Bey, iaitu seorang daripada orang yang telah mendapat pencen[34] daripada pangkat kapten di dalam[35] askar Mesir. Maka Talat Bey kedua putera pun bangunlah menyambut kedatangan Muhsen Bey itu serta memberi hormat lalu duduk ketiganya dengan tiada berkata apa-apa. Maka Muhsen Bey pun mengertilah orang kedua…


beranak ini ada di dalam dukacita maka oleh sebab ianya seorang daripada sahabat keduanya yang sangat mesra bertanyalah ianya kepada Talat Bey akan sebab keduanya berdukacita itu. Maka diceritakanlah oleh Talat Bey akan hal kisah Shafik Afandi kepada Mushen Bey daripada awal hingga akhirnya. Kata Muhsen Bey, "Adalah beta ini dengan sifat beta seorang daripada ketua askar yang telah biasa sangat masuk perang beberapa kali, maka sangatlah beta bersetuju akan Shafik ini masuk belajar ke dalam sekolah peperangan supaya jadilah ianya seorang daripada pahlawan yang memeliharakan watannya." Kemudian berpalinglah Muhsen Bey kepada Shafik Afandi seraya berkata: "Tuan kelak apabila telah mendapat pelajaran daripada sekolah perang, dan dihantar oleh Kerajaan tuan pergi ke Sudan, maka semata-mata tuan keluar daripada Mesir ini berubahlah kelak fikiran tuan yang mendatangkan keberanian kepada pelayaran dan dengan sebab itulah kelak berubah segala adat perangai yang telah biasa dengan kesenangan itu, maka mencita-citalah tuan hendak berpindah setiap masa daripada suatu negeri ke suatu negeri." Jawab Shafik Afandi, "Beta sangat bersetuju bagaimana fikiran tuan itu, sebab sebenarnya beta rasa sekarang ini adalah beta ini sangat berhajat kepada mengubahkan hal yang beta tinggal selama-lamanya ini, kerana perasaan beta ini hari telah berubah sekali daripada perasaan beta yang kemarin[36]. Sebab beta telah buangkan sekali peringatan kasih sayang itu kebalik[37] belakang beta, maka beta gantikan di tempat percintaan kasih sayang itu dengan perasaan yang berganda-ganda yang dinamakan dia kasihkan watan. Maka kasih sayang akan watan inilah yang telah menolakkan beta kuat sangat ke dalam medan kebinasaan daripada suatu masa ke suatu masa."


Maka tiadalah terkata-kata Talat Bey lagi lalu berkata kepada Muhsen Bey, "Adalah beta ini tiadalah upaya beta menahan akan Shafik Afandi ini lagi, kerana telah berjanji beta dengan yang maha mulia Khadiwi demikian itu."

Maka Shafik Afandi pun segeralah bangun dengan sangat suka hatinya mendengar perkataan ayahnya lalu mendapatkan ayahandanya serta mencium tangan dan lututnya, dan Talat Bey pun memeluk mencium anaknya dengan menahan air matanya oleh malunya akan Muhsen Bey melihat akan dia itu. Maka Shafik Afandi pun keluarlah daripada tempat ayahnya menuju ke biliknya. Didapatinya inangnya Aliah ada menunggu akan dia. Maka Shafik Afandi pun bertanyalah Aliah dari mana datangnya, dan apa kehendaknya datang ini. Maka Aliah pun berkata: "Semalam dayang datang menunggu tuan di sini, tuan belum balik. Jadi dayang bimbangkan rumah tinggal budak-budak sahaja, dayang baliklah dahulu. Ini dayang datang pagi-pagi tadi tuan telah pergi menghadap ayahanda. Dayang hendak maklumkan semalam tuan perempuan kekasih tuan datang ke rumah." Serta diceritakan oleh Aliah segala perkara yang berlaku daripada awalnya hingga akhirnya serta dikhabarkannya pesanan Faridah Hanom menyuruh Shafik Afandi datang ke rumahnya bagaimana biasa. Maka Shafik Afandi pun melengunglah seketika mendengar pesanan Faridah Hanom itu. Kemudian berkatalah ia kepada Aliah, "Tiadalah guna lagi ibu beta pergi berjumpa dengan dia, sebab tentulah menambahkan kesusahan dan percintaan beta berganda-ganda lagi kerana tentulah sudah beta tiada dapat bersatu dengan dia di dalam halal dan dengan keredaan ayahanda bondanya, bagaimana sumpah setia beta dengan dia, dan ia pun telah menjadi tunangan orang. Tetapi beta ini tentulah sekali-kali tidak menjamah perempuan yang lain menurut bagaimana setia beta dengan dia itu anggurlah beta…


