Zum Inhalt springen

Hikayat Faridah Hanom 10

Aus Wikiversity

Fasal yang kesempuluh
PUTUS HARAPAN

Sebermula, ada pun Shafik Afandi kemudian daripada ditinggalkan oleh Saad itu berjalanlah ia masuk ke dalam rumahnya dengan letih-lesu rasa badannya bagai rasa tidak terlangkahkan kakinya. Manakala sampai ia ke dalam rumahnya[1], datanglah bondanya mendapatkan ia di tengah[2] rumah itu serta dipeluknya akan anaknya dan diciumnya, maka dilihat oleh bondanya[3] akan Shafik Afandi tidak bagaimana adatnya[4] sehari-hari lembut badannya dengan pucat kuning rupa mukanya. Maka terkejutlah bondanya[5] seraya bertanya, "Mengapakah anakku demikian, dan apakah sebab tuan berubah daripada sehari-hari ini?" Maka dipeluk oleh Shafik Afandi akan bondanya serta dibawanya berjalan masuk ke dalam biliknya duduk di atas kerusi dan didudukannya bondanya di sebelahnya sambil diam menundukkan kepalanya dengan berlinang-linang air matanya[6]. Maka terkejutlah bondanya sambil bertanya dengan dukacitanya, "Menangis rupanya anakku ini, apakah sebabnya dan apakah yang tuan sakitkan."

Jawab Shafik Afandi, "Hilanglah sudah segala dinding maluan wahai ibuku, maka tiadalah berguna bersembunyi lagi. Adalah anakanda ini asyik cinta berahi dan telah hilang dan terlepaslah sudah daripada tangan anakanda orang yang anakanda asyik dan cintakan itu. Jika tiada juga anakanda mendapat akan maksyuk[7] dan kekasih anakanda itu, tentulah anakanda akan mati di dalam percintaan."


Kata bondanya, "Siapakah orang yang anakanda asyik berahikan itu?"

Maka diceritakanlah oleh Shafik Afandi segala kisahnya dengan Faridah Hanom daripada mula pertama ia melihat akan dia hingga akhirnya serta dikhabarkannya kepada bondanya akan Faridah Hanom itu[1] puteri Kasim Bey, maka dikenal dan diketahuilah oleh bondanya akan asal-usul maksyuknya itu serta berkatalah bondanya, "Janganlah anakanda susah, nanti bonda berkhabar[8] kepada ayahanda tuan, serta bonda paksa akan dia meminang Faridah Hanom itu akan anakku pada malam ini juga." Maka sukalah Shafik Afandi mendengar perkataan bondanya itu dengan suka yang amat sangat, lalu segera ia bangun mencium tangan bondanya serta percayalah ia akan perjanjian bondanya itu. Ada seketika bangunlah bondanya berjalan mendapatkan Talat Bey berkhabarkan hal puteranya Shafik Afandi serta menyatakan keadaan perempuan yang amat dikasihinya itu dan keadaan bondanya itu. Maka sukalah Talat Bey mendengarkan puteranya hendak beristerikan puteri Kasim Bey itu dengan suka yang amat sangat kerana lamalah sudah ia hendak memberi isteri Shafik Afandi, tetapi Shafik Afandi juga yang tiada hendak.

Lepas magrib naiklah Talaat Bey sebuah kereta dengan isterinya dan puteranya Shafik Afandi menuju ke rumah Kasim Bey. Apabila sampailah[9] ketiganya ke rumah Kasim Bey maka disambut oleh Kasim Bey laki-isteri akan kedatangan Talat Bey itu[1] serta masuklah laki-laki sama laki-laki ke majlis[10] dan perempuan sama perempuan ke majlis yang di atas rumah itu. Ada pun Shafik Afandi duduklah ia bersama-sama ayahandanya[11] dengan berdebar-debar rasa hatinya. Maka kemudian daripada[1] bercakap dan bertanyakan[12] hal masing-masing pada mula perjumpaan itu,…


