Zum Inhalt springen

Hikayat Faridah Hanom 14

Aus Wikiversity

Fasal yang keempatbelas
PERJUMPAAN YANG TIDAK DISANGKA

Sampailah Shafik Afandi Kapten askar Mesir yang berhenti daripada kerjanya di dalam tentera Mesir kepada watannya di Mesir pada pagi-pagi hari di dalam bulan Mei, maka datang menyambut akan dia di dalam stesyen keretapi beberapa banyak daripada sahabat handainya dan kaum kerabatnya serta dengan ayahandanya Talat Bey yang sangat rindu dendam akan puteranya itu, maka tidak[1] terpijak kaki Shafik di halaman stesyen itu melainkan berkerumunlah sekalian sahabat handai dan kaum kerabatnya memberi tangan selamat datang. Maka Shafik Afandi pun segeralah mencium tangan ayahandanya dipeluk dicium oleh Talat Bey akan puteranya dengan sangat suka cita rasa hatinya melihat puteranya selamat sempurna tiada suatu pun cacat cederanya. Lalu segeralah dibawanya puteranya[2] naik kereta diiringi oleh sekalian orang-orang yang datang menyambut itu ke rumahnya di AI-Abbasiah. Maka Shafik Afandi pun segeralah masuk ke dalam rumahnya mendapatkan bondanya yang memeluk mencium akan puteranya dengan tangisnya oleh sangat kesukaannya berjumpa dengan puteranya yang tidak disangka-sangkanya sekali-kali boleh balik dengan sempurna tidak suatu cacat-cela di dalam peperangan yang sangat masyhur dahsyat kelakuan sekalian kaum Darwish itu. Maka kemudian daripada selesai berjamu sekalian orang­orang yang datang menyambut itu dan berceritakan segala ehwalnya di sana kepada sekalian kawan dan kaum kerabatnya, kembalilah masing-masing ke rumahnya. Maka Shafik Afandi pun masuklah ke dalam biliknya menukar seluar bajunya serta memanggil akan inangnya Aliah bertanyakan perkhabaran kekasihnya Faridah Hanom[3], maka dikhabarkanlah[4] oleh Aliah…


akan Faridah Hanom telah berkahwin dengan Badaruddin Afandi, dan Saad telah keluar dan rumah itu beberapa lama. Jadi tiadalah inang mendengar apa-apa hal Faridah Hanom beberapa lama sudah. Hanyalah yang inang dapat khabar beberapa lama ini ia sakit tiada pernah sembuh, tetapi oleh kekerasan ayahandanya baharulah juga lebih kurang dua bulan dikahwinkannya dengan Badaruddin. Maka Shafik Afandi pun terkejutlah mendengar perkhabaran kekasihnya itu serta datanglah berbagai-bagai fikirannya dan dukacitanya pun baliklah semula serta dengan marah rasa hatinya. Tetapi oleh sebab ia orang yang bijaksana dapatlah dipadamkannya marahnya itu tidak diberinya melarat lalu berfikir didalam hatinya, baiklah juga aku[5] undur daripada kampung ini, takut kalau-kalau berjumpa aku dengan Faridah Hanom di jalan kelak nescaya berlakulah perkara yang merosakkan nama orang baik-baik atau pun jikalau berjumpa aku dengan Badaruddin barangkali hilang sabar hatiku berlaku pekerjaan yang cemar bagi orang yang berakal. Kemudian keluarlah ia pergi mendapatkan ayahanda bondanya memohon hendak pergi bertukar angin di Iskandariah sedikit masa, tetapi ia tiada hendak tinggal di hotel atau di rumah siapa-siapa hendak menyewa sebuah rumah yang tertentu. Maka dibenarkan oleh ayahanda bondanya Ialu ia menulis surat kepada seorang daripada sahabatnya minta carikan rumah sebuah tempat duduknya. Maka tiada beberapa hari dapatlah jawab daripada Iskandariah mengatakan rumah telah dapat dan ada sedia cukup lengkap dengan segala alat perkakasnya. Maka Shafik Afandi pun bersiaplah serta memanggil Aliah berpesan kepadanya suruh mencari Saad, "Ajak ia tinggal sama, jangan diberi ia mendapat susah sebab kita. Maka jika Saad tiada hendak tinggal di rumah ini, berilah ia belanja setiap masa seberapa dikehendakinya[6]." Maka kemudian daripada berpesan…


ini turunlah Shafik Afandi membawa khadam dan tukang masaknya pergi ke stesyen keretapi terus ke Iskandariah.

