Zum Inhalt springen

Hikayat Faridah Hanom 17

Aus Wikiversity

Fasal yang ketujuhbelas
TALAK DAN BERCERAI[1]

Kedua-dua loyar berlawanlah bagi pihak masing-masing menguatkan keterangannya yang dibawa ke hadapan mahkamah Mesir. Maka oleh sebab[2] loyar bagi pihak Faridah Hanom ini loyar yang besar lagi yang sangat masyhur bijaknya, dapatlah ia memanjangkan perkara itu beberapa lama menurut kehendak Muhammad Afandi yang hendak menarik panjang akan dia sehingga menjadikan kesusahan di atas Badaruddin pulang balik dari lskandariah kerana perkara itu, supaya menurut ia membuat selesai dengan tidak payah apa-apa lagi. Tetapi pada tiap-tiap hari yang dibicarakan perkara itu adalah orang yang disuruh oleh Shafik Afandi mendengar akan dia. Maka Shafik Afandi pun tiadalah tertahan hatinya melihat perkara itu berpanjangan. Maka ditetapkannya juga di dalam hatinya hendak pergi berjumpa dengan Badaruddin memberi nasihat. Jika tidak diturutnya hendak diajaknya berlawan main senjata dengan pedang atau pun pistol, sebab fikirannya, apalah gunanya hidup lagi menanggung percintaan selama umur hidup ini. Lalu disuruhnya orangnya pergi melihat di mana Badaruddin tinggal bila ia datang ke Mesir ini. Maka apabila telah diketahuinya akan tempatnya itu pada suatu malam memakailah Shafik Afandi dengan mengubah rupanya lalu keluar berjalan menuju ke tempat Badaruddin itu menunggu di dalam suatu tempat yang gelap sedikit yang mesti Badaruddin lalu di situ bila ia keluar berjalan. Ada sejurus nampaklah ia akan Badaruddin keluar berjalan, maka segeralah dipintasnya daripada sebelah hadapannya[3]. Apakala bertentang sahaja segeralah dipegangnya tangan…


Badaruddin seraya berkata: "Tuankah yang bernama Badaruddin Afandi?" Maka Badaruddin pun menjawab, "Dialah[4], aku Badaruddin. Apa kehendak engkau?" Jawab Shafik, "Tuan ini sangat sajak pada pandangan hamba. Sayang sangatlah hamba jika tuan mati terbunuh." Maka Badaruddin pun terkejut sambil berkata: "Bunuh Aku? Siapakah yang hendak membunuh aku itu." Jawab Shafik, "Seorang hulubalang yang sangat berani ialah hendak membunuh tuan dengan tuan tidak sedar." Maka berkelilutlah lidahnya bertanya: "Apakah sebabnya." Jawab Shafik, "lsteri tuan itu ada seorang kekasihnya, maka kekasihnya itulah yang hendak membunuh tuan jika lambat tuan menjatuhkan talak isteri tuan itu di dalam sehari dua ini. Hamba ini cuma kasihan tuan sahaja memberitahu. Ini tiadalah apa-apa ada kena-mengena dengan hamba, fikirlah tuan sendiri serta jaga diri jika tiada tuan hendak bercerai dengan isteri tuan itu." Maka kata Badaruddin, "Tiadalah aku hendak melepaskan percakapan engkau ini sia-sia sahaja. Marilah engkau bersama­sama aku pergi repot di polis hal ini." Jawab Shafik Afandi, "ltu bukan kerja hamba. Jika ditanya oleh polis hamba tentu hamba kata tidak tahu, dan hamba tidak ada berkata apa-apa hal ini kepada tuan. Tinggallah tuan sekarang buat apa suka tuan. Jika tuan tidak cerai isteri tuan itu tentulah tuan mesti mati." Lalu ditinggal oleh Shafik akan Badaruddin tercengang-cengang itu terus pulang ia ke rumahnya sekali. Maka pada malam itu masuklah Shafik Afandi pergi berjumpa kekasihnya Faridah Hanom berkhabarkan segala halnya itu. Maka Faridah Hanom pun geli rasa hatinya mendengarkan kelakuan kekasihnya itu.