bangunlah Talat Bey berhadap kepada Kasim Bey serta berkata: "Inilah anak kakanda Shafik Afandi."[13] Maka dipandanglah oleh Kasim Bey akan Shafik[14] serta mengangkat tangan memberi salam dan dijawab oleh Shafik Afandi dengan hormatnya. Kemudian berkatalah pula Talat Bey, "Adalah anak kakanda ini daripada anak muda yang ada mempunyai akal dan pelajaran masa ini, maka tiadalah kepada kakanda seseorang anak pun yang lain daripadanya dan apabila adalah ia ini telah cukup umurnya yang patut beristeri maka tiadalah kakanda dapat yang layak dan patut menjadi isterinya lain daripada puteri adinda Faridah Hanom. Dengan sebab inilah kakanda datang menghadap adinda mengharapkan kiranya sudi tuan menerima akan dia menjadi teman anakanda itu. Maka jika adinda[15] terima permintaan kakanda ini terasa bertuahlah rasanya kakanda dan sempurnalah kesukaan kakanda anak beranak."

Maka Kasim[16] Bey pun menepuk tangannya dengan berupa kesal yang sangat sambil berkata: "Lahaula walakuata illa billahil aliul azim. Sangatlah susah hati adinda oleh tiadalah[17] keuntungan adinda dengan sebab ini sangatlah dukacita hati[18] adinda. Kiranya kakanda datang lebih dahulu satu hari[19] sahaja daripada hari ini, nescaya sampailah hajat kakanda ini. Kerana saudara adinda datang dari Iskandariah semalam sahaja meminang akan Faridah bagi anaknya Badaruddin dan telah adinda terimalah permintaannya itu."

Maka berkerut masamlah muka Talat Bey mendengar perjawapan[20] Kasim Bey itu[1] seraya berkata: "Tiadakah boleh dapat suatu jalan yang adinda boleh menerima permintaan kakanda ini, serta menarik balik percakapan adinda dengan saudara adinda itu kerana kakanda[21]?“


Maka mengeluhlah Kasim Bey seraya berkata dengan suara yang sangat-sangat dukacita: "Sangatlah susah hati adinda kerana tiada boleh rasa adinda hendak menarik balik percakapan adinda dengan saudara adinda itu sebab jika adinda melakukan demikian tentulah akan jadi perselisihan adinda adik beradik, maka perselisihan yang demikian ini tentulah kakanda sendiri tiada menyukakan pecah-belah adinda dengan saudara adinda."

Maka diamlah Talat Bey tiada menjawab lagi kerana benar perkataan Kasim Bey itu lalu ia bercakap lain-lain sebentar kemudian meminta izinlah ia hendak pulang serta memberitahu isterinya lalu keluar naik keretanya terus ke rumahnya.

Apabila telah sampai ke rumahnya berkatalah Talat Bey kepada puteranya Shafik Afandi, "Janganlah tuan susah hati, boleh ayahanda pinangkan tuan dengan sehabi-habis elok perempuan di dalam Mesir[22] jika tuan berkehendak[23] daripada keturunan raja Mesir sekali pun."

Jawab Shafik Afandi dengan dukacitanya, "Jika Faridah Hanom telah terlepas daripada tangan anakanda, maka tiadalah anakanda berkehendakkan seorang perempuan pun di dalam dunia ini, jikalau anak raja sekali pun, maka daripada hari[24] ini berkatalah anakanda selamat tinggallah segala kesukaan yang ada di dalam dunia ini."

Maka dukacitalah[25] ayahanda-bondanya mendengarkan perkataan puteranya dan memandangkan hal dukacitanya serta bimbanglah keduanya, jangan anaknya menjadi apa-apa hal, maka beradulah sekaliannya di dalam dukacita itu.

Ada pun Faridah Hanom yang menunggu[26] kesudahan perkhabaran kekasihnya datang dengan ayahanda bondanya meminang akan dia itu mengetahuilah ia apa-apa yang berlaku dan apa-apa yang dijawab…


oleh ayahandanya kepada ayahanda kekasihnya itu, maka kemudian daripada telah balik kekasihnya dengan tiada diterima permintaannya itu diputuskannyalah di dalam hatinya[27] hendak memotong dan melarikan dirinya daripada Badaruddin seberapa jua upayanya yang boleh berlamaan masanya. Dengan sebab ini bersedialah ia hendak berjumpa kekasihnya pagi hari esok. Dan apabila sampai pagi-pagi hari memakailah ia turun berjalan bersama-sama dayangyna Saad ke rumah Aliah.