mati. Dengan sebab inilah pada hari esok beta akan masuk sekolah peperangan kerana beta hendak pergi masuk perang ke Sudan supaya beta mati dengan nama yang kehormatan. Biarlah ia tinggal bersuka-sukaan, redalah beta dengan nasib yang malang beta terima ini. Maka dengan sebab ini, esok bolehlah ibu suruh angkat segala perkakas rumah itu kemari dan lepaskanlah rumah itu, jangan disewa lagi dan ibu pun baliklah semula kemari bagaimana sehari-hari." Lalu Shafik Afandi memandang kepada Ibrahim sambil berkata: "Pergilah lbrahim bersama-sama ibuku Aliah ini tolong mengangkat segala perkakas rumah itu bawa kemari daripada hari ini, ajaklah sais kereta mengangkat barang-barang itu." Shafik Afandi berkata-kata itu merah padam warna mukanya dan berlinang­linangan air matanya dengan sebab ini tiadalah berani Aliah mengulangi bertanya atau bercakap apa-apa lagi, lalu ia berjalan keluar diturut oleh Ibrahim dari belakangnya.

Apabila telah lepas keluar daripada bilik Shafik Afandi itu, maka Aliah pun berpaling bertanya kepada Ibrahim, "Kenalkah Ibrahim akan Saad, dayang Faridah Hanom dan biasakah Ibrahim pergi ke rumahnya?" Jawab Ibrahim, "Hamba kenallah dan biasa hamba pergi ke rumah itu, sebab saudara perempuan hamba, Khatun bekerja menjaga pakaian Faridah Hanom." Maka Aliah pun suka mendengar perkataan Ibrahim itu, sambil berkata: "Pergilah Ibrahim dahulu, sekarang ini juga perjumpa Khatun itu, katakan beta hendak berjumpa Saad ini jam juga, suruhlah ia mencari ikhtiar seberapa boleh keluar sebentar Ibrahim bawa ia belakang dekat tan[38] kereta kuda kita." Maka Ibrahim pun mengakulah lalu keluar berjalan menuju ke rumah Kasim Bey. Tiada berapa lama Ibrahim pun balik bersama-sama Saad, maka Aliah…


pun keluarlah berjumpa Saad berkhabarkan segala perkataan dan ehwal tuannya Shafik Afandi, disuruhnya Saad berkhabarkan kepada Faridah Hanom. Maka Saad pun berkata dengan berhamburan air matanya, "Tiadalah boleh beta berkhabar kepada tuan beta, sebab masa ini tuan beta itu bagai orang gila." Lalu diceritakannya segala hal ehwal Faridah Hanom tiada tentu makan minum dan tidur dan kebenciannya akan Badaruddin Afandi itu. "Di dalam pada ini pun, akan beta tenguklah juga peluang jika boleh beta berkhabarlah[39] juga kepadanya." Lalu Saad meminta diri berjalan pulang segera kerana ia keluar itu Faridah Hanom tiada tahu. Maka Aliah pun mengajaklah sais dan Ibrahim berjalan ke rumahnya berkemaskan apa-apa yang hendak dibawanya pindah balik itu.

Critical apparatus[Bearbeiten]

  1. dibawalah c.
  2. 2,0 2,1 2,2 omitted in d, e.
  3. anakanda d, e.
  4. 4,0 4,1 4,2 berkenaan e.
  5. 5,00 5,01 5,02 5,03 5,04 5,05 5,06 5,07 5,08 5,09 5,10 omitted in c.
  6. yang telah begini besar d, e, anak tuan telah begini besar c.
  7. ayahandaku c.
  8. tiada d, e.
  9. 9,0 9,1 omitted in c, d, e.
  10. kesalamatan c.
  11. dengan yang lainnya d, e.
  12. orang c.
  13. akan tanah air dan kaum bangsanya c, tanah airnya dan bangsanya d, e.
  14. besertalah d, e.
  15. berkata-kata c, d, e.
  16. ia' c, d, e.
  17. Shafik Afandi d, e.
  18. kehidupan c.
  19. berkata itu memandang c.
  20. suatu c.
  21. pula kepada c.
  22. 22,0 22,1 sangat-sangat c, d, e.
  23. itulah d, e.
  24. berhenti tia c.
  25. diturorkan c, diturutkan d.
  26. missing in e.
  27. jua menanti-nantikan c, jua ia menanti-nantikan d, e.
  28. bila c.
  29. difikirkan e.
  30. kehendak c.
  31. peperangan. Maka berhentilah ia daripada masuk sekolah missing in e.
  32. ini d, e.
  33. kepada d, e.
  34. pensen e.
  35. di dalam omitted in c.
  36. kelmarin d, e.
  37. sebalik d, e.
  38. dengan c, dan d, e.
  39. berkhabar d, e.