Ada pun Badaruddin sepeninggalan Shafik Afandi itu tiadalah berani ia hendak berjalan ke mana-mana, lalu ianya[5] balik semula[6] ke tempatnya tiada dapat ianya tidur semalam-malaman itu berfikirkan perkataan Shafik Afandi itu. Apabila siang hari bangunlah ianya pagi-pagi pergi ke stesyen keretapi balik ke Iskandariah mendapatkan ayahandanya memaklumkan segala perkataan yang didengarnya daripada Shafik Afandi itu. Maka ayahandanya pun berfikirlah di dalam hatinya tiadalah boleh dibiarkan hal ini akhirnya melarat kemaluan itu bagi aku dan saudaraku juga. Kemudian berkatalah ia kepada Badaruddin, "Fikiran ayahanda jika sudah begini lama Faridah itu tidak juga boleh bersetuju dengan tuan, tidaklah guna dipaksa akan dia akhirnya menjadi perselisihanlah kita anak-beranak dan ayahanda adik-beradik. Sekarang ini ayahanda hendak bertanya kepada tuan, adakah tuan harap boleh mendapat kebajikan lagi di antara tuan dengan isteri tuan Faridah itu." Jawab Badaruddin, "Harapan itu tidak ada sekali-kali." Maka ditanya pula oleh ayahandanya, "Adakah kebajikan kepada fikiran tuan jika tuan berbaik-baik dan berkasih-kasihan dengan ibu-bapa dan adik beradik tuan." Jawab Badaruddin, "Tentulah sekali banyak kebajikannya." Kata ayahandanya pula, "Jika demikian baiklah tuan tolak buang yang tiada ada harap akan kebajikan itu, ambil dan bela[2] peliharalah yang banyak kebajikannya itu." Jawab Badaruddin, "Jika anakanda cerai gugurkan talak Faridah masa ini, nescaya dikata oranglah anakanda takut dibunuh oleh orang, pada hal ayahanda yang di Mesir pun telah marahkan anakanda." Kata ayahandanya, "Orang yang berakal yang bernama laki-­laki yang sempurna fikiran[7] itu iaitulah sekalian orang-orang yang sentiasa membuangkan perkara yang tiada kebajikan dan mengerjakan tiap-tiap perkara yang memberi kebajikan[8] dengan tidak mengambil perduli[9] akan perkataan orang…


dan ugut marahnya atau tutur katanya. Ada pun kemarahan ayahanda yang di Mesir itu, ialah sebab kesalahan tuan gopoh kasar melawan akan dia. Maka sekarang jika tuan suka menurut bagaimana perkataan ayahanda ini, bolehlah ayahanda sendiri pergi membawa anakanda berjumpa dengan ayahanda itu minta ampun segala kesalahan yang telah Ialu, serta taat menurut apa-apa perkataannya." Maka Badaruddin pun menjawab perkataan ayahandanya itu, "Mana-mana fikiran ayahanda yang baik anakanda turut." Jawab ayahandanya, "Baiklah esok pagi-pagi kita pergi ke Mesir."

Pada pukul sepuluh pagi tengah Muhammad Afandi keluar pintu rumahnya hendak pergi ke officenya di pandangnya keluar kotanya Badaruddin Afandi dengan ayahandanya turun kereta ber­ jalan masuk ke rumahnya. Maka tiadalah jadi Muhammad Afandi keluar itu, lalu segera ia kembali masuk semula memberitahu ayahandanya. Maka Kasim Bey pun keluarlah ke tengah rumah menanti saudaranya. Ada seketika masuklah saudaranya bersama-sama Badaruddin mencium tangan saudaranya sambil duduk di sisinya dan Muhammad Afandi pun duduklah[10] bersama­-sama Badaruddin kemudian daripada berjabat tangan. Kemudian[11] Kasim Bey bertanya kepada saudaranya, "Ke mana tuan lama sangat tuan tiada datang ke Mesir. Kakanda pukul telegraph pun adinda tiada datang." Jawab saudaranya, "Waktu sampai telegraph kakanda itu adinda tiada di lskandariah. Adinda telah pergi ke Port Said kerana pekerjaan adinda. Belakang tiga hari adinda balik baharulah adinda dapat telegraph itu. Tetapi bila adinda telah mendengar hal yang telah jadi di antara Badaruddin dengan kakanda sekalian di sini sangatlah benci rasa hati adinda masuk ke Mesir serta malu rasa muka adinda memandang orang-orang yang mengetahui hal ini. Dan Badaruddin pun daripada masa itu tiadalah…