Apabila sampai Shafik Afandi di stesyen keretapi sedialah sahabat handainya hadir menyambut akan dia. Maka kemudian daripada bersalam-salaman naiklah masing-masing kereta terus ke rumah yang disewa itu menaruhkan sekalian hamba sahaya dan khadam serta perkakasnya, dan Shafik Afandi pun dibawa oleh[2] sahabatnya ke rumahnya, makan di sana pada hari itu. Maka apabila telah selesai makan-minum Shafik Afandi pun baliklah ke rumahnya yang disewanya[7] itu bersama-sama sahabatnya. Maka diperiksa oleh Shafik Afandi rumah itu didapatinya tempatnya[8] yang disewanya itu lapis[9] yang kedua cukup[10] dengan tempat tidur, bilik makan, bilik mandi, dan bilik tulisnya. Maka Shafik Afandi pun berpesanlah kepada sahabatnya itu apa-apa barang yang hendak dibelinya lagi menokok perkakas yang sedia itu oleh ingatan hatinya ia hendak tinggal[2] lama di lskandariah, tiada hendak balik ke Mesir takut terjumpa[11] dengan Faridah Hanom atau Badaruddin.

Maka duduklah Shafik Afandi di Iskandariah menghiburkan hatinya bersama-sama kawannya bermain disegenap tempat dan kebun yang elok-elok dan berjamu di rumahnya serta hadir di rumah itu sekalian kawan-kawannya anak orang kaya-kaya[12] dan ahli-ahli pelajaran. Maka pada suatu hari Shafik Afandi duduk seorang dirinya bersandar di tingkap rumahnya, maka memandanglah ia di rumah yang di sebelah rumahnya itu. Maka dilihatnya sebuah rumah yang besar cukup dengan kampung halaman. Maka dipandangnya di tingkap rumah itu ada seorang perempuan berdiri memandang kepadanya. Maka didapatinya rupa perempuan itu macam rupa orang yang dikenalnya. Maka…


diperhatikannya betul­betul hendak diingatnya di mana ia telah memandang akan perempuan ini[13]. Maka tiadalah juga teringat ia. Ada pun perempuan itu kemudian daripada dilihatnya Shafik Afandi memandang ianya tiadalah ia hendak melarikan dirinya masih juga ia merenung kepada Shafik Afandi. Apabila dilihat oleh Shafik Afandi halnya itu terasalah segan di dalam hatinya berpandang-pandangan dengan seorang perempuan yang tida dikenalnya, lalu ia undur masuk ke dalam rumahnya terus pergi mandi memakai seluar bajunya lalu turun berjalan. Tengah ia hendak melangkah naik keretanya itu datanglah seorang budak laki-laki[14] berumur lebih kurang dua belas tahun berdiri di hadapannya sambil bertanya, "Afandi maafkan saya hendak menumpang bertanya, apakah nama Afandi dan anak siapa?" Maka Shafik Afandi pun heran mendengar pertanyaan budak itu sambil terhenti ia tiada jadi naik keretanya. Maka dipegangnya tangan budak itu serta berkata, "Apa kerja engkau bertanya aku, (dan) dari mana engkau datang!" Jawab budak itu, "Beta datang dari rumah itu." Ditunjukkannya rumah yang Shafik Afandi melihat orang perempuan berdiri ditingkap itu serta katanya, "Beta ini disuruh oleh Hanom beta bertanya akan nama Afandi." Kata Shafik Afandi, "Siapakah nama Hanom engkau itu?" Jawabnya, "Namanya Faridah Hanom, isteri Badaruddin Afandi." Maka Shafik Afandi pun terkejut dengan terkejut[1] yang amat sangat, lalu tunduk ia melengung sambil berfikir di dalam hatinya, aku ini melarikan diri daripada bahaya, maka terjatuh ke dalam bahaya juga. Baiklah aku segera lari dari sini pulang ke Mesir kerana di sanalah tempat yang terlebih baik lagi sebab Faridah Hanom sudah tiada lagi di sana. Kemudian diangkatnya kepalanya sambil berkata, akulah yang bernama Shafik Afandi anak Talat Bey yang sangat malang dan aku sekarang juga hendak balik ke Mesir." Shafik Afandi berkata-kata itu lalu terus ia naik ke atas rumahnya…


kemudian daripada diberinya budak itu satu pound sebab berkenan ia melihat budak itu pandai berkata-kata dan baik aturan adabnya. Maka apabila lepas Shafik Afandi ke atas rumahnya, segeralah ia menyuruh segala khadamnya berkemas segala barang-barangnya hendak balik pada hari itu juga.