Ada pun Badaruddin Afandi itu senantiasalah[28] hatinya dan matanya memerhatikan pergerakan Faridah Hanom itu, maka pada pagi-pagi[29] itu ia lagi memakai pakaian tidurnya[30] tiba-tiba terlihat ia akan Faridah Hanom dan dayangnya berjalan daripada rumahnya, maka segeralah ia memakai baju coatnya di atas baju tidurnya itu serta berjalan mengikut dari belakang keduanya dengan tiada sedar keduanya akan dia. Ada pun Faridah Hanom apabila telah jauh sedikit ia berjalan daripada rumahnya itu segeralah dipanggilnya sebuah kereta sewa naik ianya bersama-sama[31] dayangnya disuruhnya berjalan ke rumah Aliah, maka Badaruddin Afandi pun segeralah berlari-lari naik di belakang kereta itu dengan tiada sedar Faridah Hanom dan Saad yang di dalamnya[32] sekali-kali, maka didengarnyalah bila sais kereta itu bertanya ke mana hendak pergi dan dikhabarkan oleh Faridah Hanom jalan tempat rumah Aliah itu. Dan Badaruddin pun sentiasalah memasang telinganya mendengar apa-apa percakapan Faridah Hanom dengan dayangnya di dalam kereta itu, maka didengarnya kedua-duanya berkata-kata dan menyebut-nyebut[33] nama Shafik Afandi terkadang-kadang kuat dan terkadang-kadang perlahan, maka diketahuilah[34] oleh Badaruddin Afandi sedikit-sedikti rahsia keduanya. Dan apabila telah sampai kereta itu[1] di kepala simpang yang dikata oleh keduanya itu segeralah Badaruddin Afandi terjun turun daripada belakang kereta itu berhenti di kepala…


simpang itu melihat akan kereta itu berhenti. Maka didapatinya kereta itu berhenti tiada berapa jauh daripada tempat turunnya itu serta dilihatnya Faridah Hanom bersama-sama dayangnya turun daripada kereta itu naik ke rumah yang pertengahan bangunannya dan rupanya. Maka segeralah ia berjalan memerhatikan rupa[35] rumah itu serta diamat-amatinya. Maka yakin percayalah ianya[36] yang Shafik Afandi itu[37] tentu ada menanti di dalam rumah itu lalu segeralah ia memanggil sebuah kereta sewa serta naiklah ia ke atasnya[38] disuruhnya berjalan segera ke rumahnya di jalan Al-Abbasiah. Manakala sampai sahaja ia ke rumahnya segeralah ia berkhabarkan kepada Kasim Bey ayah saudaranya bahawa Faridah Hanom pergi berjumpa kekasihnya Shafik Afandi yang meminang akan dia semalam dan pada masa ini keduanya ada bertemu di dalam suatu rumah berhampiran dengan jalan Babu l-Hadid serta diceritakannya kepada Kasim Bey segala hal yang ianya[39] pergi mengikut itu. Maka[1] terkejutlah Kasim Bey mendengar perkhabaran anaknya itu serta dengan sangat[40] dukacita yang tiada dapat dihinggakannya akan kemaluannya, lalu[41] ia bertanya Badaruddin Afandi, "Di mana tuan tahu dan kenalkah tuan rumah itu." Jawab Badaruddin, "Anakanda kenal dan bolehlah anakanda bawa ayahanda jika hendak berangkat melihat sendiri ke rumah itu." Maka bangunlah Kasim Bey dengan marahnya serta mengajak saudaranya ayah Badaruddin Afandi naik kereta bersama-sama Badaruddin berjalan terus ke rumah Aliah. Maka apabila sampai ke muka pintu rumah itu turunlah sekaliannya mengetuk pintu rumah itu. Maka segeralah Aliah bangun pergi membuka pintu itu oleh sangkanya yang datang itu tentulah Shafik Afandi. Apakala terbuka sahaja pintu itu maka sangatlah terkejut hatinya memandang ayahanda Faridah Hanom yang datang itu beserta saudaranya dan tunangan Faridah Hanom maka kelulah lidahnya tiada dapat berkata-kata. Ada pun Kasim Bey masuklah sekaliannya[42] memeriksa rumah itu[43] maka didapatinya Faridah Hanom ada duduk dengan dayangnya Saad sahaja tidak…