pernah adinda memandang mukanya. Baharulah hari kelmarin ia balik dapat adinda berkata-kata dan memberi nasihat dengan dia. Jadi inilah sekarang adinda datang membawa akan dia mengadap kakanda dengan[12] diharapkan kakanda mengampuni segala dosanya serta suruhlah ia apa-apa kehendak kakanda nescaya taatlah ia." Kata Kasim Bey, "Tidak apa tuan. Hanyalah yang menyusahkan hati fasal Faridah ini. Adinda bukankah cukup tahu[13], tiga tahun lamanya Faridah sakit kerana bercintakan kekerasan kakanda hendak menikahkan juga dia dengan Badaruddin, pada hal ia tidak sekali-kali suka. Maka kakanda sekali-kali tidak peduli akan sakitnya dan tidak sukanya itu sehingga kakanda berkelahi dengan isteri kakanda sebab perkataan kakanda terlebih baik Faridah mati daripada ia menolak akan anak bapa saudaranya. Pada akhirnya kakanda nikahkan juga ia dengan Badaruddin dengan pengharapan kakanda bila telah jadi laki isteri keduanya hilanglah tidak suka anak dara itu oleh kepandaian lakinya bagaimana kebanyakan contoh anak-anak orang yang kita lihat. Tetapi kemudian daripada dua bulan lebih ia bersama-sama suaminya di lskandariah, tiba-tiba terdiri ia dengan terkejut di hadapan kakanda seorang dirinya dengan muka yang pucat kurus mengadukan halnya tidak sekali-kali boleh bersetuju dengan Badaruddin. Dan tidak boleh ianya[14] hidup dengan[15] kehidupan laki isteri bersama-sama Badaruddin, kerana tidak dapat diberinya kepada Badaruddin kasih lebih daripada kasih saudara. Cubalah adinda fikir masa itu apa macam hal kakanda hendak pun kakanda bunuh akan dia, maka negeri ini negeri ada raja belum cukup dosanya yang boleh dibunuh. Dan hendak pun kakanda paksa akan dia hantarkan balik ke Iskandariah, maka tentulah lain kali boleh juga ia keluar daripada rumahnya. Baiklah juga ini…