Ada pun budak yang disuruh Faridah Hanom itu bertanyakan Shafik Afandi itu baliklah ia memberi khabar kepada tuannya, "Orang muda itu[15] bernama Shafik Afandi ibnu Talat Bey". Maka apabila didengar oleh Faridah Hanom nama kekasihnya itu terkejutlah rasa hatinya dengan terkejut yang amat sangat, serta memancarlah keluar air matanya dengan tiada sedar akan dirinya. Ada sejurus berjalanlah ia masuk ke dalam biliknya sambil berfikir di dalam hatinya, jika aku pergi pun sekarang kepada Shafik boleh juga, tetapi kuranglah elok pada peraturan tabiat perangai anak baik-baik sebab aku ini telah menjadi isteri orang pergi berjumpa dengan seorang lelaki[14] yang lain. Barangkali Shafik Afandi[2] pun tidak suka berjumpa dengan aku bagaimana tabiatnya yang sangat menjaga kehormatannya yang aku ketahui. Tetapi apalah hal aku duduk dengan yang demikian ini, sungguh pun aku telah berkahwin lebih dua bulan tetapi tiadalah pernah Badaruddin hampir men­ jamah badan aku kerana lekanya setiap malam dengan mabuknya sehingga pukul tiga empat malam. Dan jika dijamahnya badanku tentulah aku membunuh diriku sebab tiada sekali-kali reda aku berlakikan orang yang tahik[16] arak sehingga memecahkan setia aku dengan Shafik Afandi. Jika demikian baiklah aku menulis surat kepadanya memberitahu segala hal aku supaya…


jangan salah sangkanya di atas aku, dan aku pun boleh mengetahui halnya. Lalu pergi ia ke meja tulisnya menulis[17] demikian bunyinya:

      Shafik Afandi Talat Bey, 
Tuan,
Tiadalah dapat beta datang berjumpa tuan sebab beta sekarang bini orang bagaimana tuan barangkali sekarang laki orang. Bermula kehidupan anak-anak yang baik-baik dan ahli-ahli pelajaran itu menegahkan daripada berjumpa[1] kita berdua sekarang. Tetapi oleh sebab beta ini tiada sekali-kali terlintas di hati hendak memecahkan setia yang telah kita berdua bersumpah setia beberapa kali itu inilah jadi terpaksa sangat beta menulis surat ini memberitahu kepada tuan. Jika menulis surat ini pun kurang elok bagi seorang perempuan yang ada laki tetapi apalah boleh buat sebab tidak ada perjalanan yang lain lagi.
Kemudian daripada ditolak oleh ayahanda beta akan ayahanda tuan yang datang meminang beta. Pada hari itu datanglah Badaruddin hendak menzahirkan baiknya dan kasih sayangnya kepada beta, maka beta nyatakan kepadanya akan kebencian beta hingga menjadi pergaduhan di antara beta dengan dia di dalam taman beta di hadapan saudara beta Muhammad Afandi. Maka dengan sebab itu mendidihlah darah jantung beta hingga beta[2] dapat demam yang keras enam bulan lamanya. Kemudian bonda beta bawa beta makan angin di kebunnya di luar bandar Mesir tinggal di sana lebih kurang enam bulan. Dan dari sanalah beta kirim beberapa orang mendengar-dengar khabar jika tuan balik ke Mesir. Maka tiada beta mendapat satu khabar pun daripada tuan. Dengan sebab itu mendapatlah beta penyakit bingung tidak betul fikiran macam orang gila