siapa-siapa[44] yang lain daripada keduanya dengan Aliah. Maka Faridah Hanom sangat terkejut melihat ayahandanya sambil bangun mendapatkan ia. Maka berkatalah Kasim Bey dengan marahnya kepada Faridah Hanom, "Apa kerja tuan datang kemari ini." Jawab Faridah Hanom, "Anakanda datang berjumpa ibu Aliah ini kerana lepas daripada hari perang bunga yang ianya[45] datang ke rumah anakanda bawa ia menghadap ayahanda itu sehingga masa ini anakanda tiada tiada pernah berjumpa ianya[46] sebab inilah anakanda datang ini bimbang kalau-kalau ia sakit, ayahanda. Maka adakah sesuatu kesalahan perjalanan anakanda kerana semata-mata hendak menghubungkan kasih sayang dengan orang yang telah menabur[47] budinya terlebih dahulu ke atas anakanda ini." Maka Kasim Bey pun hilanglah marahnya akan anaknya tetapi berjalanlah jua ianya[48] rata-rata memeriksa rumah itu. Manakala dilihatnya tida ada sekali-kali seorang pun yang lain daripada ketiganya[49] itu berpalinglah ia memandang Badaruddin Afandi seraya berkata: "Hendaklah anakanda berbaiki sangka[50] terlebih dahulu. Ingat baik-baik, lain kali jangan sekali-kali tuan menuduh anakanda ayahanda dengan tuduhan yang sangat busuk ini. Maka jikalau ia hendak berjumpa dengan Shafik Afandi terlebih baiklah ia pergi berjumpa di rumahnya di Al-Abbasiah dekat dengan rumahnya apa guna ia datang[1] begini jauh." Maka terasalah Badaruddin akan kesalahannya maka datanglah takutnya serta pucat mukanya oleh diketahuinnya ayahnya marah akan dia itu maka tiadalah dijawabnya sepatah pun hanyalah menundukkan mukanya. Maka keluarlah balik Kasim Bey dengan saudaranya diikut oleh Badaruddin Afandi daripada rumah itu naik kereta sekaliannya terus balik ke rumahnya.

Kemudian daripada keluar Kasim Bey sebentar bangunlah Faridah Hanom dan dayangnya Saad serta berpesan kepada Aliah jika datang Shafik Afandi suruh ia datang ke rumahnya malam sekarang bagaimana biasa pada pertengahan malam, lalu turun keduanya naik kereta dengan membawa hati yang bertambah-tambah benci akan Badaruddin Afandi terus masuk ke rumahnya.

Critical apparatus

[Bearbeiten]
  1. 1,0 1,1 1,2 1,3 1,4 1,5 1,6 1,7 omitted in c
  2. tengah-tengah c.
  3. bonda c.
  4. adanya d, e.
  5. bonda c, d.
  6. air matanya ke pipinya d, e.
  7. maksyukna c
  8. khabarkan c.
  9. sampai d, e.
  10. ke majlis omitted in c.
  11. dengan ayahandanya c.
  12. bertanya c.
  13. Inilah anak kakanda Shafik Afandi adinda kenalilah akan dia c, Shafik Afandi kenalilah akan dia d, e.
  14. Shafik Afandi c.
  15. menerima akan dia menjadi teman anakanda itu. Maka jika adinda omitted in d, e.
  16. Ibrahim d, e.
  17. tiada d, e.
  18. dukacita di hati c, dukacitalah hati d, e.
  19. hati e.
  20. jawapan
  21. adinda a.
  22. negeri Mesir ini c, Mesir ini d, e.
  23. berkehendakkan d, e.
  24. hati e.
  25. dukacita c.
  26. menunggukan c.
  27. hati c.
  28. sentiasalah c, d, e.
  29. masa c.
  30. tidur c.
  31. naiklah bersama-sama c, naiklah ia bersama-sama d, e.
  32. dalam c.
  33. menyebut c.
  34. diketahui d, e.
  35. omitted in d, e.
  36. ia c, d, e.
  37. yang ia Shafik Afandi itu c.
  38. atas c.
  39. ia c, omitted in d, e.
  40. sebab c.
  41. lalulah d, e.
  42. sekalian c.
  43. di rumah itu c.
  44. sesiapa c.
  45. ia c, omitted in d, e.
  46. dia c, ia d, e.
  47. manaburkan c.
  48. berjalanlah ia c, berjalanlah jua ia d, e.
  49. ketiga-tiganya c.
  50. syak c.