kali ia keluar datang mengadukan halnya kepada kakanda, jika ia keluar pergi ke mana-mana membusukkan nama kita siapakah yang dapat menahannya. Maka di dalam hal kakanda berfikir hendak memanggil adinda bermesyuarat fasal ini, tiba-tiba masuklah Badaruddin dengan kekerasannya menunjukkan bengisnya memarahkan Faridah dan kakanda pun sama. Jadi pada masa itu hilanglah fikiran kakanda." Jawab saudaranya, "Perkara yang telah sudah itu sengaja adinda pohonkanlah daripada kakanda akan ampun beribu-ribu ampun segala kilap bebal[16] anakanda itu. Maka daripada sekarang ini apa juga kehendak kakanda tiadalah boleh sekali-kali ia menyalahi lagi." Serta dipandangnya kepada anaknya Badaruddin maka mengertilah ia akan pandangan ayahandanya[16] itu lalu segera ia bangun menyembah lutut ayah saudaranya dengan tangisyna memohonkan ampun segala kesalahannya yang telah lalu, serta menyembamkan mukanya. Maka Kasim Bey pun kasihan melihat Badaruddin menangis itu, lalu diangkatnya kepalanya disuruhnya duduk di atas kerusi diciumnya dahinya sambil berkata: "Diamlah[17] tuan. Tiadalah ayahanda taruh di hati lagi hal yang telah lalu itu." Maka Badaruddin pun bangun berjalan duduk sebelah Muhammad Afandi, kemudian berkatalah ayahandanya, "Sekarang apakah fikiran kakanda hal anakanda laki isteri ini." Jawab Kasim Bey, "Tiadalah pada kakanda apa-apa fikiran. Adinda yang baik bercakaplah." Jawab saudaranya, "Fikiran adinda, adalah budak kedua ini anak kita. Maka apa kehendak kita telah kita lakukan, tiba-tiba tiadalah dapat persetujuannya. Maka tiadalah patut kita azabkan keduanya dengan kita paksa juga keduanya lagi barang yang tidak boleh keduanya bersetuju itu supaya tiadalah kita mendapat aib malu di belakang kelak. Dengan sebab ini, jika kakanda benarkan biarlah Badaruddin bercerai dengan isterinya tinggal hampir dengan saudaranya sahaja." Maka Kasim Bey pun tersenyum mendengar perkataan saudaranya itu sambil memandang kepada Badaruddin. Maka Badaruddin pun segera bangun pergi ke meja tulis…


menulis surat talak dibawanya dipersembahkan kepada ayah saudaranya. Maka Kasim Bey pun memandang Muhammad Afandi sambil berkata: "Pergilah tuan suruh panggil Faridah kemari biar ia berjumpa ayahanda ini. Maka Muhammad Afandi pun bangun keluar menyuruh seorang dayang memanggil Faridah Hanom serta dipesannya kepada dayang itu apa yang hendak dipesannya." Ada sejurus Faridah Hanom pun datanglah masuk mencium tangan ayahanda kedua[18] lalu berdiri jauh. Maka Kasim Bey pun memanggil anakanda[19] seraya mengunjukkan surat talak yang diberi oleh Badaruddin itu. Apabila dibaca oleh Faridah Hanom akan surat itu segeralah ia berjalan mendapatkan Badaruddin mencium tangannya. Maka Kasim Bey dan saudaranya pun tertawalah melihat kelakuan Faridah itu serta ditanya oleh ayah saudaranya, "Tangan siapa tuan cium itu." Jawab Faridah Hanom, "Tangan saudara anakanda." Kata Kasim Bey, "Saudara tuan Muhammad itu bukannya Badaruddin." Jawab Faridah Hanom, " Samalah keduanya itu di dalam hati anakanda daripada hari ini." Maka tertawalah sekalian yang hadir di situ mendengar perkataan Faridah Hanom itu, dan Kasim Bey pun berkatalah kepada saudaranya, "Telah ditakdirkan oleh Tuhan berlaku barang yang kita tidak sukakan. Maka sekarang hendaklah adinda mencarikan isteri anakanda ini[20] yang mana disukainya maka berapa ribu pound juga belanja kahwin itu di atas kakandalah memberinya jangan adinda campur sekali-kali."' Kemudian Kasim Bey pun berjamulah saudaranya. Maka kereta api petang itu baliklah Badaruddin dengan ayahandanya ke Iskandaria.

Critical apparatus

[Bearbeiten]
  1. CERAI d, e.
  2. a b omitted in d, e.
  3. hadapan c.
  4. Ialah c.
  5. ia c, d, e.
  6. semula-mula e.
  7. fikirannya d, e.
  8. dan mengerjakan tiap-tiap perkara yang memberi kebajikan omitted in d, e.
  9. peduli d, e.
  10. duduk c.
  11. Setelah itu c.
  12. sekarang adinda datang membawa akan dia mengadap kakanda dengan omitted in d, e.
  13. tau c.
  14. ia c, d, e.
  15. seperti c.
  16. a b omitted in c.
  17. Diam c.
  18. keduanya d, e.
  19. anakandanya c.
  20. bagi anakanda ini c.