tidak tahu apa-apa hal yang berlaku di hadapan beta lebih kurang enam bulan pula. Kemudian daripada telah sembuh beta sedikit dibawa oleh bonda beta akan beta[2] balik ke Mesir. Maka baliklah beta semula ke rumah pada hal khayal rupa tuan itulah penghiburan dan ialah juga kawan beta pada masa beta keseorangan. Beberapa kali beta berdoa ke hadharat Rabbul Alamin memohon dipertemukanNya beta dengan tuan. Tetapi kudrat iradat Tuhan itu engganlah juga daripada memperjumpakan kita berdua. Berjalanlah beta di dalam cinta berahi itu beberapa jauhnya sehingga tiada beta berkehendak[18] melainkan tuan dan tidak beta berfikir melainkan kepada tuan pada akhirnya mencita-citalah beta kemudian daripada putus harapan beta hendak bertemu dengan tuan jikalau boleh hidup beta selama-lamanya hingga ke mati "anak dara" mudah-mudahan dapat beta berjumpa dengan tuan di dalam negeri akhirat kelak. 
Tetapi hal beta itu tiadalah kekal satu macam hal selama-lamanya kerana ayahanda beta paksa juga akan beta hendak menikahkan beta dengan Badaruddin. Maka apabila sampai lagi perkhabaran itu kepada beta, baliklah penyakit beta pula lima bulan lamanya. Maka kemudian daripada lima bulan ini di antara beta lagi mengidap penyakit yang belum sembuh betul, datanglah Badaruddin Afandi dengan ayahandanya meminta ayahanda beta mempersatukan beta dengan anaknya. Maka tiadalah berguna apa yang beta katakan kepada ayahanda beta, kerana kehendaknya itu dilakukannya juga dengan membuat jamuan keramaian bagaimana adat istiadatnya. Maka oleh sebab beta ini tidak hendak sekali-kali menjadi seorang yang boleh dikata oleh orang anak yang durhaka melawan ibu bapanya, dan membusukkan nama keduanya, jadi beta berdiamlah diri apa yang diperbuat oleh[2] orang hingga selesai kerja yang dikehendaki oleh ayahanda bonda

beta. Tetapi malam yang pertama masuk Badaruddin kepada beta itu, beta ambil daripadanya satu perjanjian dengan bersumpah kuat di dalam masa peringatan yang cukup, tidak boleh ianya rapat apa lagi menjamah akan badan beta melainkan kemudian daripada tiga bulan daripada masuknya itu. Bersumpahlah Badaruddin dengan sebenar-benarnya oleh harapannya beta akan suka akan dia kemudian daripada tiga bulan itu, dan kemudian daripada sempurna sihat tubuh badan beta. Maka kemudian daripada itu beberapa hari dikehendaki oleh Badaruddin dan ayahandanya beta mengikut akan dia ke Iskandariah, maka dibenarkan oleh ayahanda beta. 
Sekarang telah berjalanlah janji beta dengan Badaruddin itu hingga hari ini tujuh puluh hari, baki lagi dua puluh hari, dan beta sehingga hari ini masih anak dara.
Oleh sebab berkahwin ini ertinya bersyarikat hidup sama di antara laki-laki[14] dengan perempuan daripada mula akad nikah hingga kematiannya, maka wajiblah kedua-dua orang yang bersyarikat itu bersekutu sama keduanya satu tabiat atau berhampiran sama yang boleh hidup sempurna kedua-duanya. Oleh kerana tabiat Badaruddin yang mengekalkan minum arak siang dan malam ini mustahil[19] sekali boleh bersekutu dengan beta. Jadi jika beta diam juga nescaya mendapat kebinasaanlah kehidupan beta selama-lamanya. Dengan kerana ini tetaplah niat beta hendak membuat pekerjaan terlebih dahulu kepada ayahanda beta mengadukan apa yang benar dan wajib di atas beta berkhabar kepadanya supaya beta mendapat keredhaannya. Kemudian beta[2] menjalankan apa yang wajib di atas beta bagi memelihara kehidupan beta.

    Janganlah tuan menaruh sangka-sangka yang beta hendak membuat pekerjaan bercerai dengan Badaruddin ini kerana tuan. Tidak sekali-kali, kerana beta tidak reda menanggungkan sebab beta becrerai dengan laki beta ke atas tuan. Tetapi jika tidak ada tuan di dalam dunia ini pun yang beta mesti bekerja di dalam dua puluh hari ini berhaluankan[20] keredaan ayahanda beta pada memparakkan beta dengan[21] Badaruddin ini. 
Ada pun sebab beta menulis surat ini kepada tuan, ialah peringatan perkenalan sahabat yang lama, maka jika tuan suka katalah beta ini macam saudara tuan yang mengadukan kesusahannya adanya.
Wasalam:
Faridah

Kemudian dilipat oleh Faridah Hanom suratnya itu dimasukkan ke dalam sampul ditulisnya alamat nama Shafik dan dipanggilnya budaknya tadi disuruhnya pergi bawa hantarkan kepada Shafik Afandi sendiri surat itu serta dipesannya tunggu jawapnya. Maka budak itu pun turunlah membawa surat itu menuju ke rumah Shafik tinggal itu terus naik ke atas sekali masuk ke dalam, didapatinya Shafik tengah duduk seorang diri melengong melihat sekalian khadamnya berkemaskan barang-barangnya lalu diberikannya oleh budak itu surat Faridah Hanom itu. Maka Shafik Afandi pun menerima surat itu dilihatnya tulisan Faridah Hanom, maka menggeleparlah rasa hatinya, serta berhamburan air matanya oleh berperang di dalam hatinya dua tuntutan, tuntutan asyik berahinya akan kekasihnya, dan tuntutan menjaga dirinya daripada…


menjadi orang jahat mengacau akan isteri orang. Tetapi surat itu dibukanya juga lalu dibacanya hingga akhirnya. Maka apabila telah diketahuinya kehendak Faridah di dalam surat itu melengonglah ianya seketika berfikir hendak jawab atau tidak surat itu. Tetapi kemudian datanglah fikirannya -- tidak guna dijawab, sebab terlebih baiklah ianya jangan campur halnya kerana diketahuinya tabiat Faridah Hanom itu apabila dikatanya itu mestilah dilakukannya. Maka tidaklah guna aku pula menyertakan pekerjaan yang tertentu bagi kehidupannya seorang. Kemudian berkatalah ia kepada budak yang membawa surat itu sambil mengeluarkan satu pound, "Pergilah engkau balik. Khabarkan kepada tuan engkau, aku tiada sempat menjawab suratnya kerana aku hendak belayar balik ke Mesir jam ini juga. Kemudian harilah aku menjawab suratnya ini." Lalu Shafik Afandi turun dari rumah itu naik kereta pergi ke rumah sahabatnya memberitahu hendak balik ke Mesir serta dipesannya kepada sekalian khadamnya suruh bawa barang-barang menunggu akan dia di stesyen keretapi. Ada pun budak Faridah yang membawa surat itu baliklah ianya mendapatkan tuannya berkhabarkan segala perkataan Shafik itu. Maka Faridah Hanom pun mengertilah ianya akan kehendak Shafik itu, tiada hendak bercampur di dalam hal di antaranya laki-bini itu. Maka semakin bertambah-tambah kasihlah rasa hatinya melihat tabiat perangai yang sangat terpuji itu serta sangatlah[22] sedih rasa hatinya teringatkan ayahandanya menolak pinangan Shafik ini[23] dan menerima akan Badaruddin Afandi yang tiada mempunyai pelajaran serta dengan jahat tabiat kelakuannya mabuk-minum arak setiap malam.

Maka pada pagi-pagi hari esoknya memakailah Faridah Hanom akan pakaiannya serta […]


mengambil segala barang­barangnya yang kemas lalu turun berjalan ke stesyen keretapi sambil berpesan kepada dayang-dayangnya, jika siapa-siapa bertanya akan dia katakan ia pergi mendapatkan Badaruddin Afandi yang telah dua tiga hari di Mesir. Kemudian teruslah ia ke stesyen naik keretapi ke Mesir.

Bermula, ada pun Shafik Afandi yang telah balik ke Mesir terlebih dahulu satu hari[2] daripada Faridah Hanom itu, sampailah ia ke rumahnya kira-kira pukul tujuh malam. Maka terkejutlah ayahanda bondanya melihat sekonyong-konyong anakandanya balik itu. Sebab janjinya hendak duduk di Iskandariah satu dua[2] bulan. Maka segeralah keduanya bertanya anaknya apa sebab ia balik segera ini. Jawab Shafik Afandi badannya tidak sedap, tidak hendak bersetuju rasanya dengan hawa Iskandariah masa ini. Maka Talat Bey laki-isteri susah hati melihatkan[24] hal anaknya, lalu berkata: "Baiklah tuan suruh panggil doktor berubat betul­betul." Maka Shafik Afandi pun mengakulah apa kata ayahandanya, sebab kasihan ia melihat keduanya sangat susah hati itu. Maka kemudian daripada kembali kedua ayahanda bondanya, segeralah Shafik Afandi menanggalkan seluar bajunya, masuk mandi dan bersalin pakaian berbaring-baring di atas kerusinya, teringatkan kekasihnya dan hal-ehwal yang berlaku di dalam lskandariah. Lalu bangunlah ia mengambil surat Faridah Hanom serta dibuka[25] dan dibacanya semula. Maka sangatlah terkejut hatinya bila terbaca perkataan kekasihnya, barangkali ianya laki orang itu. Apabila habis dibacanya surat itu sangatlah pula suka hatinya mendengar perkataan kekasihnya yang ianya[26] masih anak dara lagi itu. Maka diulangi-ulangi lagi Shafik membaca surat itu mengambil faham yang sebenar apa yang tersebut di dalamnya, kerana masa ianya[27] di Iskandariah…


membaca akan surat itu, tidak berapa betul mengambil artinya sebab hatinya[28] masa itu tidak berketahuan fikiran oleh sangat-sangat berkacau di antara kasihnya akan kekasihnya itu dengan sangat hendak melarikan diri daripada menjadi pengacau akan anak isteri orang. Maka apabila telah selesailah ia membaca surat itu, bangkitlah ia menghempaskan dirinya di tempat tidurnya menangis teresak­esak oleh mengenangkan nasibnya yang malang dituduh oleh kekasihnya akan dia laki orang. Dan ia hendak pergi berjumpa atau menulis surat menerangkan hal dirinya yang sangat menanggung azab sengsara bercinta[29] akan dia beberapa tahun ini tiadalah dapat oleh di sikat ketakutan dikata orang ia mengacau anak isteri orang. Tetapi tiap-tiap kali ia teringat akan perkataan kekasihnya yang ia anak dara lagi itu, hiburlah sedikit percintaannya. Maka di dalam halnya yang demikian ini masuklah inangnya Aliah kedalam biliknya. Apabila dilihat oleh Shafik Afandi akan Aliah masuk itu, bangunlah ia seraya bertanya, "Adakah ibuku berjumpa Saad." Jawab Aliah, "Ada tuan, ada ia tinggal bersama-sama inang di sini, kerana ia belum dapat kerja di mana-mana lagi." Jawab Shafik Afandi, "Baiklah itu, biarlah ia tinggal bersama­-sama ibu. Berilah ia belanja secukupnya. Usahlah diberi ia mencari kerja dimana-mana lagi." Maka Aliah pun keluarlah pergi berkhabarkan kepada Saad segala perkataan tuannya itu. Maka duduklah Shafik di dalam rumahnya itu dengan dukacitanya tiada berani berjalan oleh diketahuinya tentulah kekasihnya telah datang ke Mesir bagaimana di dalam suratnya itu. Dan sangatlah cemar pada peringatannya jika ia mencampurkan dirinya di dalam pekarjaan yang hendak dilakukan oleh kekasihnya itu[2]. Redalah ia mati dengan percintaannya itu rasanya daripada beroleh…


nama yang sangat kejahatan disebut orang kelak. Dengan sebab ini, sentiasalah ia membuat pura-pura tidak sedap badan bila ditanya oleh ayahanda bonda ianya[30] tiada pernah berjalan-jalan ke mana-mana bagaimana biasanya.

Critical apparatus

[Bearbeiten]
  1. a b c omitted in d, e.
  2. a b c d e f g h i j k omitted in c.
  3. bertanyakan khabarnya c, bertanyakan khabar d, e.
  4. omitted in c, d, e.
  5. akan e.
  6. dikehendaki c.
  7. disewa c.
  8. tempat c.
  9. tingkat c.
  10. yang cukup c.
  11. berjumpa d, e.
  12. kaya-raya d, e.
  13. itu e.
  14. a b c lelaki c.
  15. bahwa orang muda itu c.
  16. tahi d, e.
  17. ke meja tulis c.
  18. berkehendakkan d, e.
  19. mustahillah d, e.
  20. berhaluankannya a.
  21. keredhaan ayahanda beta dengan c, keredhaan ayahanda beta memparakkan beta dengan d, e.
  22. melihat tabiat perangai yang sangat terpuji itu serta sangatlah omitted in e.
  23. Shafik Afandi ini d, e.
  24. melihat c.
  25. dibukanya c.
  26. laki orang itu. Apabila habis dibacanya surat itu sangatlah pula suka hatinya mendengar perkataan kekasihnya yang ianya omitted in e.
  27. ia c, d, e.
  28. mengambil hartinya sebab hatinya a, mengambil hartinya sebab hati d, mengambil hatinya e.
  29. bercerita e.
  30. bondanya ia c, bonda ia d, e.